37. As-Saffat

[1]Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret –

[2](Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya –


[3](Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci;


[4](Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu –


[5]Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.


[6]Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.


[7]Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka;


[8](Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru,


[9]Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus.


[10]Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.


[11](Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).


[12](Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka), dan sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu).


[13]Dan apabila diperingatkan, mereka tetap tidak mahu menerima peringatan itu.


[14]Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan kebenaranmu), mereka mencari-cari jalan memperolok-olokkannya, –


[15]Serta mereka berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata.


[16]“Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan dibangkitkan hidup semula?


[17]“Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)?”


[18]Jawablah (wahai Muhammad): “Ya, benar !(Kamu semua akan dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina “.


[19](Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi).


[20]Dan (pada saat itu) mereka berkata:” Wahai celakanya kami, ini ialah hari balasan!”


[21](Lalu malaikat berkata kepada mereka): ” Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya “.


[22](Allah berfirman kepada malaikat):” Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah –


[23]“Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka.


[24]“Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal:


[25]“Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu?”


[26](Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili);


[27]Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela.


[28]Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya):” Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu”.


[29]Ketua-ketuanya menjawab: ” (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!


[30]“Dan kami (selain daripada mengajak kamu (tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas.


[31](Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu).


[32]“(Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat”


[33]Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.


[34]Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa.


[35]Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya;” (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah” – mereka bersikap takbur mengingkarinya, –


[36]Serta mereka berkata: ” Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?”


[37](Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).


[38]Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya.


[39]Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan;


[40]Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik,


[41]Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum,


[42]Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan,


[43]Di dalam syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat.


[44]Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran;


[45]Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir,


[46]Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya,


[47]Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan, dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.


[48]Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya;


[49](Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (burung kasuari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.


[50](Tinggalah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan.


[51]Seorang di antaranya berkata: ” Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku).


[52]“katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)?


[53]“Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? ” ‘


[54](Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: ” Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?”


[55]Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang.


[56]Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:” Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.


[57]“Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab) “.


[58](Kemudian ia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): ” Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi, –


[59]“Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa?”


[60]Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.


[61]Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).


[62]Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum?


[63]Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).


[64]Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang;


[65]Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;


[66]Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.


[67]Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi – selain itu- satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.


[68]Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang.


[69]Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan;


[70]Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya.


[71]Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga – sebelum kaummu (wahai Muhammad) – kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.


[72]Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran.


[73]Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran, –


[74]Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).


[75]Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan.


[76]Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.


[77]Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar).


[78]Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:


[79]“Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! “


[80]Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.


[81]Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.


[82]Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya).


[83]Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.


[84]Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.


[85]Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: ” Apa yang kamu sembah?


[86]“Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)?


[87]“Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam?”


[88]Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit),


[89]Lalu berkata: “Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)”.


[90]Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia.


[91]Lalu ia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): “Mengapa kamu tidak makan?


[92]“Mengapa kamu tidak menjawab?”


[93]Lalu ia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).


[94](Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya.


[95](Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: “Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat?


[96]“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!”


[97](Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: “Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu”.


[98]Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).


[99]Dan Nabi Ibrahim pula berkata: “Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).


[100]” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”


[101]Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.


[102]Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.


[103]Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),


[104]Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!


[105]“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.


[106]Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;


[107]Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;


[108]Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:


[109]“Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”.


[110]Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.


[111]Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.


[112]Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.


[113]Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.


[114]Dan demi sesungguhnya! kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.


[115]Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar;


[116]Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya);


[117]Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya;


[118]Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus.


[119]Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:


[120]“Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!”


[121]Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.


[122]Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman.


[123]Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.


[124](Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: “Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.


[125]“Patutkah kamu menyembah berhala Ba’la, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?


[126]“Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!”


[127]Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa),


[128]Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat, dan mendapat sebaik-baik balasan).


[129]Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:


[130]“Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas!”


[131]Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.


[132]Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.


[133]Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.


[134](ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya,


[135]Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.


[136]Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut).


[137]Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.


[138]Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?.


[139]Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.


[140](Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat.


[141](Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut).


[142]Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.


[143]Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),


[144]Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.


[145]Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit.


[146]Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.


[147]Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.


[148](Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).


[149](Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?


[150]Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu – perempuan?


[151]Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:


[152]“Allah beranak”; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!


[153](Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dia lah yang menciptakannya)?


[154]Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?


[155]Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?


[156]Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)?


[157](Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.


[158](Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat).


[159]Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu!


[160]Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat, dan akan mendapat sebaik-baik balasan).


[161]Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik), dan apa yang kamu sembah itu.


[162]Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya,


[163]kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam neraka yang menjulang-julang.


[164](Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): “Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya);


[165]“Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat),


[166]“Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!”


[167]Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata:


[168]“Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu


[169]“Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik!”


[170](Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya).


[171]Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul –


[172]Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan


[173]Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).


[174]Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.


[175]Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu).


[176]Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami!


[177]Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan.


[178]Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.


[179]Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga.


[180]Akuilah kesucian Tuhanmu, – Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, – dari apa yang mereka katakan!


[181]Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul.


[182]Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

No comments:

Post a Comment