[1]Segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan
Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
[3]Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
[4]Sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang
teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
[5]Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi
Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti
daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah
kepada kamu?” Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka
sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat
hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada kaum yang fasik – derhaka.
[6]Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika
Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini
Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan
sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan
kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama:
Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa
keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir
yang jelas nyata!”
[7]Dan tidak ada yang lebih zalim
daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang
ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi
hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
[8]Mereka sentiasa berusaha hendak
memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah
tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka
(akan yang demikian).
[9]Dia lah yang telah mengutus RasulNya
(Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar
(ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala
ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
[10]Wahai orang-orang yang beriman!
Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu
dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
[11]Iaitu, kamu beriman kepada Allah
dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah
dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik
bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[12](Dengan itu) Allah akan
mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di
tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan
yang besar.
[13]Dan ada lagi limpah kurnia yang
kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa
berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada
orang-orang yang beriman.
[14]Wahai orang-orang yang beriman!
Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan
penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada
penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” Mereka
menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (Setelah Nabi Isa
tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil
beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan
kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka
menjadilah mereka orang-orang yang menang.
No comments:
Post a Comment