1]Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan
sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan
RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[2]Wahai orang-orang yang
beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan
janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap
dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa
bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya
amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
[3]Sesungguhnya orang-orang
yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah
(s.a.w), – merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati
mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
[4]Sesungguhnya orang-orang
yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad),
kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).
[5]Dan kalaulah mereka
bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara
yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[6]Wahai orang-orang yang
beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan
sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali
apa yang kamu telah lakukan.
[7]Dan ketahuilah!
Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan
atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut
kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami
kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang
diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah
bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai
serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan
perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu
benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap
menurut jalan yang lurus; –
[8](Mereka dijadikan
berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari
Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[9]Dan jika dua puak dari
orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya;
jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak
yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia
kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut
hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara);
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[10]Sebenarnya orang-orang
yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah
supaya kamu beroleh rahmat.
[11]Wahai orang-orang yang
beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan
merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu
puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan
yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada
mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang
lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang
lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut
menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah
buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan
(ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya)
maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12]Wahai orang-orang yang
beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka
sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan
dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya
yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya
yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu
jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut)
dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat,
lagi Maha mengasihani.
[13]Wahai umat manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan
Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu
berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih
taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya
(akan keadaan dan amalan kamu).
[14]Orang-orang ” A’raab”
berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum
beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi
meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam
‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan
batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal
kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
[15]Sesungguhnya
orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang
percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya
dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda
dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar
(pengakuan imannya).
[16]Katakanlah (kepada
orang-orang “A’raab” itu wahai Muhammad): “Patutkah kamu hendak
memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` kami
telah beriman ‘)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan
yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.
[17]Mereka mengira dirinya
berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak
melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): “Janganlah
kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah
sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak
membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin
kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang
yang benar (pengakuan imannya).
[18]“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”.
No comments:
Post a Comment