[1]Haa, Miim.
[2]Diturunkan Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[3](Ingatlah), tidaklah Kami
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya
melainkan dengan ada gunanya yang benar dan dengan ada masa
penghujungnya yang tertentu (yang padanya dijalankan pembalasan); dan
orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan
kepada mereka mengenainya.
[4]Katakanlah (wahai Muhammad
kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): “Sudahkah kamu mengetahui
kekuasaan dan kelayakan makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah
yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan
dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang
perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit?
Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Quran
ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan
orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar
(tentang dakwaan kamu itu)!”
[5]Dan tidak ada yang lebih
sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang
tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya
(dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang
mereka sembah itu tidak dapat menyedari atau memberi layanan baik kepada
permohonan mereka.
[6]Dan apabila manusia
dihimpunkan (untuk dihitung amalnya pada hari akhirat), menjadilah
segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, dan
segala yang disembah itu juga tidak mengakui serta mendustakan
penyembahan mereka kepadanya.
[7]Dan apabila dibacakan
kepada mereka (yang kafir) ayat-ayat Quran kami yang jelas nyata,
berkatalah mereka terhadap kebenaran (Al-Quran) bila sahaja disampaikan
kepada mereka: “Ini ialah sihir yang nyata!”.
[8](Bukan setakat itu sahaja
mereka katakan) bahkan mereka menuduh dengan berkata: “Muhammad telah
merekakan Al-Quran itu.” Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau aku
merekakan Al-Quran itu (maka tentulah aku tidak terlepas dari azab
kesalahan itu) kerana kamu (dan juga yang lain dari kamu) tidak berkuasa
memberikan daku sebarang perlindungan dari (azab) Allah. Allah lebih
mengetahui akan (tuduhan-tuduhan yang tidak berasas) yang kamu
perkatakan itu; cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan
Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[9]Katakanlah lagi: “Bukanlah
aku seorang Rasul pembawa ugama yang berlainan dari ugama yang dibawa
oleh Rasul-rasul (yang telah lalu), dan aku tidak mengetahui apa yang
akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu. Aku tidak melakukan sesuatu
melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku, dan aku tidak lain
hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata”
[10]Katakanlah lagi:
“Bagaimana fikiran kamu jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah
dan kamu mengingkarinya, pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil
memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Quran
ini, lalu ia percayakan (Al-Quran ini dari Allah), sedang kamu dengan
sombong angkuh mengingkarinya? (Tidakkah dengan yang demikian kamu
bersifat zalim)? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada orang-orang yang zalim (yang degil dalam kekufurannya)”.
[11]Dan (kerana sombong
angkuhnya orang-orang kafir itu) mereka berkata tentang kepercayaan
orang-orang yang beriman: “Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu
perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya
(kerana kamilah yang sepatutnya menerima segala kebaikan)!” Dan setelah
mereka tidak dapat menerima petunjuk Al-Quran itu, (mereka memusuhinya)
lalu mereka mencacinya dengan berkata: “Al-Quran ini ialah rekaan dusta
yang sudah lama”.
[12](Bagaimana mereka
tergamak mengatakan Al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal
telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat
(kepada umatnya); dan Al-Quran pula sebuah Kitab – yang mengesahkan
kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), – diturunkan dalam bahasa Arab
untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira
bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.
[13]Sesungguhnya
orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami
ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul
(dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan
(dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita.
[14]Merekalah ahli Syurga, tetap kekalah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.
[15]Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya
dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta
dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya
dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan
berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan
nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan
supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan
jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat
keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku
dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
[16]Mereka (yang bersifat
dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami
terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan
Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam
kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah
dijanjikan kepada mereka.
[17]Dan (sebaliknya amatlah
derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka
mengajaknya beriman): “Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua!
Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar
dari kubur, padahal berbagai umat sebelumku telah berlalu (masih lagi
belum kembali)? ” Sambil mendengar kata-katanya itu – ibu bapanya merayu
memohon pertolongan Allah (menyelamatkan anak mereka) serta berkata
(kepada anaknya yang ingkar itu): “Selamatkanlah dirimu! Berimanlah
(tentang hidup semula menerima balasan amal)! Sesungguhnya janji Allah
tetap benar”. Lalu ia menjawab (dengan angkuhnya): “Semuanya itu
hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”
[18]Mereka (yang ingkar
derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman
(azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka –
dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah
menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi.
[19]Dan bagi mereka
masing-masing (dari puak jin dan manusia – yang berbuat baik dan yang
berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan) yang sesuai
dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan (ketetapan yang demikian
ialah) supaya Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka,
sedang mereka tidak dirugikan (sedikitpun).
[20]Dan (ingatlah), semasa
orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada
mereka): “Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam
kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka
pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu
berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang
benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik”
[21]Dan ingatlah peristiwa
(Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika ia memberi amaran kepada kaumnya
yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”, – sedang (amarannya itu samalah
seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang
terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya – (dengan berkata):
“Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu
akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)”.
[22]Mereka menjawab:
“Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah
tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada
kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”
[23]Nabi Hud berkata:
“Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada
di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku
diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan
tugas Rasul)!”
[24]Maka apabila mereka
melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka,
mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!”
(Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan
itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin
yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;
[25]“Yang menghancur
leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya”. (Setelah azab itu menimpa
mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan
melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum
yang berdosa.
[26]Dan demi sesungguhnya!
Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kekuasaan dan kemewahan)
yang tidak Kami berikan kamu menguasainya (wahai kaum musyrik Makkah),
dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta
hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka
tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka sentiasa
mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang demikian)
mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
[27]Dan demi sesungguhnya!
Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu
(wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah menerangkan tanda-tanda
(kekuasaan Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka kembali
(bertaubat).
[28]Maka sepatutnya mereka
dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai
penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak),
bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka.
Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka
telah ada-adakan.
[29]Dan (ingatkanlah
peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu
(wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri
bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu
dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah
selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran
Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.
[30]Mereka berkata: “Wahai
kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang
diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran
Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada
kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)
[31]“Wahai kaum kami!
Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah,
serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian
dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[32]“Dan sesiapa tidak
menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak
akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia
melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang
lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka
(yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.
[33]Masihkah mereka ingkar
dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang
telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam
menciptakannya – berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati?
Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[34]Dan (ingatlah) hari
orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka, (lalu dikatakan kepada
mereka): “Bukankah (azab) neraka ini benar?” Mereka menjawab: “Ya,
benar, demi Tuhan kami!” (Setelah itu) dikatakan lagi (kepada mereka):
“Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di
dunia dahulu. “
[35](Jika demikian akibat
orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah
engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai
keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu
daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka
(yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab
yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal
(di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.
(Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang
yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang
fasik – derhaka.
No comments:
Post a Comment