[1]Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi
teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita
rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra
yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar
terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah
mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah
Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah
kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada
jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya)
kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang
Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu
zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara
yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang
betul.
[2]Jika mereka dapat menguasai kamu,
nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan
membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan
kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti
mereka).
[3]Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu
(yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan
sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di
antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat
segala yang kamu kerjakan.
[4]Sesungguhnya adalah bagi kamu pada
bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang
baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar):
“Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang
kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala
penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan
kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu
menyembah Allah semata-mata”, tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi
Ibrahim kepada bapanya (katanya): “Aku akan memohon kepada Tuhanku
mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah
sedikit juapun daripada menimpamu”. (Berdoalah wahai orang-orang yang
beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika
mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): “Wahai Tuhan kami!
Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami
rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!
[5]“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan
orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami;
sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
[6]Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu
pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan
(balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada
mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana
sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[7]Semoga Allah akan mengadakan
perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi
dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk
Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan
Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[8]Allah tidak melarang kamu daripada
berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi
kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil.
[9]Sesungguhnya Allah hanyalah melarang
kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu
kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu,
serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa
yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang
zalim.
[10]Wahai orang-orang yang beriman!
Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah
kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman
mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka
beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang
yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai
isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai
suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka
telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan
mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi
kepada mereka maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam)
tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan
yang (kekal dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang
kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu)
meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah;
Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[11]Dan sekiranya kamu tidak dapat
menerima balik sesuatu dari maskahwin isteri-isteri kamu (yang menjadi
murtad serta) melarikan diri ke pihak orang-orang kafir, kemudian kamu
menyerang puak yang kafir itu serta mendapat harta rampasan maka
berikanlah kepada orang-orang (Islam) yang lari isterinya itu ganti
maskahwinnya sebanyak yang mereka telah bayar. Dan bertaqwalah kamu
kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya.
[12]Wahai Nabi! Apabila orang-orang
perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat
setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan
sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan
berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak
akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari
kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam
sesuatu perkara yang baik, – maka terimalah pengakuan taat setia mereka
dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[13]Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah,
mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat,
sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.
No comments:
Post a Comment