[1]Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,
[2]Kemenangan yang dengan
sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang
terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu
hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan
hukum-hukumnya).
[3]Dan dengan sebabnya Allah
memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh
dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).
[4](Tuhan yang membuka jalan
kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke
dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap
angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan
iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai
tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[5](Allah melakukan yang
demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman – lelaki dan
perempuan – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa
mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan
yang besar (untuk mereka);
[6]Dan supaya Ia menyeksa
orang-orang munafik – lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik –
lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang
buruk (bahawa Ia akan mengecewakan RasulNya). Atas merekalah
tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain
itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk
mereka neraka Jahannam; sedang neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk
tempat kembali.
[7]Dan Allah menguasai
tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka); dan
Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[8]Sesungguhnya Kami telah
mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang
diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada
orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang
ingkar).
[9](Kami mengutusmu wahai
Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya,
dan supaya kamu kuatkan ugamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu
beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
[10]Sesungguhnya
orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad –
untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan
taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat
setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak
menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya
menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah
dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala
yang besar.
[11]Orang-orang “A’raab”
(kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke
Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): “Kami telah
dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri
kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami”. Mereka
berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah
(wahai Muhammad: “Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka adakah
sesiapa yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima
sesuatu ketetapan dari Allah jika Ia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau
beroleh manfaat? (Tidak ada sesiapapun, dan apa yang kamu katakan itu
bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha Mendalam pengetahuanNya
tentang sebab ketinggalan yang kamu lakukan itu (dan Ia akan
membalasnya).
[12]“(Itu bukanlah
sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan
orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan)
tidak akan kembali lagi kepada akan isteri dan keluarga masing-masing
selama-lamanya; dan sangkaan yang demikian itu diperelokkan (oleh
Syaitan) di dalam hati kamu (serta menerimanya); dan lagi kamu telah
menyangka berbagai-bagai sangkaan yang buruk (terhadap ugama Allah yang
dibawa oleh RasulNya); dan (dengan itu) menjadilah kamu kaum yang rosak
binasa”.
[13]Dan (ingatlah bahawa)
sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya
Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api neraka yang
menjulang-julang.
[14]Dan (ingatlah juga
bahawa) kuasa pemerintahan langit dan bumi adalah hak kepunyaan Allah,
Ia berkuasa mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga
berkuasa menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[15]Orang-orang (munafik)
yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu
pergi (mengepong musuh serta) mendapat harta rampasan perang: Biarkanlah
kami turut serta dengan kamu!” Mereka (dengan itu) hendak mengubah
janji Allah (yang menentukan hanya orang-orang yang turut hadir di
Hudaibiyah sahaja yang berhak mendapat harta rampasan perang itu).
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut
serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak
dahulu lagi”. Mereka akan berkata pula: “(Bukan Tuhan yang melarang)
bahkan kamu dengki kepada kami”, (apa yang mereka katakan itu tidaklah
benar), bahkan mereka tidak faham kecuali sedikit sahaja; (mereka hanya
faham tentang kehidupan dan kesenangan dunia semata-mata).
[16]Katakanlah (wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu)
dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi: “Kamu akan diajak menentang satu
kaum (penceroboh) yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya, atau
mereka menurut perintah Islam (secara damai). Jika kamu taat
(menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan
balasan yang baik (di dunia dan akhirat), dan kalau kamu berpaling
ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan menyeksa kamu
dengan azab yang tidak terperi sakitnya”.
[17]Tidaklah menjadi salah
kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan
tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana
masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada
Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan
diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
[18]Demi sesungguhnya!
Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan
pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon
(yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang
sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada
dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada
mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;
[19]Dan juga dengan banyak
harta rampasan perang, yang mereka akan dapat mengambilnya. Dan
(ingatlah), Allah adalah Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[20](Sebagai memuliakan
orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan
menujukan firmannya kepada mereka): Allah menjanjikan kepada kamu harta
rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Ia menyegerakan
untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan
manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan
yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda
(yang membuktikan kebenaran janjiNya) bagi orang-orang yang beriman, dan
juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus.
[21]Dan ada lagi harta
rampasan lain yang kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah telah
memelihara harta itu dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya); dan
(ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[22]Dan sekiranya
orang-orang kafir (dari penduduk Makkah) itu memerangi kamu (di
Hudaibiyah), tentulah mereka akan berpaling melarikan diri dengan
kekalahan; kemudian mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang menjadi
pelindung atau memberikan pertolongan.
[23](Kekalahan orang-orang
yang menentang Rasul Allah sudah tetap menurut) “Sunnatullah” (peraturan
Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan
mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.
[24]Dan Dia lah yang telah
menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan perkara yang
buruk terhadap kamu, dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada
mereka di kawasan Makkah, sesudah Ia menjadikan kamu dapat menewaskan
mereka. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu
kerjakan.
[25]Mereka itulah
orang-orang yang kafir dan menghalang kamu daripada masuk ke masjid
Al-Haraam (Makkah Al-Mukarramah) serta (menyebabkan) binatang-binatang
korban (yang kamu bawa): tertahan dari sampai ke tempat sembelihannya.
Dan kalaulah tidak kerana kemungkinan kamu akan melakukan pembunuhan
yang tidak sengaja terhadap beberapa orang yang beriman, lelaki dan
perempuan, yang ada di antara orang-orang kafir itu, pada hal kamu tidak
mengetahui mereka beriman, yang akibatnya kamu akan menanggung
kesusahan dan dukacita disebabkan pembunuhan mereka, – (tentulah
diizinkan kamu menyerang kaum musyrik yang mengancam kamu itu). (Tetapi
tidak diizinkan) kerana Allah hendak memasukkan sesiapa yang
dikehendakiNya ke dalam rahmatNya. Kalaulah mereka (penduduk Makkah –
yang beriman dan yang musyrik) itu berpisahan (di antara satu puak
dengan yang lain), tentulah Kami menyeksa orang-orang yang kafir dari
mereka dengan seksa (di dunia) yang tidak terperi sakitnya.
[26](Ingatlah dan
kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu
menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap
kebenaran Islam) – perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang
menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat
tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman
(sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang
kepada “Kalimah Taqwa”, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang
yang sangat berhak dengan “kalimah Taqwa” itu serta menjadi ahlinya.
Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[27]Demi sesungguhnya!
Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan
kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki
Masjid Al-Haraam – insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam
keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala
kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu
tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik
dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia
mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak
mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu,
satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya).
[28](Allah yang menyatakan
itu) Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad, s.a.w) dengan
membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Dia
memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan ugama yang lain;
dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh
RasulNya itu).
[29]Nabi Muhammad (s.a.w)
ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras
dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan
sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama
sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan
sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka
serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai
orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan
ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di
dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah:
(bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak
dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia
menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan
keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan
sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang
biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan
orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan
kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah
menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka,
keampunan dan pahala yang besar.
No comments:
Post a Comment