[1]Sesungguhnya
Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal
jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa
merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah
sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Melihat.
[2]Orang-orang yang
“ziharkan” isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang
bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu
mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka.
Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan
suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah
Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[3]Dan orang-orang yang
“ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka
ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami
itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri)
bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya
jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha
Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[4]Kemudian,
sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia
berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu
bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah
ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk
membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi
perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum
Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[5]Sesungguhnya orang-orang
yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa
kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa
kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan
keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir
disediakan azab seksa yang menghina,
[6]Semasa mereka semuanya
dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu
diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah
menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah
melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap
sesuatu.
[7]Tidakkah engkau
memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang
melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang
melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan
itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di
mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka –
pada hari kiamat – apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[8]Tidakkah engkau
memerhatikan (wahai Muhammad) akan orang-orang (Yahudi) yang telah
dilarang daripada perbuatan berbisik-bisik, kemudian mereka berbalik
melakukan perbuatan yang telah dilarang itu serta mereka berbisik-bisik
berkenaan dengan melakukan dosa dan pencerobohan serta kederhakaan
kepada Rasulullah? Dan lagi apabila mereka datang kepadamu, mereka
memberi salam hormat bukan dengan lafaz salam hormat yang diberikan
Allah kepadamu; dan mereka berkata sesama sendiri: “(Kalau benar
Muhammad utusan Tuhan, maka) sepatutnya kami diseksa oleh Allah
disebabkan (kata-kata buruk) yang kami ucapkan itu?” Cukuplah untuk
mereka neraka Jahannam, yang mereka akan dibakar di dalamnya; maka
itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[9]Wahai orang-orang yang
beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu
berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan
derhaka kepada Rasulullah; dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat
kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah
yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk
dihitung amal kamu dan menerima balasan).
[10]Sesungguhnya perbuatan
berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk
menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu
tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin
Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman
berserah diri.
[11]Wahai orang-orang yang
beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk
kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah
melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun
maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman
di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama
(dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha
Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.
[12]Wahai orang-orang yang
beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada
Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum
kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu
dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak
disedekahkan, (kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang
tak dapat dielak), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[13]Adakah kamu takut (akan
kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu
mengadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu, dan Allah pun
memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan
berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu
kepada Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam
PengetahuanNya akan segala amalan yang kamu lakukan.
[14]Tidakkah engkau melihat
(bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang
telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka
itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang
tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka
selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka
adalah berdusta).
[15]Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.
[16]Mereka menjadikan
sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya
daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah
mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu
mereka beroleh azab seksa yang menghina.
[17]harta benda mereka dan
anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang
pertolongan kepada mereka dari azab Allah. Merekalah ahli neraka, mereka
tetap kekal di dalamnya.
[18](Setelah nyata kepada
orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat
memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah
(pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka
adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada
kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan
mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa
sesungguhnya merekalah golongan pendusta.
[19]Syaitan telah menguasai
dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati
(ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah!
Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.
[20]Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina.
[21]Allah telah menetapkan:
“Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan (golongan yang
menentang) “. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa.
[22]Engkau tidak akan
dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak
berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan
RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa
mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun
keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman
dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat
pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di
dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan
nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah.
Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah
orang-orang yang berjaya.
No comments:
Post a Comment