79. An-Nazi’at

[1]Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya;

[2]Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya;


[3]Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya;


[4]Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya;


[5]Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)! –


[6]Pada masa berlakunya “tiupan sangkakala yang pertama” yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan),


[7]Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing);


[8]Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut,


[9]Pemandangannya tunduk gerun.


[10]Mereka (yang ingkar) berkata: “Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu?


[11]“Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?”


[12]Mereka berkata lagi (secara mengejek: “Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan!”


[13](Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua), –


[14]Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata.


[15]Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?


[16]Ketika ia diseru oleh Tuhannya di “Wadi Tuwa” yang suci; –


[17](Lalu diperintahkan kepadanya): “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);


[18]“Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?


[19]`Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? ‘ “


[20](Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: mukjizat yang besar.


[21]Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah);


[22]Kemudian ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa).


[23]Lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru, –


[24]Dengan berkata: “Akulah tuhan kamu, yang tertinggi”.


[25]Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya.


[26]Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).


[27](Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!


[28]Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya,


[29]Dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.


[30]Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), –


[31]Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;


[32]Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya);


[33](Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.


[34]Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar, –


[35]Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya, –


[36]Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya, –


[37]Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), –


[38]Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, –


[39]Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.


[40]Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, –


[41]Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.


[42]Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”


[43]Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?


[44]Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.


[45]Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.


[46](Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

No comments:

Post a Comment