[1]Haa, Miim.
[2]Turunnya Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[3]Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
[4]Dan pada kejadian diri
kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya,
terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi
orang-orang yang meyakininya.
[5]Dan (pada) pertukaran
malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan
oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di
bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu
mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya,
kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu
menggunakan akal fikiran.
[6]Itulah ayat-ayat
penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana
menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka
hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya
(mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?
[7]Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa, –
[8]Yang mendengar ayat-ayat
penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus
berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak
mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[9]Dan apabila sampai ke
pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, ia menjadikannya
ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang
menghina.
[10]Di hadapan mereka (di
akhirat kelak) ada neraka Jahannam (yang disediakan untuk mereka), dan
apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelematkan mereka sedikit
pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak
dapat memberikan sebarang perlindungan; dan (kesudahannya) mereka akan
beroleh azab seksa yang besar.
[11]Al-Quran ini ialah
hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar
akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[12]Allah yang memudahkan
laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan
perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan
juga supaya kamu bersyukur.
[13]Dan Ia memudahkan untuk
(faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di
bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu
mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya)
bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.
[14]Katakanlah (wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan
(kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada
hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; (disuruh berbuat
demikian), kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang
patut dengan apa yang mereka telah usahakan.
[15](Tiap-tiap balasan
berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya
akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat
kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu
akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.
[16]Dan demi sesungguhnya,
Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat
kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka
benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di
atas orang-orang yang ada pada zamannya.
[17]Dan lagi Kami telah
berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara
ugama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara ugama itu)
melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka
mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang
demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.
Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat
tentang apa yang mereka perselisihkan itu.
[18]Kesudahannya Kami
jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu
Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah
Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang
tidak mengetahui (perkara yang benar).
[19]Sesungguhnya mereka
tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab)
Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang
zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya
yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi
penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah
pemimpinnya).
[20]Al-Quran ini menjadi
panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah
petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).
[21]Patutkah orang-orang
yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka
seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan
keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk
sungguh apa yang mereka hukumkan itu.
[22]Dan (ingatlah), Allah
menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat
(untuk membuktikan keesaanNya dan keadilanNya), dan supaya tiap-tiap
diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau
jahat), sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
[23]Dengan yang demikian,
bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa
nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah
kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan
pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup
atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah
petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)?
Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan
insaf?
[24]Dan mereka berkata:
“Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita
mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan
kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang
pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan
semata-mata.
[25]Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata
(mengenai soal hidup semula sesudah mati), tidaklah ada hujah mereka
(untuk menolak kebenarannya) selain daripada berkata: “Bawakanlah datuk
nenek kami (hidup semula) kalau betul kami orang-orang yang benar!”
[26]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia akan mematikan
kamu, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup
semula) pada hari kiamat – (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang
kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui
(ketetapan itu)”.
[27]Dan bagi Allah jualah
kuasa pemerintahan langit dan bumi; dan ketika berlakunya hari kiamat,
pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada perkara yang
salah.
[28]Dan (pada hari kiamat)
engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan
menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan
amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan
dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!
[29]“Inilah surat (tulisan
malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar,
kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala
yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!”
[30]Adapun orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan
mereka ke dalam rahmatNya; yang demikian itu ialah kemenangan yang
besar.
[31]Adapun orang-orang yang
kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka):
“Bukankah ayat-ayatku telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu
kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang
sentiasa melakukan kesalahan?
[32]“Dan apabila dikatakan
(kepada kamu): ` Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah
benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya ‘,
kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami
hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak
sekali-kali meyakininya ‘.”
[33]Dan (pada ketika itu)
ternyatalah kepada mereka balasan kejahatan-kejahatan yang mereka telah
lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!
[34]Dan dikatakan (kepada
mereka): “Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam
azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui
hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh
sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
[35]“(Balasan buruk) yang
demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan
Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu
diperdayakan oleh kehidupan dunia”. Maka pada hari itu mereka tidak akan
dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk
bertaubat (memperbaiki kesalahannya).
[36](Demikianlah ajaran dan
peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala
pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan
bumi, – Tuhan sekalian alam.
[37]Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
No comments:
Post a Comment