[1]Segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah
Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.
[2]Dia lah yang telah mengutuskan dalam
kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad
s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka
ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan
membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka
Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai
hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi
Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
[3]Dan juga (telah mengutuskan Nabi
Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum
(datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka; dan (ingatlah),
Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[4](Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w,
kepada umat manusia seluruhnya) itu (yang menjadi rahmat) adalah limpah
kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan
sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[5](Sifat-sifat Nabi Muhammad itu
telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak
juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang
ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab
Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas
itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar
(sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum
yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak
memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
[6]Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai
orang-orang yang berugama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah
sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia
yang lain, maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada
Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang
yang benar!”
[7]Dan (sudah tentu) mereka tidak akan
bercita-cita hendakkan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa
yang mereka telah lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan
orang-orang yang zalim itu.
[8]Katakanlah (wahai Muhammad):
“Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia
akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang
mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada
kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.
[9]Wahai orang-orang yang beriman!
Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari
Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah
(dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli
(pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu
mengetahui (hakikat yang sebenarnya),
[10]Kemudian setelah selesai
sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan
urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah
kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala
keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
[11]Dan apabila mereka mengetahui
kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar)
sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan
meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah
(wahai Muhammad:” Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik
dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik
pemberi rezeki.
No comments:
Post a Comment