[1]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu
rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka
(menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami
telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan
kandungannya sungguh menakjubkan!
[2]`Kitab yang memberi panduan ke jalan
yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali
akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.
[3]Dan (ketahuilah
wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan
keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.
[4]`Dan (dengan ajaran Al-Quran
nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya
dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang
melampaui kebenaran;
[5]`Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah
kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan
berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.
[6]`Dan bahawa sesungguhnya adalah
(amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan
melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua
golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan
jin bertambah sombong dan jahat.
[7]`Dan bahawa
sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu
sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau
tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat).
[8]`Dan bahawa sesungguhnya kami telah
berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan
pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan
rejaman-rejaman) api yang menyala.
[9]`Padahal sesungguhnya kami dahulu
biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar
(percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar,
akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.
[10]`Dan bahawa sesungguhnya kami
tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian)
hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan
mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?
[11]`Dan bahawa sesungguhnya (memang
maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di
antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan
dan cara yang berlainan.
[12]`Dan bahawa sesungguhnya kita
(sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat
melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di
bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari
balasanNya (walau ke langit sekalipun).
[13]`Dan bahawa sesungguhnya kami,
ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan
tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya,
maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai
amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.
[14]`Dan bahawa sesungguhnya (dengan
datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama
Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng
dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman
dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan
menurut jalan yang benar,
[15]` Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam. ‘
[16](Nabi Muhammad diwahyukan
menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia
dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami
(akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan
hujan lebat kepada mereka.
[17]“(Pemberian yang demikian) untuk
Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati
apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul
menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati
Tuhannya, (dengan berlaku ingkar – derhaka, maka) Tuhan akan
memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.
[18]“Dan bahawa sesungguhnya
masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka
janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.
[19]“Dan bahawa sesungguhnya, ketika
hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka
hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”.
[20]Katakanlah (wahai Muhammad):
“Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku
tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun”.
[21]Katakanlah lagi; ” Sesungguhnya
aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa
mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.
[22]Katakanlah lagi; “Sesungguhnya
aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun
dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak
sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,
[23]“(Aku diberi kuasa) hanya
menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang
ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada
Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan
baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.”.
[24](Golongan yang kufur ingkar itu
tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong wahai Muhammad),
sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka,
maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah
penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.
[25](Kalau ditanya bilakah azab itu?
Maka) katakanlah: “Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan
kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya
satu tempoh yang lanjut.
[26]“Tuhanlah sahaja yang mengetahui
segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang
diketahuiNya itu kepada sesiapapun, –
[27]“Melainkan kepada mana-mana Rasul
yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang
berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian)
maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu
malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib
itu selamat sampai kepada yang berkenaan).
[28]“(Tuhan mengadakan
malaikat-malaikat itu) supaya Ia mengetahui bahawa sesungguhnya –
(dengan jagaan mereka) – Rasul-rasul itu telah menyampaikan
perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Ia memang
mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Ia
menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu”.
No comments:
Post a Comment