[1]Wahai orang yang berselimut!
[2]Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
[3]Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
[4]Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
[5]Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
[6]Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
[7]Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
[8]Kerana apabila telah ditiup sangkakala,
[9]Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar –
[10]Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya).
[11](Jangan engkau bimbang wahai
Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang
Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak
pinak),
[12]Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,
[13]Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.
[14]Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya.
[15]Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;
[16]Tidak sekali-kali (akan ditambahi)
! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami
(Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).
[17]Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.
[18]Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) –
[19]Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?
[20]Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?
[21]Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal);
[22]Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut;
[23]Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,
[24]Serta ia berkata: ” (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);
[25]“Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!”
[26](Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.
[27]Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?
[28]Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus)
[29]Ia terus-menerus membakar kulit manusia!
[30]Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).
[31]Dan (ketahuilah bahawa hikmat)
Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari
kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar
makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak
menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang
menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya
orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan
yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman
bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan
orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran
keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada
penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata:
“Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil
ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan
tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan
(ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak
lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.
[32]Sebenarnya! Demi bulan,
[33]Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,
[34]Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,
[35]Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,
[36]Yang menjadi amaran bagi umat manusia,
[37](Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).
[38]Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,
[39]Kecuali puak Kanan,
[40](Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,
[41]Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,
[42](Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata):”Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”
[43]Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
[44]“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;
[45]“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;
[46]“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,
[47]“Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”.
[48]Maka tidak akan berguna kepada
mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa
yang boleh memberikan syafaat itu.
[49](Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran) ?
[50]Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari,
[51]Melarikan diri (ketakutan) dari singa!
[52](Mereka tidak
merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di
antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang
diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri).
[53]Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat.
[54]Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya);
[55]Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.
[56]Dan (dalam pada
itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah;
Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang
berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).
No comments:
Post a Comment