[1]Wahai
Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan
isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat
memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta
bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka
dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah
pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka
melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum
Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar
aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim
kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak
mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu
perkara (yang lain).
[2]Kemudian, apabila mereka
(hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk)
dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan
adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu
merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi)
menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan
hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada
sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang
bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari
segala perkara yang menyusahkannya),
[3]Serta memberinya rezeki
dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa
berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya
(untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap
melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan
kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[4]Dan perempuan-perempuan
dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu
menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga
bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.
Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka
melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa
kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
[5]Peraturan-peraturan yang
demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan diterangkanNya
kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya
Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala
balasannya.
[6]Tempatkanlah
isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu
sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang
menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak
menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat
itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah
kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang
dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka
berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam
hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari
kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain
menyusukannya.
[7]Hendaklah orang yang mampu
memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan
rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan
Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang
melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.
(Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan
memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
[8]Dan bukan sedikit
negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka
dan Rasul-rasulNya, maka Kami hitung amal mereka satu persatu dengan
hitungan yang keras rapi, serta Kami seksakan mereka dengan azab yang
tidak pernah dikenal dahsyatnya.
[9]Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan derhakanya, dan menjadilah akibat perbuatan mereka satu kerugian yang besar.
[10]Allah menyediakan bagi
mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertaqwalah kepada Allah
kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang
beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan –
[11](Dengan
mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada
kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah
mengeluarkan orang-orang (yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan
beramal soleh – dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya (hidayah
petunjuk). Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal
soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.
Sesungguhnya Allah (dengan yang demikian) telah mengurniakan kepadanya
sebaik-baik pemberian.
[12]Allah yang menciptakan
tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah
Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya
yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap
meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.
No comments:
Post a Comment