2, Ar Rahim
Di antara nama-nama Allah Yang Maha Mulia ialah Allah Ar Rahim iaitu Allah Yang Maha Pengasih. Berbeza dengan Allah Ar-Rahman iaitu Allah yang Maha Pemurah kepada sekalian makhluk, Allah Ar-Rahim adalah Allah Yang Maha Pengasih kepada orang beriman sahaja.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Al-Fatihah, 1: 1, “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.”
Ar-Rahman untuk semua makhluk termasuk yang kafir, tetapi Ar-Rahim untuk orang beriman sahaja.
Kasih sayang Allah Taala kepada orang beriman bukan sahaja di dunia sahaja malahan akan berpanjangan sehinggalah kehidupan di akhirat nanti. Allah mengurniakan kepada manusia atau menganugerahkan kepada orang-orang beriman tiga perkara di dunia (dibincangkan di dunia dahulu):
1. Orang-orang beriman akan mendapat rahmat daripada Allah SWT iaitu kasih sayang Allah kepada orang beriman samada di dunia atau akhirat. Orang-orang beriman tidak akan dibiarkan tanpa dibela oleh Allah Taala. Dengan kasih sayang Allah inilah seseorang akan sentiasa dianugerahkan dengan ketenangan, satu anugerah yang besar kepada orang beriman. Surah Al-Isra, 17 : 87, “Hanyalah sebagai rahmat daripada Tuhanmu. Sesungguhnya limpah kurniaan-Nya kepadamu amatlah besar.”
Apakah gunanya rahmat (kasih sayang) di dalam kehidupan kita? Kasih sayang ini jika kita dapatinya dari Allah, tidak akan Allah biarkan kita keseorangan. Ada masalah, diberi jalan keluar. Hidup kita disulamkan dengan pelbagai masalah, semua akan melaluinya. Kesamaan masalah ialah ia menyempitkan hati. Perbezaannya bentuk.
Ada orang diuji dengan masalah kesihatan. Ada diuji dengan masalah kewangan. Ada diuji dengan orang menzaliminya. Ada orang diuji dengan kehilangan. Kerana itulah jangan bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain kerana kita tidak akan perolehi apa-apa kebahagiaan. Surah Al-Talaq, 65 : 2, “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya.”
Orang yang beriman bukan bermaksud orang yang tidak diuji. Orang beriman ialah orang yang menerima ujian dan diberi jalan keluar bagi ujian.
Bagaimana untuk mendapat rahmat? Ada 2 perkara yang perlu dijaga:
1. Taat pada seruan Allah, dalam 2 bentuk:
i. Yang wajib, dibuat betul-betul
ii. Yang sunat, dibanyakkan
2. Meninggalkan apa yang dilarang-Nya iaitu
i. Yang haram, tinggalkan betul-betul
ii. Yang makruh, hindarkan perlahan-lahan
2. Orang-orang beriman akan mendapat keberkatan di dalam kehidupan mereka iaitu kelebihan. Di dalam Bahasa Arab, ia adalah “ziadatulkhair” iaitu pertambahan kebaikan. Keberkatan ada di dalam kehidupan kita hari-hari. Ia ada ketika kita makan, ketika kita bergaul, di dalam majlis ilmu dan sebagainya. Orang yang dianugerahkan dengan keberkatan mempunyai kelebihan di dalam hidupnya. Yang penting, keberkatan itu akan membuatnya semakin taat kepada Allah SWT.
Orang yang mempunyai keberkatan pada rezeki, rezekinya itu akan membawanya melakukan perkara baik. Orang yang mempunyai keberkatan kepada ilmu, ilmunya akan mendorong kepada kebaikan. Berbeza dengan orang yang tidak mempunyai keberkatan. Al A’raf, 7 : 96, “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.” ..
Bagaimana hendak mendapatkan keberkatan di dalam hidup ini?
1. Dengan menyempurnakan atau menjaga adab pada sesuatu benda seperti:
Adab di dalam majlis ilmu yang dapat memberikan pelajarnya keberkatan. Ada 3 adab dalam majlis ilmu:
i. Adab dengan guru (hormat)
ii. Adab dengan ilmu (ilmu yang ditulis)
iii. Adab dalam majlis ilmu iaitu duduk dengan baik, tidak berbual, tidak makan (kecuali untuk menghilangkan ngantuk)
Lain-lain adalah seperti adab dalam majlis makan – jangan ambil lebih makanan sehingga jatuh membazir, adab dengan pasangan (suami/isteri), ibubapa dll perkara.
2. Dengan memohon dari Allah SWT, contohnya doa untuk makan “Ya Allah berkatilah bagi kami apa yang Kau rezekikan bagi kami dan hindarkan kami dari api neraka.”
3. Allah Ar-Rahim kurniakan kepada orang beriman ketenangan, anugerah Allah yang tidak boleh dibeli. Allah tidak pernah menjadikan benda maksiat sebagai ubat kepada hati. Jangan rasa kerana hendak puas hati, derhaka dengan suami dll.
Al-Fath, 48 : 4 “Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
Kalau Allah nak berikan syurga di akhirat, Allah akan berikan syurga itu di dunia iaitu ketenangan. Tenang ini dipanggil “Jannatul Ajilah” iaitu syurga yang didahulukan. Kalau Allah nak berikan seseorang neraka di akhirat, neraka itu akan diberi-Nya di dunia lagi. Apa neraka di dunia? Allah cabut ketenangan hatinya.
Orang yang beriman ialah orang yang dianugerahkan ketenangan. Ada masalah, tenang sahaja, dia mohon jalan keluar dari Allah, berusaha. Di akhir hayat nanti, Allah seru orang yang bakal masuk syurga orang yang tenang jiwanya seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran, surah “Wahai orang yang punyai jiwa yang tenang, baliklah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan redha lagi diredhai. Masuklah kamu ke dalam golongan hamba-Ku, masuklah kamu ke dalam syurga-Ku.”
Dalam bahasa yang mudah, ketika malaikat Israil datang untuk mengambil nyawa kita, malaikat-malaikat berbaris sambil mengalu-alukan, “Wahai perantau, pulanglah. Lama dah pergi merantau dan ketika merantau berbagai-bagai masalah dilalui, berbagai kesedihan yang dirasa, berbagai kesusahan yang terpaksa lalui, hari ini pulanglah. Selamat pulang wahai perantau. Baliklah kamu ke dalam pelukan Tuhanmu dalam keadaan redha lagi diredhai.”
Selama berpuluh tahun di dunia, hidup difitnah, dikata, hak-hak diambil orang, lama dah rasa sedih. Hari ini pulanglah.
Kita adalah perantau dan ramai dari kita yang melalui kesedihan dan kesusahan di dalam kehidupan ini tetapi kita bersabar dan minta rasa tenang daripada Allah serta jalan keluar. Rasa sedih yang menusuk jantung kalbu tetapi pada hari kita bertemu Allah, malaikat berbaris mengalu-alukan kita. Kesedihan dan kesusahan itu tamatlah sudah.
Allah ar-Rahim, Allah Yang Maha Pengasih, Allah kurniakan kepada kita tiga perkara iaitu rahmat, berkat dan sakinah (keterangan). Semoga Allah Ar-Rahim mengurniakan ketiga-tiga perkara ini kepada kita. Insya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment