[1]Wahai
Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada
menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau
hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan
kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[2]Sesungguhnya Allah telah
menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari
sumpah kamu (dengan membayar denda – kaffarah); dan Allah ialah
Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.
[3]Dan (ingatlah), ketika
Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari
isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia
yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan
rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu
menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan
tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak
banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya,
isterinya bertanya: “Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? ”
Nabi menjawab: “Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi
Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang
tersembunyi) “.
[4]Jika kamu berdua bertaubat
kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya),
kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara
yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk
(melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak
akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain
dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang
yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.
[5]Boleh jadi, jika Nabi
menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang
lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya,
yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, –
(meliputi) yang janda dan yang anak dara.
[6]Wahai orang-orang yang
beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang
bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga
dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka
tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada
mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
[7]Malaikat
itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka):
“Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur
(dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat).
Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan”.
[8]Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”,
mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan
memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang
beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka,
bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa
mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba
dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya
kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
[9]Wahai Nabi! Berjihadlah
(menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak
keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka
Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[10]Allah mengemukakan satu
misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi
orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi
mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri
Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua
orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka
berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami
masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu)
tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab)
Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari
pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama
orang-orang yang masuk (ke situ)”.
[11]Dan Allah mengemukakan
satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada
orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak
terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia
berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam
Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur
dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”;
[12]Dan juga (satu misal
perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang
perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari
disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia
mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam
kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu
hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah
Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang
tetap taat.
No comments:
Post a Comment