4. Al Quddus




Nama Allah yang ke 4 di dalam senarai asmaaul-husna ialah Al-Quddus, yang membawa erti Yang Maha Suci. Al-Quddus adalah nama Allah yang bersandarkan pada sifat. Allah bersifat Maha Suci dari segala sifat yang tidak layak bagi Tuhan yang disembah.

Allah tidak layak bersifat dengan sifat-sifat yang mustahil. Allah juga tidak layak bersifat dengan sifat-sifat kekurangan. Sifat-sifat yang mustahil adalah sifat-sifat kekurangan bagi Allah. Sifat-sifat kekurangan adalah sifat-sifat makhluk. Antara sifat-sifat kekurangan yang mustahil ada pada Allah ialah:-

* Allah perlu kepada pancaindera untuk melihat, mendengar dan berkata-kata.
* Allah hidup kerana Allah itu bernyawa.
* Allah mempunyai anggota tubuh seperti muka, tangan dan kaki.

Sesungguhnya Allah adalah Maha Suci dari segala kekurangan. Allah tidak dari sesuatu. Allah tidak berhajat atau perlu kepada sesuatu. Allah tidak terikat dengan masa kerana Allah yang mencipta masa. Allah tidak seumpama sesuatu dan tiada sesuatu yang sama dengan Allah.


يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ


[1]Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Quran 62:1


Iktikad agama Islam adalah sangat lurus dan bersih dari segala kebengkokan - iaitu Allah adalah Esa (tunggal) tidak ada sekutu bagi-Nya. Samakan sifat Allah seperti sifat-sifat makhluk adalah syirik. Allah menegaskan ini dalam surah Yusuf ayat 108, yang bermaksud;

"Katakanlah (Wahai Muhammad); Inilah jalanku; aku dan orang-orang yang mengikutku, menyeru manusia kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan; Maha Suci Allah (dari iktikad syirik) dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain".

Tidak ada perkara syirik yang lebih besar dari mengatakan bahawa Allah mempunyai anak. Golongan manusia yang mengatakan Allah mempunyai anak ada 3 iaitu golongan Musyirikin, Yahudi dan Nasrani. Iktikad ketiga-tiga golongan manusia ini dibantah Allah dalam al-Qur'an.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 116, yang bermaksud; "Dan mereka (orang-orang Musyrik) berkata; 'Allah mempunyai anak.' Maha Suci Allah (dari apa yang dikatakan itu), bahkan Dia-lah yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; semua itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya".

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 30 - 31, yang bermaksud; "Dan orang-orang Yahudi berkata; 'Uzair ialah anak Allah'; dan orang-orang Nasrani berkata; 'al-Masih ialah anak Allah'. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, iaitu mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahl-ahli agama mereka sebagai penguasa (yang berkuasa) selain dari Allah, dan juga (mempertuhankan) al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan."

Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 100, yang bermaksud; "Dan mereka menjadikan Jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang menciptkan Jin-Jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagi-Nya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka sifatkan!".

Allah mensucikan Diri-Nya dari segala kata-kata kotor dan dusta dari golongan manusia yang syirik itu semuanya. Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 101 - 103, yang bermaksud; "(Dia-lah) Yang mencipta langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri? Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu. Dan Dia-lah Yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Yang demikian sifat-sifat Allah, Tuhan kamu; Tiada Tuhan melainkan Dia. Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dia-lah yang mentadbirkan segala-galanya.

Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat (dan mengetahui) segala penglihatan, dan Dia-lah Yang Maha Halus lagi Maha mendalam pengetahuannya."

Dari ayat di atas ini Allah menerangkan sifat-sifatNya Yang Maha Suci dari kesyirikan manusia iaitu Allah bersifat:-
* Qudrah (berkuasa)
* Iradah (berkehendak)
* Ilmu (mengetahui)
* Basar (melihat)

Sesungguhnya Allah yang mencipta dan mentadbir alam (makhluk) tidak mungkin bersifat seperti makhluk-Nya. Maha Suci Allah dari apa yang disifatkan oleh orang-orang kafir lagi sesat jalannya.

Kaitan lain dengan kalimah Quddus

1) Al-Quddus dikaitkan dengan kalimah As-Subha yang juga bererti Yang Maha Suci. Subha ertinya suci dan kalimah 'Subhanallah' bermaksud 'Maha Suci Allah'.Berzikir dengan kalimah 'Subhanallah' dinamakan sebagai bertasbih. Sangat digalakkan untuk bertasbih setiap pagi dan petang. Dan amalkanlah untuk membaca zikir ini setiap selepas sembahyang fardu 5 waktu:-
* tasbih (subhanallah) - 33 kali
* tahmid (alhamdulillah) - 33 kali
* takbir (allahu akbar) - 33 kali

2) Kalimah 'Makdis' dalam kalimah 'Baitulmakdis' adalah dari kalimah 'Quddus' dalam bahasa Arab. Baitulmakdis membawa maksud 'Rumah Suci'. Keliling kawasan Baitulmakdis adalah kawasan yang diberkati Allah seperti yang diceritakan dalam surah al-Israa' ayat 1, yang bermaksud;

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari (diisraa'kan) dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa, yang Kami (Allah) berkati sekelilingnya untuk Kami memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Masdil al-Aqsaa letaknya di dalam Baitulmakdis. Ia adalah tempat yang suci bagi umat Islam kerana 3 sebab:-
* tempat lahir Nabi Isa as.
* tempat asal Nabi Sulaiman as beribadat.
* tempat Nabi Muhammad saw diisraa'kan dari Masjidilharam lalu dimi'rajkan ke langit.

Wallahu'alam bisawab.

No comments:

Post a Comment