Kaum Madyam, kaumnya Nabi Syu'ib, adalah segolongan bangsa Arab yang
tinggal di sebuah daerah bernama "Ma'an" di pinggir negeri Syam. Mereka
terdiri dari orang-orang kafir tidak mengenal Tuhan Yang Maha Esa.
Mereka menyembah kepada "Aikah" iaitu sebidang padang pasir yang
ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Cara hidup dan istiadat
mereka sudah sangat jauh dari ajaran agama dan pengajaran nabi-nabi
sebelum Nabi Syu’ib a.s.
Banyak orang di zaman kita beranggapan bahawa agama hanya merupakan
program-program yang kosong dan nilai-nilai akhlak semata. Ini adalah
keyakinan klasik dan salah. Pada hakikatnya, agama adalah sistem dalam
kehidupan dan pergaulan. Intinya ialah hubungan dengan Allah s.w.t. Oleh
kerana itu, usaha memisahkan antara masalah-masalah tauhid dan perilaku
manusia dalam kehidupan mereka sehari-hari bererti memisahkan agama
dari kehidupan dan mengubahnya menjadi adat- istiadat, tradisi-tradisi,
dan acara-acara ritual yang hampa. Kisah Nabi Syu’ib menampakkan hal
yang demikian secara jelas.
Allah s.w.t mengutus Syu’ib pada penduduk Madyan:
"Dan kepada (penduduk) Madyan (kami utus) saudara mereka, Syu 'ib. Ia
berkata: 'Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu
selain Dia.'" (QS. Hud: 84)
Ini adalah dakwah yang sama yang diserukan oleh setiap nabi. Dalam hal
ini tidak ada perbezaan antara satu nabi dan nabi yang lain. Ia
merupakan dasar akidah dan tanpa dasar ini mustahil suatu bangunan akan
berdiri. Setelah peletakan bangunan tersebut, Syu’ib mulai menyuarakan
dakwahnya:
"Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan. Sesungguhnya aku
melihat kamu dalam keadaan yang baik (mampu) dan sesungguhnya aku
khawatir terhadapmu akan azab hari yang membinasakan (kiamat)." (QS.
Hud: 84)
Setelah menjelaskan masalah tauhid secara langsung, Nabi Syu’ib
berpindah pada masalah muamalah sehari-hari yang berkenaan dengan
kejujuran dan keadilan. Adalah hal yang terkenal pada penduduk Madyan
bahawa mereka mengurangi timbangan dan mereka tidak memberikan hak-hak
manusia. Ini adalah suatu kehinaan yang menyentuh kesucian hati dan
tangan sebagaimana menyentuh kesempurnaan harga diri dan kemuliaan.
Para penduduk Madyan beranggapan bahawa mengurangi timbangan adalah
salah satu bentuk kelihaian dan kepandaian dalam jual-beli serta bentuk
kelicikan dalam mengambil dan membeli. Kemudian nabi mereka datang dan
mengingatkan bahawa hal tersebut merupakan hal yang hina dan termasuk
pencurian. Nabi Syu’ib memberitahukan kepada mereka bahawa beliau
khawatir jika mereka meneruskan perbuatan keji itu nescaya akan turun
kepada mereka azab di mana manusia tidak akan dapat menghindar dari
seksaan itu. Perhatikanlah bagaimana campur tangan Islam melalui Nabi
Syu’ib yang diutus kepada manusia di mana ia memperhatikan persoalan
jual-beli dan mengawasinya:
"Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan
janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan janganlah
kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan." (QS. Hud:
85)
Nabi Syu’ib meneruskan misi dakwahnya. Beliau mengulang-ulangi
nasihatnya kepada mereka dengan cara yang baik dan mengajak ke jalan
yang baik, tidak ke jalan yang buruk; beliau menghimbau kepada mereka
untuk menegakkan timbangan dengan keadilan dan kebenaran dan
mengingatkan mereka agar jangan merampas hak-hak orang lain. Merampas
hak-hak orang lain itu tidak terbatas pada jual-beli saja, namun juga
berhubungan dengan perbuatan-perbuatan lainnya; beliau memerintahkan
mereka untuk menegakkan timbangan keadilan dan kejujuran. Demikianlah
seruan dari agama tauhid dan akidah tauhid di mana ia selalu menyuarakan
kejujuran dan keadilan.
Agama selalu memerintahkan manusia untuk menjalin kerjasama sesama
mereka dalam kehidupan sehari-hari dengan cara-cara yang bijaksana dan
baik, baik menyangkut hubungan kerja, hubungan peribadi mahupun hubungan
lainnya. Al-Quran al-Karim mengatakan: "Dan janganlah kamu merugikan
manusia terhadap hak-hak mereka. "Dan kata as-Syai' (sesuatu) dalam ayat
tersebut diucapkan kepada hal-hal yang bersifat materi dan yang
bersifat non-materi (rohani) di mana masuk dalam kategori itu
perbuatan-perbuatan dan hubungan-hubungan yang menghasilkan. Al-Quran
melarang segala bentuk kezaliman, baik kezaliman berkenaan dengan
menimbang buah-buahan atau sayur- sayuran mahupun kezaliman dalam bentuk
tidak memberikan penghargaan terhadap usaha manusia dan pekerjaan
mereka. Sebab, kelaliman terhadap manusia akan menciptakan suasana
ketidakharmonisan yang berakibat pada timbulnya penderitaan, sikap putus
asa, dan sikap tidak peduli, sehingga pada akhirnya hubungan sesama
manusia berjalan tidak harmonis dan menimbulkan kegoncangan dalam
kehidupan. Oleh kerana itu, Al-Quran mengingatkan agar jangan sampai ada
manusia yang berbuat kerosakan di muka bumi:
"Dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat
kerosakan. Sisa (keuntungan) dari Allah adalah lebih baik bagimu jika
kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah seorang penjaga atas
dirimu." (QS. Hud: 85-86)
Yang di maksud al-'Atsu ialah sengaja membuat kerosakan dan bertujuan
untuk membuat kerosakan. Janganlah kalian membuat kerosakan di muka
bumi; janganlah kalian sengaja untuk menciptakan keonaran di muka bumi.
Apa yang ada di sisi Allah s.w.t adalah hal yang terbaik buat kalian
jika kalian benar-benar beriman. Kemudian Nabi Syu’ib memberitahu kepada
mereka bahawa ia tidak memiliki sesuatu kepada mereka; ia tidak dapat
menguasai mereka tidak juga ia selalu mengawasi mereka. Beliau hanya
sekadar seorang rasul atau utusan untuk menyampaikan ajaran Tuhannya:
"Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu. " (QS. Hud: 86)
Dengan cara yang demikian, Nabi Syu’ib menjelaskan kaumnya bahawa
masalah yang mereka hadapi saat ini sangat penting dan sangat serius,
bahkan sangat berat. Beliau memberitahu mereka akibat yang bakal mereka
terima jika mereka membuat kerosakan. Selesailah bahagian pertama dari
dialog Nabi Syu’ib bersama kaumnya. Nabi Syu’ib telah mengawali
pembicaraan dan kaumnya mendengarkan. Kemudian beliau berhenti dari
pembicaraannya dan sekarang kaum membuka pembicaraan:
"Mereka berkata: 'Hai Syu’ib, apakah agamamu yang menyuruh agar kami
meninggalkan apa yang disembah oleh bapak-bapak kami atau melarang dan
berbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami. Sesungguhnya kamu
adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal " (QS. Hud: 87)
Para penduduk Madyan yang kafir mereka biasa merampok dan menyembah
al-Aikah, yaitu pohon dari al-Aik yang dikelilingi oleh dahan- dahan
yang berputar di sekelilingnya. Mereka termasuk orang-orang yang
menjalin hubungan sesama manusia dengan cara-cara yang sangat keji.
Mereka suka mengurangi timbangan; mereka mengambil yang lebih darinya
dan tidak menghiraukan kekurangannya. Perhatikanlah semua itu dalam
dialog mereka bersama Syu’ib. Mereka berkata, "wahai Syu’ib apakah
agamamu yang memerintahkanmu...?" Seakan-akan agama ini mendorong Syu’ib
dan membisikinya serta memerintahnya sehingga ia mentaati tanpa
pertimbangan dan pemikiran. Sungguh Syu’ib telah berubah dengan agamanya
itu menjadi alat yang bergerak dan alat yang tidak sedar. Demikianlah
celaan dan tuduhan keji yang dialamatkan oleh kaum Nabi Syu’ib
kepadanya. Agama Syu’ib telah membuatnya gila dan membuatnya nekad untuk
memerintahkan mereka meninggalkan apa yang selama ini mereka sembah dan
disembah oleh kakek-kakek mereka. Kakek-kakek mereka telah menyembah
tumbuh-tumbuhan dan pohon- pohonan sementara agama Syu’ib memerintahkan
mereka untuk hanya menyembah Allah s.w.t. Kenekatan model apa dari
Syu’ib ini?
Dengan ejekan dan penghinaan ini, Nabi Syu’ib menghadapi dialog yang
terjadi dengan mereka. Kemudian mereka kembali bertanya-tanya dengan
penuh keheranan dan dengan nada mengejek: "Apakah agamamu yang menyuruh
agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapak- bapak kami."
Tidakkah engkau sedar wahai Syu’ib bahawa agamamu ingin mencampuri
keinginan kita dan cara kita menggunakan harta kita? Apakah hubungan
keimanan dan salat dengan muamalah materi?
Dengan pertanyaan ini, kaum Nabi Syu’ib mengira bahawa mereka mencapai
suatu tingkat kecerdasan. Mereka mengemukakan di hadapannya masalah
keimanan, dan mereka mengingkari adanya keterkaitan antara perilaku
manusia dan muamalah mereka serta perekonomian mereka. Ini adalah
masalah yang klasik; ini adalah usaha untuk memisahkan antara ekonomi
dan Islam di mana setiap nabi justru di utus untuknya meskipun nama-nama
mereka berbeza-beza; ini adalah masalah kuno yang diungkap oleh kaum
Nabi Syu’ib di mana mereka mengingkari bahawa agama turut campur dalam
kehidupan sehari-hari mereka, perekonomian mereka dan cara mereka
menggunakan harta mereka. Mereka menganggap bahawa menginfakkan harta
atau menggunakannya atau menghambur-hamburkannya adalah suatu yang tidak
berhubungan dengan agama. Hal itu menyangkut kebebasan peribadi
manusia. Bukankah itu hartanya yang khusus lalu mengapa agama turut
campur di dalamnya?
Demikianlah pemahaman kaum Nabi Syu’ib kepada Islam yang dibawa oleh
Nabi Syu’ib. Kami kira pemahaman demikian sedikit atau banyak tidak
berbeza dengan pemahaman banyak masyarakat di zaman kita sekarang mereka
menganggap bahawasanya Islam tidak memiliki kaitan dengan kehidupan
peribadi manusia dan kehidupan perekonomian mereka. Oleh kerana itu,
manusia dapat menggunakan harta mereka sesuai dengan kemahuan mereka:
"Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal."
Mereka ingin mengatakan kepada Nabi Syu’ib, seandainya engkau seorang
yang bijaksana dan memiliki pemikiran yang matang nescaya engkau tidak
akan mengatakan apa yang telah engkau katakan. Mereka kembali mengejek
Nabi Syu’ib dan merendahkan dakwahnya. Seandainya Anda bertanya kepada
kaum Nabi Syu’ib tentang pemahaman agama mereka maka mereka pasti
mengingkari bahawa agama adalah sebagai sistem dalam kehidupan yang
menjadikan hidup lebih mulia, lebih suci, lebih adil dan lebih pantas
manusia untuk menjabat sebagai khalifatullah di muka bumi; seandainya
Anda bertanya kepada mereka tentang agama nescaya mereka memberitahumu
bahawa ia hanya berupa kumpulan nilai-nilai rohani yang baik yang tidak
mewarnai kehidupan sehari-hari. Dengan pemahaman seperti ini, agama
hanya sekadar hiasan. Ini adalah pemahaman yang menggelikan kerana Allah
s.w.t mengutus para nabi dan ajaran-ajaran yang mereka bawa bukan untuk
perhiasan dan main- mainan.
Maha Suci Allah s.w.t dari semua itu. Allah s.w.t mengutus para nabi-Nya
dengan membawa sistem baru dalam kehidupan, yaitu sistem yang mencakup
nilai-nilai dan pemikiran-pemikiran yang itu semua tidak akan bermakna
jika tidak berubah menjadi suatu sistem dalam kehidupan secara umum dan
mengatur kehidupan secara khusus. Dengan pemahaman seperti inilah agama
menjadi mulai dan agama menjadi benar adanya. Dan dengan asumsi seperti
ini, kita memahami seberapa jauh campur tangan agama dalam
persoalan-persoalan kehidupan sehari- hari: dimulai dari
hubungan-hubungan cinta sampai undang-undang perkahwinan, bahkan cara
mengambil keputusan hidup sampai sistem dalam menginfakkan wang dan
menggunakannya, juga sistem dalam cara menggunakan dan mengagihkan
kekayaan dan sebagainya. Jika manusia memahami agama seperti ini maka
jadilah agama sesuatu kebenaran. Dan kalau tidak, agama laksana
puing-puing saja.
Nabi Syu’ib mengetahui bahawa kaumnya mengejeknya kerana mereka
menganggap agama tidak turut campur dalam kehidupan sehari-hari. Namun,
beliau menghadapi semua itu dengan penuh kelembutan dan kasih sayang
kerana beliau yakin apa yang beliau bawa adalah kebenaran. Beliau tidak
peduli dengan ejekan mereka dan tidak tersinggung dengannya dan tidak
mempersoalkan hal itu; beliau memberi pengertian kepada mereka bahawa
beliau berada di atas kebenaran dari Tuhannya; beliau adalah seorang
nabi yang mengetahui kebenaran; beliau tidak melarang mereka untuk
meninggalkan sesuatu yang di balik larangan itu mendatangkan keuntungan
peribadi buatnya; beliau tidak ingin menasihati mereka dalam kejujuran
agar pasar menjadi sepi dan kerananya beliau mengambil manfaat; beliau
hanya sekadar seorang nabi di mana dakwah setiap nabi tergambar dalam
ungkapan yang singkat:
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. " (QS. Hud: 88)
Yang beliau inginkan hanya al-Islah (usaha membuat perbaikan).
Demikianlah kandungan dan inti dakwah para nabi yang sebenarnya. Mereka
adalah al-Muslihun, yaitu orang-orang yang membuat perbaikan; mereka
memperbaiki akal, memperbaiki hati dan memperbaiki kehidupan yang umum
dan kehidupan yang khusus:
"Syu’ib berkata: 'Hai kaumku, bagaimana fikiranku jika aku mempunyai
bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku dari-Nya rezeki
yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak
berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku
tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih
berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan
(pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah bertawakal dan hanya
kepada-Nya-lah
aku kembali.'" (QS. Hud: 88)
Setelah Nabi Syu’ib menjelaskan tujuan-tujuannya kepada mereka dan
menyingkapkan kebenaran dakwahnya, beliau mulai mengotak-atik akal- akal
mereka; beliau mengungkapkan kepada mereka bagaimana pergelutan
orang-orang sebelum mereka dengan para nabi sebelumnya, yaitu kaum Nabi
Nuh, kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh, dan kaum Nabi Luth yang masa mereka
tidak jauh dengan masa Nabi Syu’ib. Beliau mulai berdialog dengan
mereka dan mengingatkan mereka bahawa sikap penentangan mereka justru
akan mendatangkan seksaan bagi mereka. Nabi Syu’ib mengingatkan mereka
bagaimana nasib orang-orang yang mendustakan kebenaran:
"Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan kamu)
menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang
menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Saleh, sedang kaum Luth tidak
(pula) jauh (tempatnya) dari kamu. Dan mohonlah ampun dari Tuhanmu
kemudian bertaubatlah kepada- Nya,sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang
lagi Maha Pengasih. " (QS. Hud: 89-90)
Usai Nabi Syu’ib berdakwah kepada Allah s.w.t dan menjelaskan al-ishlah
(usaha memperbaiki masyarakat) dan mengingatkan mereka bahaya
penentangan serta menakut-nakuti mereka dengan menceritakan kembali
seksaan yang diterima orang-orang yang berbohong sebelum mereka.
Meskipun demikian, Nabi Syu’ib tetap membukakan pintu pengampunan dan
pintu taubat bagi mereka. Beliau menunjukkan kepada mereka kasih sayang
Tuhannya Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Namun kaum Nabi Syu’ib
memilih azab. Kekerasan hati mereka dan keinginan mereka untuk
mendapatkan harta yang haram serta rasa puas dengan sistem yang mengatur
mereka, semua itu menyebabkan mereka menolak kebenaran:
"Mereka berkata: 'Hai Syu’ib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu.'" (QS. Hud: 91)
Kami tidak memahamimu. Engkau adalah seorang yang mengacau; engkau mengatakan sesuatu yang tidak dimengerti:
"Dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami." (QS. Hud: 91)
Beliau dikatakan sebagai orang yang lemah kerana orang-orang fakir dan
orang-orang yang menderita adalah orang-orang yang beriman padanya,
sedangkan orang-orang kaya dan para pembesar telah menentang mereka.
Demikianlah pertimbangan umumnya manusia yang tidak memiliki kekuatan
cukup untuk menghadapi kebenaran dakwah Nabi Syu’ib di mana beliau
dianggap sebagai orang yang lemah:
"Kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami akan merejammu."(QS. Hud: 91)
Seandainya kalau bukan kerana keluargamu dan kaummu dan orang-orang yang
mengikutimu nescaya kami akan menggali suatu lubang dan kami akan bunuh
kamu di lubang itu dengan cara melempari kamu dengan batu:
"Sedang kamu pun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami." (QS. Hud: 92)
Kaum Nabi Syu’ib berpindah dari cara mengejek pada cara menyerang. Nabi
Syu’ib telah menyampaikan bukti kepada mereka setelah mereka
mengejeknya, lalu mereka mengubah cara mereka berdialog. Mereka
memberitahunya bahawa mereka tidak memahami apa yang beliau katakan dan
mereka melihat bahawa Nabi Syu’ib sebagai orang yang lemah dan hina. Dan
seandainya kalau bukan kerana mereka takut (kasihan)
kepada keluarganya nescaya mereka akan membunuhnya. Mereka menampakkan
kebencian kepada Nabi Syu’ib dan ingin sekali untuk membunuhnya kalau
bukan kerana alasan-alasan yang berhubungan dengan keluarganya.
Menghadapi ancaman itu, Nabi Syu’ib tetap menunjukkan sikap lembutnya
lalu beliau bertanya kepada mereka dengan maksud untuk menggugah ke
sekian kalinya akal mereka:
"Syu’ib menjawab: 'Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada Allah. " (QS. Hud: 92)
Apakah cukup rasional jika mereka membayangkan hal tersebut? Mereka
melupakan hakikat kekuatan yang mengatur alam. Sesungguhnya hanya Allah
s.w.t Yang Maha Mulia dan Maha Kuat. Seharusnya mereka mengingat hal
itu; seharusnya seseorang tidak takut kepada apapun selain Allah s.w.t
dan tidak membandingkan kekuatan di alam wujud ini dengan kekuatan Allah
s.w.t. Hanya Allah s.w.t Yang Kuat dan hanya Dia yang mengatur
hamba-hamba-Nya.
Tampak bahawa kaum Nabi Syu’ib mulai kesal dan semakin kesal dengannya, lalu berkumpullah para pembesar kaumnya:
"Pemuka-pemuka dari kaum Syu'ib yang menyombongkan diri berkata:
'Sesungguhnya kami akan mengusir kamu hai Syu’ib dan dengan orang-orang
yang beriman bersamamu dari kota kami, kecuali kamu kembali kepada agama
kami.'" (QS. al-A'raf: 88)
Mereka menggunakan tahap baru dengan cara mengancam Nabi Syu’ib; mereka
mengancamnya untuk membunuh dan mengusir dari desa mereka; mereka
memberi pilihan kepada Nabi Syu’ib antara terusir dan kembali kepada
agama mereka yang menyembah pohon-pohon dan benda-benda mati. Nabi
Syu’ib memberitahu kepada mereka bahawa masalah kembalinya ia ke agama
mereka adalah masalah yang tidak berhubungan dengan masalah-masalah yang
disebutkan dalam perjanjian. Sungguh Allah s.w.t telah menyelamatkan
beliau dari agama mereka lalu bagaimana beliau kembali lagi padanya?
Beliau yang mengajak mereka pada agama tauhid lalu bagaimana beliau
mengajak mereka untuk kembali pada kesyirikan dan kekufuran? Beliau
mengajak mereka dengan cara yang lembut dan kasih sayang sementara
mereka
mengancamnya dengan kekuatan.
Demikianlah pertentangan antara Nabi Syu’ib dan kaumnya semakin
berlanjutan. Nabi Syu’ib memegang amanat dakwah untuk menghadapi para
pembesar, para pendusta, dan para penguasa kaumnya. Akhirnya, Nabi
Syu’ib mulai mengetahui bahawa mereka tidak lagi memiliki harapan kerana
mereka telah berpaling dari Allah s.w.t:
"Sedang Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu?
Sesungguhnya pengetahuan Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan. Dan
(dia berkata): 'Hai kaumku, berbuatlah menurut kemampuanmu, sesungguhnya
aku pun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan
ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah
azab (Tuhan). Sesungguhnya aku pun menunggu bersama kamu." (QS. Hud:
92-93)
Nabi Syu’ib berlepas diri dari mereka. Mereka telah berpaling dari agama
Allah s.w.t bahkan telah mendustakan nabi-Nya dan menuduhnya bahawa ia
tersihir dan seorang pembohong. Maka, setiap orang hendaklah melakukan
apa saja yang diinginkannya dan hendaklah mereka menunggu azab Allah
s.w.t. Kemudian pergelutan antara Nabi Syu’ib dan kaumnya berakhir
adanya fasa baru. Mereka meminta kepada Nabi Syu’ib untuk mendatangkan
azab dari langit jika beliau termasuk orang-orang yang benar. Dengan
nada mencabar dan menentang, mereka berkata: "di mana azab itu, di mana
seksaan yang dijanjikan itu? Mengapa terlambat datang?"
Mereka mengejek Nabi Syu’ib dan beliau dengan tenang menunggu datangnya
azab Allah s.w.t. Allah s.w.t mewahyukan kepada beliau agar keluar
bersama orang-orang mukmin dari desa tersebut. Akhirnya, Nabi Syu’ib
keluar bersama para pengikutnya dan datanglah azab Allah s.w.t:
"Dan tatkala datang azab Kami. Kami selamatkan Syu’ib dan orang- orang
yang beriman bersama-sama dengan dia dengan rahmat dari kami, dan
orang-orang lalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur, lalu
jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya. Seolah-olah mereka belum
pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, kebinasaan bagi penduduk Madyan
sebagaimana kaum Tsamud telah binasa." (QS. Hud: 94-95)
Ia adalah teriakan sekali saja satu suara yang datang kepada mereka dari
celah-celah awan yang menyelimuti. Mula-mula mereka barangkali
bergembira kerana membayangkan itu akan membawa hujan tetapi mereka
dikejutkan ketika datang kepada mereka seksaan yang besar pada hari yang
besar.
Selesailah masalah ini. Mereka menyedari bahawa teriakan itu membawa
bencana buat mereka; teriakan itu menghanguskan setiap makhluk yang ada
di dalam negeri itu. Mereka tidak mampu bergerak dan tidak mampu
menyembunyikan diri dan tidak pula mereka dapat menyelamatkan diri
mereka.
No comments:
Post a Comment