[1]Alif, Laam, Miim.
[2]Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
[3]Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik
[4]Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat.
[5]Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
[6]Dan ada di antara manusia:
orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita
dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan
(dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu
sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang
menghinakan.
[7]Dan apabila dibacakan
kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh
ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan
balasan azab yang tidak terperi sakitnya.
[8]Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat,
[9]kekalan mereka di
dalamnya. Demikian dijanjikan Allah – janji yang tetap benar; dan Dia
lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[10]Ia menciptakan langit
dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia
mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak
menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang.
Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi
berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.
[11]Ini (semuanya adalah)
ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah
diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah
itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan
perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.
[12]Dan sesungguhnya Kami
telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami
perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya
kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah
terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka
tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha
Kaya, lagi Maha Terpuji.
[13]Dan (ingatlah) ketika
Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:”
Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar”.
[14]Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal
mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu
dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat
kembali (untuk menerima balasan).
[15]Dan jika mereka berdua
mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau –
dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah
engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan
cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali
kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada
Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada
kamu segala yang kamu telah kerjakan.
[16](Luqman menasihati
anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada
sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih
sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun
di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan
dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi
Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
[17]“Wahai anak
kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan,
serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan
bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang
demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
melakukannya.
[18]“Dan janganlah engkau
memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi
membanggakan diri.
[19]“Dan sederhanakanlah
langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa
berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.
[20]Tidakkah kamu
memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang
ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami
nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara
manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga
berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.
[21]Dan apabila dikatakan
kepada mereka (yang ingkar): “Turutlah akan apa yang telah diturunkan
oleh Allah” mereka menjawab:” (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa
yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah mereka
(menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu
(melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka
yang marak menjulang?
[22]Dan sesiapa yang
berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia
berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang
kepada simpulan (tali ugama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah
jualah kesudahan segala urusan.
[23]Dan sesiapa yang kufur
ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang
kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami
akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang
terkandung di dalam dada.
[24]Kami akan berikan
mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami
akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.
[25]Dan sesungguhnya jika
engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:
“Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan
menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai
bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari
Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan
pengertian syirik).
[26]Allah jua yang memiliki
segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua
yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
[27]Dan sekiranya segala
pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta),
dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak
akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[28](Bagi Allah Yang Maha
Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal
membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa
sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang
manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[29]Tidakkah engkau
memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan
siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan
(untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar
untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[30]Bersifatnya Allah
dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya
Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang
mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar
(kekuasaanNya).
[31]Tidakkah engkau
memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat
Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari
tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin)
yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.
[32]Dan (orang-orang yang
tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh
ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu
mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan
mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan
mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap
adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya
tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap
orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.
[33]Wahai sekalian manusia,
bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang
padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab
dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya
dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu
adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan
jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang
menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
[34]Sesungguhnya di sisi
Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang
menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang
apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun
yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik
atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri
manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat
Meliputi pengetahuanNya.
No comments:
Post a Comment