[1]Wahai orang yang berselimut!.
[2]Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
[3]Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
[4]Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.
[5](Sayugialah engkau dan
pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang
berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan
kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat
(kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
[6]Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.
[7](Kami galakkan engkau dan umatmu
beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari
mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
[8]Dan sebutlah (dengan lidah dan hati)
akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah
(amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
[9]Dia lah Tuhan yang menguasai timur
dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang
menyempurnakan urusanmu.
[10]Dan bersabarlah terhadap apa yang
dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari
mereka dengan cara yang baik.
[11]Dan biarkanlah Aku sahaja membalas
orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada
dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;
[12]Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,
[13]Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[14](Azab itu tetap berlaku) pada hari
bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur), dan menjadilah
gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah.
[15]Sesungguhnya Kami telah mengutus
kepada kamu (wahai umat Muhammad), seorang Rasul yang menjadi saksi
terhadap kamu (tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya),
sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul.
[16]Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa yang seberat-beratnya.
[17](Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di
dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu –
kalau kamu kufur ingkar – (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan
kanak-kanak menjadi tua beruban?
[18]Langit (yang demikian besarnya)
akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu. (Ingatlah), janji
Allah adalah perkara yang tetap dilakukanNya.
[19]Sesungguhnya
(keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan
oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil
jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).
[20]Sesungguhnya Tuhanmu (wahai
Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud)
selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan
selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan
dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah
yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar
masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan
dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik
perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh
itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran
(dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu
orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di
muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang
lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela
ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari
Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah
pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan
(ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk
diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah,
-sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan
mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
No comments:
Post a Comment