82. Al-Infitar

[1]Apabila langit terbelah;

[2]Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;

[3]Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;

[4]Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, –

[5](Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

[6]Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? –

[7]Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;

[8]Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.

[9]Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.

[10]Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,

[11](Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);

[12]Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

[13](Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) – kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;

[14]Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.

[15]Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,

[16]Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.

[17]Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

[18]Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

[19](Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.

No comments:

Post a Comment