5. As Salam




هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ ۚ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ

[23]Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.

Quran 59:23


As-Salaam membawa erti Yang Maha Memberi Selamat.atau Yang Maha Penyelamat. Allah memberi rasa selamat kepada makhluknya. Keselamatan dari Allah akan membawa kesejahteraan kepada kehidupan manusia. Rasa selamat dan sejahtera akan memberi rasa aman. Maka itulah Islam dinamakan sebagai Agama Keamanan kerana ia datang dari yang yang bernama ﺍﻟﺴﻼﻢ (As-Salaam).

Nama As-Salaam adalah nama kepada sifat Allah. Sifat Allah adalah memberi selamat. Setiap nama yang menjadi sifat Allah boleh digunakan makhluk. Contohnya nama Abdul Salam atau Muhammad Salam boleh digunakan manusia. Tidak boleh menggunakan nama Assalam sendirian kerana huruf alif dipangkal kalimah Salam itu merujuk kepada Zat Allah sahaja.

Amalan-amalan yang menggunakan kalimah ﺍﻟﺴﻼﻢ (As-Salaam)
1) Dalam bacaan tahiyat terdapat doa keselamatan untuk Nabi Muhammad saw, untuk diri kita sendiri dan untuk sekelian orang-orang yang soleh:-
Assalaamualaika aiyuhan nabiyyu - Selamat sejahtera atasmu wahai Nabi
Assalaamualaina wa'ala 'ibaadillahi solihin - Selamat sejahtera atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.

2) Wirid selepas sembahyang yang diajar Rasulullah saw merangkumi sifat salam Allah swt:-
Allahumma antassalaam - Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Sejahtera.
Wa mingkassalaam - Dan dari-Mu kesejahteraan itu.
Wa ilaika ya'udussalaam - Dan kepada-Mu kesejahteraan.
Fahai'yina rabbana bisssalaam - Hidupkanlah kami, wahai Tuhan kami, dengan kesejahteraan.
Wa adkhilnal jannata darrassalaam - Dan masukkanlah kami ke dalam Syurga Keselamatan.

3) Memberi selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw.
Memberi selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad saw adalah perintah dari Allah yang terakam di dalam ayat 56 surah al-Ahzab, yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucaplah salam kepadanya."

Hadith dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud; "Tidaklah seorang memberi salam kepadaku, melainkan Allah swt akan mengembalikan rohku hingga aku menjawab salamnya."

Tidakkah kita mahu menerima jawapan salam dari Rasulullah saw? Sesungguhnya orang yang banyak memberi selawat dan salam kepada junjungan kita akan dapat bersama Rasulullah saw di akhirat kelak. Maka amalkanlah memberi selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw.

4) Mengucapkan Assalaamu'alaikum.
Hukum memberi salam ada 2 iaitu:-
1) Wajib
Memberi salam yang pertama (sebelah kanan) dalam sembahyang adalah wajib dan menjadi rukun sembahyang. Sembahyang tidak sah jika tidak memberi salam pertama ini. Salam yang kedua (sebelah kiri) adalah sunat hukumnya. Untuk siapakah kedua-dua salam ini? Salam ini adalah untuk Malaikat Rakid (kanan) dan Malaikat Atid (kiri). Merekalah yang mencatit segala amal baik dan buruk kita selama kita hidup di dunia ini.

Lafaz salam dalam sembahyang ialah "Assalaamu'alaikum warahmatullah".

2) Sunat
Umat Islam sangat digalakkan untuk menyebarkan salam sesama saudara Islam dengan mengucapkan kalimah "Assalaamu'alaikum" yang membawa maksud; "Selamat dan sejahtera atas kamu."

Hukum memberi salam kepada saudara Islam kita adalah sunat mu'akad (sangat digalakkan) dan akan mendapat pahala yang besar. Orang yang menerima salam itu wajib menjawabnya dengan sebaik salam yang diberi atau lebih baik lagi.

Contoh jawapan salam yang sama baik ialah "Wa'alaikum salam" ertinya "Untuk kamu juga selamat sejahtera" atau "Wa'alaikumussalam" yang bermaksdu "Untuk kamu juga selamat dan sejahtera yang banyak".
Contoh jawapan salam yang lebih baik ialah "Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh".

Tidak menjawab salam sesama saudara Islam adalah berdosa. Wajib juga menjawab salam dalam tulisan dengan tulisan balasnya. Menulis kalimah salam dan jawapan dalam tulisan hendaklah dengan ejaan yang betul dan elakkan dari menggunakan tulisan ringkas (short-formed) seperti dalam sms. Jika menulis kalimah "Assalaamu'alaikum" itu dirasakan terlalu panjang boleh dipendekkan menjadi "Assalam" atau "Salam" sahaja.

Memberi dan menjawab salam di dalam tandas adalah haram dan berdosa. Ini kerana dalam kalimah salam itu ada mengandungi nama Allah "As-Salaam". Begitu juga tidak boleh membawa kalimah Assalaamu'alaikum dalam tulisan hijjah'yah (huruf Arab) ke dalam tandas. Jika ia ditulis dalam tulisan rumi tidaklah mengapa dengan syarat jangan dibaca atau disebut di dalam tandas.

Ada juga orang bukan Islam yang pandai mengucapkan "Assalaamu'alaikum" kepada teman-teman Islam mereka. Bolehkah kita menjawab salam mereka ini? Cara untuk menjawab salam dari orang yang tidak beriman kepada Allah ialah dengan mengucapkan "Wa'alaikum" sahaja tanpa kalimah salam. Salam adalah dari Allah dan mereka yang tidak beriman tidak berhak mendapat keselamatan dari Allah. Ucapan salam sebenarnya adalah satu doa keselamatan untuk kehidupan dunia dan keselamatan dari api neraka di akhirat kelak. Orang-orang yang tidak beriman (kafir) tidak akan selamat dari api neraka kerana itulah ketentuan Allah swt.

Cukuplah memberi mereka jawapan "Wa'alaikum" yang bermaksud "untuk kamu juga". Ertinya kita pulangkan apa yang mereka niatkan untuk kita. Jika niat mereka baik, maka mereka akan mendapat kebaikan itu di dunia ini. Jika niatnya jahat, maka kejahatan itu akan kembali juga kepada mereka di dunia dan di akhirat. Begitulah adab kita sebagai orang Islam yang baik.

No comments:

Post a Comment