80. ‘Abasa

[1]Ia memasamkan muka dan berpaling,

[2]Kerana ia didatangi orang buta.

[3]Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)! –

[4]Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

[5]Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran),

[6]Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya.

[7]Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).

[8]Adapun orang yang segera datang kepadamu,

[9]Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), –

[10]Maka engkau berlengah-lengah melayaninya.

[11]Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).

[12]Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.

[13](Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, –

[14]Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan), –

[15](Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz;

[16](Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.

[17]Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?

[18](Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? –

[19]Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab;

[20]Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih);

[21]Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;

[22]Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).

[23]Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya.

[24](Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya):

[25]Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.

[26]Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, –

[27]Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,

[28]Dan buah anggur serta sayur-sayuran,

[29]Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma,

[30]Dan taman-taman yang menghijau subur,

[31]Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, –

[32]Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

[33]Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat, –

[34]Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,

[35]Dan ibunya serta bapanya,

[36]Dan isterinya serta anak-anaknya; –

[37]Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

[38]Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,

[39]Tertawa, lagi bersuka ria;

[40]Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,

[41]Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. –

[42]Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.

No comments:

Post a Comment