[1]Yaa, Siin.
[2]Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
[3]Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,
[4]Yang tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam).
[5]Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
[6]Supaya engkau memberi
peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak
diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.
[7]Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.
[8]Sesungguhnya Kami jadikan
(kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai)
belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka;
(lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu
menjadilah mereka terdongak.
[9]Dan Kami jadikan (sifat
tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai)
sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan
kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang
menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka
(pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu,
mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
[10]Dan (dengan sebab itu)
sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri
amaran kepadanya – mereka tidak akan beriman.
[11]Sesungguhnya peringatan
dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau
berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut
(melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan
semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita
yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.
[12]Sesungguhnya Kami
menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka
telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka
tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu
dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
[13]Dan ceritakanlah kepada
mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar
(yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
[14]Ketika Kami mengutus
kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami
kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu
berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu ‘.
[15]Penduduk bandar itu
menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan
Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang
kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.
[16]Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,
[17]“Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”.
[18]Penduduk bandar itu
berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab
kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan
tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah
tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi
sakitnya”.
[19]Rasul-rasul itu
menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang
ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat
pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)?
(Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum
pelampau”.
[20]Dan (semasa Rasul-rasul
itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan
berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutlah
Rasul-rasul itu –
[21]“Turutlah orang-orang
yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah
orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.
[22]Dan (apabila ditanya:
Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): “Mengapa aku
tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku
dan) kamu semua akan dikembalikan?
[23]“Patutkah aku menyembah
beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana)
jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu
bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan
mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
[24]“Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.
[25]“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)”,.
[26](Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui –
[27]“Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”.
[28]Dan Kami tidak
menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera
dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami
menurunkannya.
[29](Kebinasaan mereka)
hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta
merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.
[30]Sungguh besar perasaan
sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)!
Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek
dan memperolok-olokkannya.
[31]Tidakkah mereka
mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum
mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka
(bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).
[32]Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).
[33]Dan dalil yang terang
untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang
mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian,
maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
[34]Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair,
[35]Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?
[36]Maha Suci Tuhan yang
telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari
yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang
mereka tidak mengetahuinya.
[37]Dan lagi dalil yang
terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang
daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
[38]Dan (sebahagian dari
dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang
ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengetahui;
[39]Dan bulan pula Kami
takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir
peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk
melengkung) seperti tandan yang kering.
[40](Dengan ketentuan yang
demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula
tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar
terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
[41]Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;
[42]Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.
[43]Dan jika kami
kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang
demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka,
dan mereka juga tidak dapat diselamatkan, –
[44]Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.
[45]Dan apabila dikatakan
kepada mereka: ” berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu
(dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang
kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat”,
(mereka tidak mengindahkannya).
[46]Dan (itulah tabiat
mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari
keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling
daripadanya (enggan menerimanya).
[47]Dan apabila dikatakan
kepada mereka:” Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan
Allah kepada kamu”, berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada
orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): ” Patutkah kami memberi
makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan
memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata”.
[48]Dan (apabila mereka
diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya
(secara mempersenda): ” Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan
itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia
menunggu)!”,
[49]Mereka tidak menunggu
melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut) akan membinasakan
mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan
dunia masing-masing).
[50]Maka dengan itu, mereka
tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan
(kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada
keluarganya.
[51]Dan sudah tentu akan
ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila
berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur
masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.
[52](Pada ketika itu)
orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya
kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,,
(Lalu dikatakan kepada mereka): ” Inilah dia yang telah dijanjikan oleh
Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh
Rasul-rasul!,
[53]Hanyalah dengan
berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka
dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk
menerima balasan).
[54]Maka pada hari itu,
tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak
akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.
[55]Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;
[56]Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;
[57]Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;
[58](Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.
[59]Dan (sebaliknya
dikatakan kepada orang-orang yang kafir): “Berpisahlah kamu pada hari
ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan
orang-orang yang beriman).
[60]“Bukankah Aku telah
perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah
Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
[61]“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.
[62]“Dan sesungguhnya
Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu;
(setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu
berfikir dan insaf?
[63]“Yang kamu saksikan
sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya
(kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).
[64]“Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”
[65]Pada waktu itu Kami
meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada)
tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan
kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
[66](Matahati orang-orang
yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa
menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga
masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui).
(Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?
[67](Kekuatan akal fikiran
mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa
mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang
mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke
hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.
[68]Dan (hendaklah diingat
bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali
kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka
mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
[69](Nabi Muhammad bukanlah
penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian
bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu
tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi
penerangan;
[70]Supaya ia memberi
peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata
tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.
[71]Tidakkah mereka melihat
dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka
binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami
ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?
[72]Dan Kami jinakkan dia
untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan
mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.
[73]Dan mereka beroleh
berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh
minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?
[74]Dan tergamak mereka
menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga
mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).
[75]Benda-benda yang mereka
sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda
itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat,
untuk memberi azab seksa) kepada mereka.
[76]Maka janganlah engkau
(wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka
(terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka
sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.
[77]Tidakkah manusia itu
melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis)
air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan
tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang
pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami
menghidupkan semula orang-orang yang mati),
[78]Serta ia mengemukakan
satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula
lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang
dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”
[79]Katakanlah:
“Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah
menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan
segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
[80]“Tuhan yang telah
menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk
kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon
itu”.
[81]Tidakkah diakui dan
tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi
(yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia
sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai
berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang
Maha Mengetahui.
[82]Sesungguhnya keadaan
kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia
berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus
menjadi.
[83]Oleh itu akuilah
kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki
dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua
dikembalikan.
No comments:
Post a Comment