[1]Apabila
orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata:
“Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul
Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya,
serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah
dusta.
[2]Mereka menjadikan sumpahnya (atau
akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta
bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang
(dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah
buruk apa yang mereka telah kerjakan.
[3](Perbuatan buruk) yang demikian
kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian
mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan
atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan
yang mana salah).
[4]Dan apabila engkau melihat mereka,
engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan
apabila mereka berkata-kata, engkaujuga (tertarik hati) mendengar tutur
katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti
batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada
padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah,
sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau
riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka.
Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau
terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari
rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa
nafsunya – dari kebenaran)?
[5]Dan apabila dikatakan kepada mereka:
” Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah)
untuk kamu”, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan
engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku
sombong angkuh.
[6](Tidak ada faedahnya) kepada mereka,
sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta
ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya
Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
[7]Merekalah yang
mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah
dan orang-orang Muhajirin): “Janganlah kamu membelanjakan harta kamu
kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka
bersurai (meninggalkannya)”. Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan
langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat
sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi
orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).
[8]Mereka berkata
lagi: ” Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan
perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan
mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak
Islam)”. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi
RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang
munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[9]Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak
kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan
(ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah
orang-orang yang rugi.
[10]Dan belanjakanlah (dermakanlah)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang
dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat
itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau
Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit
sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari
orang-orang yang soleh “.
[11]Dan (ingatlah), Allah tidak
sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang
bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya
mengenai segala yang kamu kerjakan.
No comments:
Post a Comment