[1]Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]Dia lah yang telah
mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab – dari kampung
halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi
Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan
keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat),
dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat
menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka
Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas
dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke
dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan
tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang
beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka
insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang
yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.
[3]Dan kalaulah tidak kerana
Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap
mereka, tentulah Ia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan
beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak.
[4](Mereka ditimpakan azab)
yang demikian, kerana mereka mereka menentang (perintah) Allah dan
RasulNya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka
sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya.
[5]Mana-mana jua pohon kurma
(kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri
seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin
Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin),
dan kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik.
[6]Dan apajua yang Allah
kurniakan kepada RasulNya dari peninggalan harta benda mereka (yang
telah diusir itu, maka kamu tidak berhak mendapatnya), kerana kamu tidak
memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk
berperang mengalahkan mereka); tetapi Allah memberikan kekuasaan kepada
Rasul-rasulNya mengalahkan sesiapa yang dikehendakiNya (dengan tidak
payah berperang); dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[7]Apa yang Allah kurniakan
kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa
dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi
Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan
orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan).
(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara
orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa
oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan
apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.
Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab
seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
[8](Pemberian itu hendaklah
diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir
keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang
teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan
keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah
orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).
[9]Dan orang-orang (Ansar)
yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi
orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam
hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada
orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang
yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka
dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa
yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat
bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
[10]Dan orang-orang (Islam)
yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai
Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang
mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati
perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman.
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan
RahmatMu”.
[11]Tidakkah engkau melihat
dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik
itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir
dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: “Sesungguhnya, kalau kamu
dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami
tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu
selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela
kamu!” Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka
adalah pendusta.
[12]Demi sesungguhnya! Jika
orang-orang (Yahudi) itu dihalau keluar (dari Madinah), mereka (yang
munafik) ini tidak akan keluar bersama-samanya; dan demi sesungguhnya,
jika orang-orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak
akan membelanya; dan demi sesungguhnya, jika ditakdirkan mereka
membelanya sekalipun, sudah tentu mereka (semuanya – Yahudi dan munafik)
akan melarikan diri; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan, –
[13](Kerana) sesungguhnya
kamu – dalam hati mereka, – sangat ditakuti lebih dari Allah; yang
demikian itu, kerana mereka ialah kaum yang tidak memgerti (akan
kekuasaan Allah dan kebesaranNya).
[14](Orang-orang
Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun,
tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng
kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara
mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu
padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan
kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang
tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada
mereka).
[15](Keadaan kaum Yahudi
itu) samalah seperti orang-orang (dari suku Yahudi) yang terdahulu
sedikit dari mereka, yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia)
dengan sebab bawaan kufur mereka; dan mereka pula akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya (pada hari akhirat kelak).
[16](Sikap kaum munafik
dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia
berkata kepada manusia: “Berlaku kufurlah engkau!” Setelah orang itu
berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya:
“Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku
takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!”
[17]Maka kesudahan
keduanya, bahawa mereka ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di
dalamnya. Dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim.
[18]Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan
memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari
esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang
kamu kerjakan.
[19]Dan janganlah kamu
menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah)
Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk
menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik –
derhaka.
[20]Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).
[21]Sekiranya Kami turunkan
Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu
khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah),
misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya
mereka memikirkannya.
[22]Dia lah Allah, yang
tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan
yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[23]Dia lah Allah, yang
tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha
Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha
Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha
Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi
segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan
denganNya.
[24]Dia lah Allah, Yang
Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada);
Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya);
bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih
kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada
bandingNya, lagi Maha Bijaksana.
No comments:
Post a Comment