[1]Wahai
Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi
kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[2]Dan turutlah akan apa yang
diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam
Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan
apa yang kamu lakukan.
[3]Dan berserahlah kepada
Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana
cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.
[4](Diperintahkan dengan yang
demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai
dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri
yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan
anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu
dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan
kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang
benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.
[5]Panggilah anak-anak angkat
itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah
yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak
mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai
saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai “maula-maula” kamu. Dan
kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap
melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang
disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[6]Nabi itu lebih menolong
dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka
sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan
orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak
(mewarisi) akan setengahnya yang lain – menurut (hukum) Kitab Allah –
daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan
kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada
sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis
dalam Kitab Allah.
[7](Teruslah bertaqwa kepada
Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi (umumnya):
perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai
Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta.
Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian
setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada
mereka);
[8](Tuhan berbuat demikian)
supaya Ia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang kebenaran iman
mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka); dan (sebaliknya) Ia
telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[9]Wahai orang-orang yang
beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu.
Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada
mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat)
yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat
apa yang kamu lakukan.
[10]Masa itu ialah masa
tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah
hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata
kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun
resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula
menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.
[11]Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.
[12]Dan lagi masa itu ialah
masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak
kuat iman dalam hatinya berkata: “Allah dan RasulNya tidak menjanjikan
kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja”.
[13]Dan juga masa itu ialah
masa segolongan di antara mereka berkata: “Wahai penduduk Yathrib,
tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu
baliklah”. Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi
(hendak balik) sambil berkata: “Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan
perlindungan”, pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya
bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).
[14]Dan kalaulah
tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala
penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam,
sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi
tentang itu melainkan sebentar sahaja.
[15]Pada hal sesungguhnya
mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka
tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan
(ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang
penyempurnaannya).
[16]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari
pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali
mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini
terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup
melainkan sedikit masa sahaja”.
[17]Katakanlah: “Siapakah
yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan
bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan
Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? ” Dan (ingatkanlah)
mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun –
yang lain dari Allah – yang akan menjadi pelindung atau penolong
mereka.
[18]Sesungguhnya Allah
mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu,
dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: “Marilah bersatu
dengan kami”, sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar
sahaja.
[19]Mereka bersikap bakhil
kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan
sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang
menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai
Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar
seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang
perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil
mereka tamakan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu
tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian
itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
[20]Mereka menyangka bahawa
tentera “Al-Ahzaab” itu belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzaab
datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di
desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita
mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika
itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.
[21]Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu
bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan
baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah
banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
[22]Dan pada masa
orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:”
Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah
(apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya”. Dan (angkatan tentera
musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka
selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat
kepada Allah.
[23]Di antara orang-orang
yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah
dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di
antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu
gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka
pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
[24](Berlakunya yang
demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan
kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia
kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[25]Dan Allah telah
menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke
tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal
dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah
selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan
itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
[26]Dan Ia menurunkan
golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari
benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka
dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman);
sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.
[27]Dan Ia menjadikan kamu
mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga
tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan
(ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[28]Wahai Nabi, katakanlah
kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia
(yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku
berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu
dengan cara yang sebaik-baiknya.
[29]“Dan sekiranya kamu
semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di
negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang
berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar”.
[30]Wahai isteri-isteri
Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang
nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan
(hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
[31]Dan sesiapa di antara
kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal
yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda,
dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.
[32]Wahai isteri-isteri
Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau
kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut
manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh
menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh
tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata
yang baik (sesuai dan sopan).
[33]Dan hendaklah kamu
tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti
yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah
sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan
RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu)
hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan
diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu
sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
[34]Dan ingatlah (serta
amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah
(Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya
Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[35]Sesungguhnya
orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam,
dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang
beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan
yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan
yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang
perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada
Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah),
dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang
bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang
perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara
kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya,
dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta
orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah
telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
[36]Dan tidaklah harus bagi
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan
RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus
mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.
Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka
sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
[37]Dan (ingatlah wahai
Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh
Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik
kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”,
sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan
menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal
Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian
setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan
menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada
keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan
isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu
telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu
menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu
tetap berlaku.
[38]Tidaklah ada sebarang
keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara yang
telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut
peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang
telah lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang
ditentukan berlakunya.
[39](Nabi-nabi yang telah
lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka
takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa
pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung
(segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).
[40]Bukanlah Nabi Muhammad
itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi
seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan
kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
[41]Wahai orang-orang yang
beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama
Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
[42]Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
[43]Dia lah yang memberi
rahmat kepada kamu – dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) – untuk
mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya
yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa
Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan
di akhirat).
[44]Sambutan penghormatan
yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan
“Salam” (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka
pahala balasan yang mulia.
[45]Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan
pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi
amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
[46]Dan juga sebagai
penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan taufiq yang
diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi.
[47]Dan (dengan itu)
sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman,
bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari
Allah.
[48]Dan janganlah engkau
menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah
engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada
Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang
menyelamatkanmu).
[49]Wahai orang-orang yang
beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman,
kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah
kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh
hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati)
kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
[50]Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau
berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari
apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan
(Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu):
anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak
perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan
bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak
saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu;
dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang
memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar
maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang
demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang
beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami
wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan
hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; – supaya tidak menjadi
keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[51]Engkau boleh
menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh
mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau
hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu
maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang
diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat
untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak
berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang engkau
lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui
apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi
Maha Penyabar.
[52]Tidak halal bagimu
berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu
yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan
isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada
kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan
(ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
[53]Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak
kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri
jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu
dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah
kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk
bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu
menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak
menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada
menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus
diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik
tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.
Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh
berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya.
Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi
Allah.
[54](Awasilah
keadaan-keadaan kamu, kerana) jika kamu nyatakan sesuatu atau kamu
sembunyikan dia, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan
segala-galanya.
[55]Tidak ada salahnya
kepada perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang melindungi
anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa
mereka, dan anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka,
dan anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki
saudara-saudara perempuan mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka,
serta hamba-hamba yang dimiliki oleh mereka. Dan bertaqwalah kamu
kepada Allah; sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[56]Sesungguhnya Allah dan
malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada
Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah
kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang
sepenuhnya.
[57]Sesungguhnya
orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan
RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan
menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.
[58]Dan orang-orang yang
mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan
orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang
tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka
sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan
berbuat dosa yang amat nyata.
[59]Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya
(semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka
dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak
diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[60]Demi sesungguhnya, jika
orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu)
dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta
di Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing),
nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak
akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar
sahaja,
[61]serta mereka tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.
[62]Yang demikian adalah
menurut “Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu;
dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi
“Sunnatullah” itu.
[63]Manusia bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah:
“Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. ” Dan
apa jalannya engkau dapat mengetahui? – boleh jadi masa datangnya tidak
lama lagi.
[64]Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang, –
[65]kekalah mereka di
dalamnya selama-lamanya; mereka pula tidak akan memperoleh sesiapapun
yang akan menjadi pelindung atau penolong.
[66]Pada masa muka mereka
dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya):
“Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah
serta taat kepada Rasul Allah.
[67]Dan mereka berkata
lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak
ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami
dari jalan yang benar.
[68]“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”
[69]Wahai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah
mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang
mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.
[70]Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara),
[71]Supaya Ia memberi
taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa
kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka
sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.
[72]Sesungguhnya Kami telah
kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan
bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka
persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan
persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya
tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula
membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
[73](Dengan kesanggupan
manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa
orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang
munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan
yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki
yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
No comments:
Post a Comment