[1]Alif, Laam Miim.
[2]Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3](Orang-orang kafir tidak
mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah
(Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. (Dakwaan
mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari
Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran
kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi
ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.
[4]Allah Tuhan yang
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya
dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan
beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh
itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai
keredaanNya)?
[5]Allah mentadbirkan
makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan
segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik
kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya
itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang
yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang
biasa.
[6]Yang demikian sifatnya
ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata;
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;
[7]Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;
[8]Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;
[9]Kemudian Ia menyempurnakan
kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia
mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal
fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu
bersyukur.
[10]Dan mereka (yang kafir)
itu berkata: “Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami
pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah
demikian? ” (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula)
bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.
[11]Katakanlah (wahai
Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan
berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan
kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”.
[12]Dan (sungguh ngeri)
sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan
kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil
merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan
sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka
kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik;
sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
[13]Dan (bagi menolak
rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan
persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh
kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing),
nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya
(sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di
akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya!
Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang
pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”.
[14](Lalu dikatakan kepada
mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu
melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan
keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang
kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
[15]Sesungguhnya yang
sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah
orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan
ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan
taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan
mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
[16]Mereka merenggangkan
diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan
sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada
Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan
perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
[17]Maka tidak ada
seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah
dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah
dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang
mereka telah kerjakan.
[18](Jika demikian halnya)
maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka
tidaklah sama (dalam menerima balasan).
[19]Adapun orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat
tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
[20]Dan sebaliknya
orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka;
tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan
kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang
kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu”.
[21]Dan demi sesungguhnya,
Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang
besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.
[22]Dan tidaklah ada yang
lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya,
kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya);
sesungguhnya Kami tetap membalas.
[23]Dan demi sesungguhnya!
Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami
berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau
ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu
hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.
[24]Dan Kami jadikan dari
kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing
kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan
tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
[25](Pertentangan di antara
satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang
akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai
apa yang mereka berselisihan padanya.
[26]Dan belumkah lagi
ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan
berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka,
padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal
kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi
keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah
mereka mahu mendengar (dan insaf)?
[27]Dan tidakkah mereka
(yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami
mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami
tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan
oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa
mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?
[28]Dan mereka bertanya: “Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?”
[29]Katakanlah (wahai
Muhammad): “(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti
dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya
lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka
pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)”.
[30]Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan tunggulah (kesudahan mereka), sesungguhnya mereka pun menunggu (kesudahanmu).
No comments:
Post a Comment