[1]Segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada
Allah; bagiNyalah kuasa pemerintahan, dan bagiNyalah segala pujian; dan
Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[2]Dia lah yang mengaturkan
kejadian kamu; maka ada sebahagian dari kamu yang kafir dan ada
sebahagian dari kamu yang beriman; dan Allah Maha Melihat akan segala
yang kamu kerjakan (serta membalas masing-masing).
[3]Ia menciptakan langit dan
bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan Ia menentukan
bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu; dan kepadaNyalah tempat
kembali.
[4]Ia mengetahui segala yang
ada di langit dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu rahsiakan
serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi
hati) yang terkandung di dalam dada;
[5]Bukankah telah sampai
kepada kamu berita orang-orang kafir yang telah lalu? Lalu mereka
merasai kesan yang buruk dari perbuatan kufur mereka; dan mereka (pada
hari akhirat kelak) beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[6](Balasan) yang demikian
itu, kerana sesungguhnya mereka pernah didatangi Rasul-rasul (yang
diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas
nyata, maka mereka berkata:” Patutkah manusia (yang seperti kami –
menjadi Rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami?” Lalu mereka kufur
ingkar serta berpaling (dari kebenaran); dan Allah pun menyatakan tidak
berhajatNya (kepada iman dan ketaatan mereka lalu membinasakan mereka);
dan Allah sememangnya Maha Kaya, lagi tetap Terpuji.
[7](Di antara sebab-sebab
kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa
mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (sesudah mati). Katakanlah:
“Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan
diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian
itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
[8]Oleh itu, berimanlah kamu
kepada Allah dan kepada rasulNya serta kepada penerangan cahaya Al-Quran
– yang Kami turunkan. Dan (ingatlah), Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
[9](Ingatkanlah) masa Allah
menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), –
itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa
yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah
mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.
[10]Dan orang-orang yang
kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli
neraka, kekalah mereka di dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat
kembali.
[11]Tidak ada kesusahan
(atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin
Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin
hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan
sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[12]Dan taatlah kamu kepada
Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling
(enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana
sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan
(perintah-perintah) dengan jelas nyata.
[13]Allah, tiada Tuhan melainkan Dia; dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang-orang yang beriman wajib berserah diri.
[14]Wahai orang-orang yang
beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak
kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta
berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak
marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan
berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[15]Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
[16]Oleh itu bertaqwalah
kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan
pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan
belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan
(ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada
dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang
berjaya.
[17]Dan kalau kamu memberi
pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya
Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan
dosa-dosa kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada
golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang
kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).
[18]Dia lah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dia lah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
No comments:
Post a Comment