[1]Saad; demi Al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran.
[2](Orang-orang yang
mengingkari kerasulanmu – wahai Muhammad – tidak berdasarkan kebenaran)
bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong angkuh dan suka menentang
kebenaran.
[3](Tidakkah mereka
menyedari) berapa banyak umat-umat (yang ingkar) yang terdahulu dari
mereka, Kami binasakan? Lalu mereka meminta pertolongan, padahal saat
itu bukanlah saat meminta pertolongan melepaskan diri dari azab.
[4]Dan mereka (yang
mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka
didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka
sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: “Orang ini adalah seorang
ahli sihir, lagi pendusta.
[5]” Patutkah ia menafikan
tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu?
Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!”
[6]Dan (ketika itu) keluarlah
ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata):
“Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap
tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu
perkara yang amat dikehendaki.
[7]” Kami tidak pernah
mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir;
perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata”.
[8](Mereka berkata lagi):
Patutkah wahyu peringatan itu diturunkan kepada Muhammad (padahal
orang-orang yang lebih layak ada) di antara kita?” (Mereka bukan sahaja
ingkarkan kelayakan Nabi Muhammad menerima wahyu) bahkan mereka berada
dalam keraguan tentang peringatan yang Aku wahyukan (kepada Nabi
Muhammad) itu, bahkan mereka belum lagi merasai azab.
[9]Adakah di sisi mereka perbendaharaan rahmat Tuhanmu Yang Maha Kuasa, lagi Yang Maha Melimpah pemberianNya?.
[10]Atau adakah mereka
menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya?.
(Kalau ada kekuasaan yang demikian) maka biarlah mereka naik mendaki
langit menurut jalan-jalan yang membawa mereka ke situ (untuk
mentadbirkan seluruh alam).
[11](Sebenarnya mereka
hanyalah) satu pasukan tentera dari kumpulan-kumpulan (yang menentang
kebenaran), yang pada suatu masa kelak tetap akan dikalahkan.
[12]Sebelum mereka itu,
kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Firaun yang mempunyai
kerajaan yang kuat, telah juga mendustakan Rasul masing-masing.
[13]Dan juga Thamud (kaum
Nabi Soleh), dan kaum Nabi Lut, serta penduduk Aikah; merekalah
kumpulan-kumpulan (yang menentang kebenaran).
[14]Tidak ada satupun dari kaum-kaum yang tersebut, melainkan telah mendustakan Rasul-rasul; maka berhaklah mereka ditimpa azab.
[15]Dan orang-orang ini (yang menentang Nabi Muhammad), tidak menunggu melainkan satu jeritan suara yang tidak akan berulang lagi.
[16]Dan mereka pula berkata
(secara mengejek-ejek): ” Wahai Tuhan kami! Segerakanlah azab yang
ditetapkan untuk kami, sebelum datangnya hari hitungan amal (yang
dikatakan oleh Muhammad itu)”.
[17]Bersabarlah (wahai
Muhammad) terhadap apa sahaja yang mereka katakan, dan ingatlah akan
hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan ugamanya);
sesungguhnya ia adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan
bersabar mematuhi perintah Kami).
[18]Sesungguhnya Kami telah
mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama
dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.
[19]Dan (Kami mudahkan
juga) unggas turut berhimpun (untuk bertasbih memuji Kami bersama-sama
dengannya); tiap-tiap satunya mengulangi tasbih masing-masing
menurutnya.
[20]Dan Kami kuatkan
kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan
kepitahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan
hukuman).
[21]Dan sudahkah sampai
kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang
berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat;
[22]Iaitu ketika mereka
masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata
kepadanya: ” Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang
berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang
lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah
melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.
[23]” Sebenarnya orang ini
ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh
sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada
itu ia (mendesakku dengan) berkata: ‘ Serahkanlah yang seekor itu
kepadaku ‘, dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara
itu”.
[24]Nabi Daud berkata: ”
Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu
itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya
kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam
berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada
setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
soleh; sedang mereka amatlah sedikit!” Dan Nabi Daud (setelah berfikir
sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa
itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya
sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).
[25]Maka Kami ampunkan
kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di
sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat
kelak).
[26]Wahai Daud,
sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah
hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang
diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana
yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya
orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat
pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
[27]Dan tiadalah Kami
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya
sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang
demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi
orang-orang yang kafir itu dari azab neraka.
[28]Patutkah Kami jadikan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang
yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan
orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa?
[29](Al-Quran ini) sebuah
Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab
yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan
teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal
sempurna beringat mengambil iktibar.
[30]Dan Kami telah
kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah
sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali
(bertaubat).
[31](Ingatkanlah peristiwa)
ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu
kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas
semasa berlari.
[32](Kerana lekanya dengan
pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: ” Sesungguhnya aku telah
mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan lebih daripada
mengingati (ibadatku kepada) Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi
dirinya dengan tirai malam”.
[33](Kemudian Nabi Sulaiman
berkata kepada orang-orangnya): ” Bawa balik kuda itu kepadaku”; maka
ia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor).
[34]Dan demi sesungguhnya!
Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami
letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup
sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami): –
[35]Katanya: ” Wahai
Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah
kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada
sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa
Melimpah kurniaNya “.
[36]Maka (Kami kabulkan
permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup
perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendaK
ditujunya;
[37]Dan (Kami mudahkan
baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang
pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan
kerja masing-masing).
[38]Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu.
[39](Serta Kami katakan
kepadanya): ” Inilah pemberian Kami (kepadamu), maka berikanlah (kepada
sesiapa yang engkau suka), atau tahankanlah pemberian itu; (terserahlah
kepadamu) dengan tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu) “.
[40]Dan sesungguhnya ia
mempunyai kedudukan yang dekat lagi mulia di sisi Kami, serta tempat
kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).
[41]Dan (ingatkanlah
peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya
dengan berkata: ” Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan
(hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)”.
[42](Maka Kami kabulkan
permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): ” Hentakkanlah (bumi)
dengan kakimu ” (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu
Kami berfirman kepadanya): ” Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk
minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin) “.
[43]Dan Kami kurniakan
(lagi) kepadanya – keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai
satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang
berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa
malang).
[44]Dan (Kami perintahkan
lagi kepadanya): ” Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian
pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu
itu “. Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia
adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada
Kami dengan ibadatnya).
[45]Dan (ingatkanlah
peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi
Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan
pandangan yang mendalam (memahami ugamanya).
[46]Sesungguhnya Kami telah
jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni,
iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat.
[47]Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami adalah dari orang-orang pilihan yang sebaik-baiknya.
[48]Dan (ingatkanlah
peristiwa) Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak, serta Nabi Zulkifli; dan
mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya.
[49](Segala sifat-sifat
yang mulia) ini, adalah menjadi sebutan penghormatan (bagi mereka). Dan
sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali
yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak), –
[50]Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka;
[51](Mereka akan
bersukaria) dalam Syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka
meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa
kelazatannya.
[52]Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya.
[53]Inilah dia balasan yang dijanjikan kepada kamu setelah selesai hitungan amal!
[54]Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis; –
[55]Nikmat-nikmat ini
(adalah untuk orang-orang yang bertaqwa). Dan Bahawa sesungguhnya bagi
orang-orang yang zalim (dengan kekufuran atau kederhakaannya)
seburuk-buruk tempat kembali, –
[56]Iaitu neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; maka seburuk-buruk tempat menetap ialah neraka Jahannam;
[57]Ini sejenis azab seksa,
maka hendaklah mereka merasainya, air panas yang menggelegak dan air
danur yang mengalir (untuk minuman mereka);
[58]Dan azab seksa yang lain, yang serupa buruknya dan dahsyatnya adalah berbagai jenis lagi.
[59](Penjaga neraka berkata
kepada ketua-ketua golongan kafir dan penderhaka itu): ” Ini ialah
serombongan (orang-orang kamu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu
“. (Ketua-ketua itu berkata): ” Mereka tidak perlu dialu-alukan, kerana
sesungguhnya mereka pun akan menderita bakaran neraka “.
[60]pengikut-pengikut
mereka menjawab: ” Bahkan kamulah yang tidak perlu dialu-alukan, kerana
kamulah yang membawa azab sengsara ini kepada kami, maka amatlah
buruknya neraka ini sebagai tempat penetapan “.
[61]Mereka berkata lagi: ”
Wahai Tuhan kami! Sesiapa yang membawa azab ini kepada kami, maka
tambahilah dia azab seksa berlipat ganda di dalam neraka “.
[62]Dan penduduk neraka itu
tetap akan bertanya sesama sendiri: ” Mengapa kita tidak melihat
orang-orang yang dahulu kita kirakan mereka sebagai orang-orang jahat
(lagi hina)?
[63]” Adakah kita sahaja
jadikan mereka ejek-ejekan (sedang mereka orang-orang yang benar)? Atau
mata kita tidak dapat melihat mereka?
[64]Sesungguhnya (segala yang diterangkan) itu adalah benar iaitu perbalahan dan cercaan penduduk neraka sesama sendiri.
[65]Katakanlah (wahai
Muhammad): ” Sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran, dan
tidak ada sama sekali tuhan yang sebenar melainkan Allah Yang Maha Esa,
lagi Yang kekuasaanNya mengatasi segala-galanya, –
[66]” Tuhan (yang mencipta
serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara
keduanya; Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni (dosa
hamba-hambaNya)”.
[67]Katakanlah lagi: ” Apa
yang aku terangkan itu (tentang keesaan Allah dan kebenaran kerasulanku)
adalah berita penting yang amat besar (faedahnya).
[68]” Yang kamu terus mengingkarinya.
[69]” Tiadalah bagiku
sebarang pengetahuan tentang penduduk alam yang tinggi (malaikat),
semasa mereka bersoal jawab (mengenai Nabi Adam-kalaulah tidak
diwahyukan kepadaku).
[70]” Tiadalah diwahyukan
kepadaku melainkan kerana sesungguhnya aku seorang Rasul pemberi amaran
yang jelas nyata (bukan seorang pembohong, atau ahli sihir, atau gila)
“.
[71](Ingatkanlah peristiwa)
ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: ” Sesungguhnya Aku hendak
menciptakan manusia – Adam dari tanah;
[72]” Kemudian apabila Aku
sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)
Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya “.
[73](Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, –
[74]Melainkan Iblis; ia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah ia dari golongan yang kafir.
[75]Allah berfirman: ” Hai
lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku
telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong
takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? ”
[76]Iblis menjawab: ” Aku
lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api,
sedang dia Engkau ciptakan dari tanah “.
[77]Allah berfirman: ” Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir.
[78]” Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!”
[79]Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) “.
[80]Allah berfirman: ” Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh –
[81]” Hingga ke hari masa yang termaklum “.
[82]Iblis berkata: ” Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, –
[83]” Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan “.
[84]Allah berfirman: ” Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan –
[85]” Demi sesungguhnya!
Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang
yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya “.
[86]Katakanlah (wahai
Muhammad): ” Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana
menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang
mengada-ngada “.
[87]Al-Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam.
[88]Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kabenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment