78. An-Naba’

[1]Tentang apakah mereka bertanya-tanya?

[2]Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).


[3]Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.


[4]Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).


[5]Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).


[6](Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?


[7]Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?


[8]Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?


[9]Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?


[10]Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?


[11]Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?


[12]Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?


[13]Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?


[14]Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, –


[15]Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, –

[16]Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?


[17]Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,


[18]Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);


[19]Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas,


[20]Dan gunung-ganang – setelah dihancurkan – diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.

[21]Sesungguhnya neraka Jahannam adalah disediakan –


[22]Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.


[23]Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.


[24]Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman –


[25]Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, –


[26]Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).


[27]Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,


[28]Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;


[29]Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.


[30](Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.


[31]Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.


[32](Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;


[33]Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;


[34]Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;


[35]Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;


[36]Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),


[37]Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);


[38](Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.


[39]Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!


[40]Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.

No comments:

Post a Comment