81. At-Takwir


[1]
Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);


[2]Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;

[3]Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);

[4]Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;

[5]Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;

[6]Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;

[7]Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;

[8]Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, –

[9]Dengan dosa apakah ia dibunuh?

[10]Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;

[11]Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;

[12]Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;

[13]Dan apabila Syurga didekatkan;

[14](Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

[15]Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;

[16]Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;

[17]Dan malam, apabila ia hampir habis,

[18]Dan siang, apabila ia mulai terang;

[19]Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,

[20]Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,

[21]Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.

[22]Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);

[23]Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

[24]Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.

[25]Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.

[26](Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?

[27]Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:

[28]Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.

[29]Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

No comments:

Post a Comment