[1]Sesungguhnya Kami
telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya):
“Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi
azab yang tidak terperi sakitnya”.
[2]dia pun (menyeru mereka dengan)
berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai
pemberi ingatan dan amaran yang nyata;
[3]“Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;
[4]“Supaya Allah mengampunkan bagi kamu
sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak
terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah
beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan)
Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu
mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)”.
[5](Setelah puas menyeru mereka), Nabi
Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah
menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
[6]“Maka seruanku itu tidak memberikan
mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan
diri (dari kebenaran).
[7]“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap
kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa
mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan
berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan
berlaku sombong takbur dengan melampau.
[8]“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;
[9]“Selain dari itu, aku
(berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan
berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan
perlahan-lahan.
[10]“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.
[11]“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
[12]“Dan Ia akan memberi kepada kamu
dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan
bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai
(yang mengalir di dalamnya).
[13]“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), –
[14]“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?
[15]“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,
[16]“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),
[17]“Dan Allah telah menumbuhkan kamu
(hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang
sungguh-sungguh sempurna,
[18]“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke
dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah
dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan
pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?
[19]“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,
[20]“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.
[21]Nabi Nuh (merayu lagi dengan)
berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku,
dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya
tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).
[22]“Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).
[23]“Dan (ketua-ketua) mereka
(menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan)
tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth,
dan Ya’uuq, serta Nasr.
[24]“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu
telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang
demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang
zalim itu melainkan kesesatan jua”.
[25]Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan
mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian
(pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan
beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan
pertolongan).
[26]Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan)
berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari
orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!
[27]“Kerana sesungguhnya jika Engkau
biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu,
dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi
kufur ingkar.
[28]“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah
bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke
rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan
janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”
No comments:
Post a Comment