[1]
Alif, Laam, Miim, Saad.
[2]
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad
dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu
mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada
orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang
yang beriman.
[3]
(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutlah apa yang telah
diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut
pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit
kamu mengambil peringatan”.
[4]
Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa
Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat
pada tengah hari.
[5]
Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada
mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: “Sebenarnya kami
adalah orang-orang yang zalim”.
[6]
Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah
diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan
menyoal juga Rasul-rasul itu.
[7]
Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan
umat-umatnya), dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa
yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib
(bahkan sentiasa Mendengar, Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal
mereka).
[8]
Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat
timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang
berjaya.
[9]
Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka
itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka
berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan
tempatnya).
[10]
Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi,
dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan
(supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
[11]
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa
kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu
kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk
dalam golongan yang sujud.
[12]
Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud
ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam,
Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan
dari tanah.”
[13]
Allah berfirman: “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut
engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah,
sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”.
[14]
Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.
[15]
Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”.
[16]
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku
tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi
mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
[17]
“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang
mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak
akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.
[18]
Allah berfirman: “Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang
terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang
menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan)
kamu (yang derhaka) semuanya;
[19]
“Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta
makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai,
dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka
akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim”.
[20]
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua
supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang
(sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata:
“Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini,
melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau
menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.
[21]
Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku
adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua”.
[22]
Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam
larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu,
terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka
mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka
menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu,
dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang
nyata?”
[23]
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami
sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat
kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.
[24]
Allah berfirman: “Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu
menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan
tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu
ketika (mati)”.
[25]
Allah berfirman lagi: “Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati,
dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula
pada hari kiamat)”.
[26]
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu
(bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan;
dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian
itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada
hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
[27]
Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan
sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga,
sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk
memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).
Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu
tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan
Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.
[28]
Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan
sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: “Kami dapati datuk nenek
kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya”.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali
menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan
terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?”
[29]
Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan
(menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah)
dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan
beribadatlah dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata;
(kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian
pula) kamu akan kembali (kepadaNya).
[30]
Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah
(dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian
lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan
mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan
Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta
mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.
[31]
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada
tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan
makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya
Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
[32]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan
perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan
demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang
dikurniakanNya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk
orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan
dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang
beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat
keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
[33]
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan
yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan
dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan
(diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah
tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan
(diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu
tidak mengetahuinya.
[34]
Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila
datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan
tidak dapat pula mereka didahulukan.
[35]
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan
kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa
yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula
tidak akan berdukacita.
[36]
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang
angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.
[37]
Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap
Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat
bahagian mereka (di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka),
hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang
mengambil nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka):
“Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah selain
Allah?” Mereka menjawab: “Semuanya itu telah hilang lenyap daripada
kami”, dan mereKa pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri,
bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.
[38]
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat
yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat
yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga
apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang
akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan
kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada
mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah
berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat
ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.
[39]
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada
golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): “(Jika demikianlah hukuman
Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami”. (Allah
berfirman): “Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu
telah usahakan”.
[40]
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan
yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak
sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka
tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan
demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.
[41]
Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas
mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami
membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).
[42]
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh – (dengan tidak menjadi
keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang
(dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah
ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.
[43]
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di
dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat)
masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji
tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat
nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh
petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya);
sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa
kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu
mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
[44]
Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing),
berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: “Sesungguhnya kami
telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami,
semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah
dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?”. Mereka menjawab: “Benar
ada”. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka
(kedua-dua puak itu) menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas
orang-orang yang zalim”.
[45]
Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari
menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok
terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.
[46]
Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok “Al-A’raaf “(yang
menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raaf itu ada sebilangan
orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli
Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun
menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): “Salaamun Alaikum”
(salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk
Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.
[47]
Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka
(berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan
kami bersama orang-orang yang zalim”.
[48]
Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa
orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan
berkata: “Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang
besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu – tidak dapat
menolong kamu”.
[49]
(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata):
“Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah
bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan
kepada mereka): ` Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan
(dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula
tidak akan berdukacita. ‘ ”
[50]
Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli
neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami
sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah
kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah
haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.
[51]
(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang
menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan
dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan
dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini
(hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka
telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka
ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan
Kami.
[52]
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab
(Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan
pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah
petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.
[53]
Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau
kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada
hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari
kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang
tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang
Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami
pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah)
kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada
apa yang kami telah kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri
mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang
mereka ada-adakan dahulu.
[54]
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi
dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam
dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia
pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang,
(semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah
tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan.
Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
[55]
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara)
perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
melampaui batas.
[56]
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan
segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan
perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan
terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu
dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
[57]
Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang
mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga
apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang
mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan
awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai
jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan
semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil
pelajaran daripadanya).
[58]
Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur)
dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh
tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan
tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi
orang-orang yang (mahu) bersyukur.
[59]
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu
berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya)
tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang,
kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”
[60]
Ketua-ketua dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.
[61]
Nabi Nuh menjawab: “Wahai KaumKu! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.
[62]
“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan
oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku
mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak
mengetahuinya.
[63]
“Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu
nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan
kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan
juga supaya kamu beroleh rahmat?”.
[64]
Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang
yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta
(matahatinya daripada melihat kebenaran)
[65]
Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia
berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak
ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu
bertaqwa kepadaNya? ”
[66]
Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami (wahai
Hud) nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau
adalah dari orang-orang yang berdusta”.
[67]
Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.
[68]
“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang
diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah,
bagi kamu.
[69]
“Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu
nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan
kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah
menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah
menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh
kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.
[70]
Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya
menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah
oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab
yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang
yang benar”.
[71]
Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab
dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku
mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya,
sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang
membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku
juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”.
[72]
Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat
dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang
beriman.
[73]
Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia
berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada
Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada
kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor
unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan
kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah,
dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya;
(kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[74]
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah
kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan)
untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu
memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah
nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan
kerosakan di muka bumi”.
[75]
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang
yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara
mereka: “Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?” Mereka
menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk
menyampaikannya”.
[76]
Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya”.
[77]
Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap
perintah Tuhan mereka, sambil berkata: “Hai Soleh! Datangkanlah azab
yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari
Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)”.
[78]
Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka
mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
[79]
Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku!
Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah
memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang
yang memberi nasihat”.
[80]
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada
kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah
dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
[81]
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu
dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang
melampaui batas”.
[82]
Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah
mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu
ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan
diri”.
[83]
Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya)
melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.
[84]
Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan).
Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan
kesalahan.
[85]
Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia
berkata: “Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada
Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada
kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah
sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan
benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu
berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur
teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu
jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[86]
“Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan
menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui
jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok
terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu
Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana
akibat orang-orang yang berbuat kerosakan.
[87]
“Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu
(perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk
menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah
sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita semua, dan Dia lah
jua sebaik-baik hakim”.
[88]
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata:
“Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang
beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu
berpindah kepada ugama kami”. Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu
hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?
[89]
“Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami
berpindah kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami
daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali,
kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami
meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal.
Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran
(keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim”.
[90]
Dan berkatalah pula Ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi Syuaib (kepada
orang ramai): “Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu
dengan perbuatan yang demikian menjadilah orang-orang yang rugi”.
[91]
Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.
[92]
Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah
mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan
Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.
[93]
Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku!
Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah
Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah
aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)”.
[94]
Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang
Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka
dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya
mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).
[95]
Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan
kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata
(dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai
kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami
timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak
menyedarinya.
[96]
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan)
yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka
mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa
disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
[97]
Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman
daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa
mereka sedang tidur?
[98]
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa
aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa
mereka sedang leka bermain-main?
[99]
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan
buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada
yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh
Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.
[100]
Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada
orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap
kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan
menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami
meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar
(nasihat-nasihat pengajaran)?
[101]
Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian
dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah
datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan
yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa
yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di
atas hati orang-orang yang kafir.
[102]
Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang
ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan
orang-orang yang fasik.
[103]
Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan
membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu
mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah
bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.
[104]
Dan berkatalah Nabi Musa: “Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.
[105]
“Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan
yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa
keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani
Israil menyertai aku (ke Palestin).
[106]
Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu
mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau
dari orang-orang yang benar”.
[107]
Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.
[108]
Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
[109]
Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.
[110]
“Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”
[111]
Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan
sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri
Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);
[112]
“Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”.
[113]
Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata:
“Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?”
[114]
Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya
(akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)”.
[115]
Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu
lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?”
[116]
Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka
mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap
mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta
mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).
[117]
Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka
tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan
sihir mereka).
[118]
Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.
[119]
Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
[120]
Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,
[121]
Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.
[122]
“(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.
[123]
Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi
izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu
lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya
dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya).
[124]
“Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya”.
[125]
Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan
kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan
dan rahmatNya).
[126]
“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami
melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika
sampainya kepada kami”. (Mereka berdoa): “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah
kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam
(berserah bulat-bulat kepadaMu)”.
[127]
Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Adakah engkau (wahai
Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di
bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?”
Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita
biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai
(menundukkan) mereka”.
[128]
(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya:
“Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi
ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya
dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang
yang bertaqwa”.
[129]
Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun)
sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada
kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan
musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan
memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?”
[130]
Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim
kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil
pelajaran.
[131]
Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini
ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka
mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan
pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas
dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi
kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[132]
Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan
(mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan
sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman
kepadamu”.
[133]
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan
belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti
yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan
menjadi kaum yang menderhaka.
[134]
Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu
dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami
dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang
menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau
hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu,
dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi)
bersamamu”.
[135]
(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka,
hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya,
tiba-tiba mereka mencabuli janjinya
[136]
Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut
dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai
daripadanya.
[137]
Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu
akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya,
yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah
Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana
kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah
hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang
mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)
[138]
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka
sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya.
(Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa
buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai
beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum
yang jahil.
[139]
“Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan
apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan
tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu”.
[140]
Nabi Musa berkata lagi: “Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain
dari Allah, padahal Ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang
sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya
kepada kamu)?”
[141]
Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun
dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan
seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan
hidup anak-anak perempuan kamu; dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu
mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
[142]
Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat)
selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh
malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya
empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun
(semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan
memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan
janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”.
[143]
Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan
Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan)
berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci)
supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali
akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia
tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”, Setelah
Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka)
“TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh
pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: “Maha Suci Engkau
(wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal
pertama beriman (pada zamanku)
[144]
Allah berfirman: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat
manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab
Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan
kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur”.
[145]
Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu,
dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap
sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan
amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu
berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu
suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri
orang-orang yang fasik – derhaka”.
[146]
Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi
dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang
menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika
mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman
kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah
petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan
sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus
mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana
mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
[147]
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari
akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan
balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah
kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).
[148]
Dan kaum Nabi Musa, sesudah ia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat
dari barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang
bertubuh dan bersuara (Allah berfirman): “Tidakkah mereka memikirkan
bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat
juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala
yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan
kezaliman”.
[149]
Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan
mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah mereka: “Sesungguhnya
jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami,
nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.
[150]
Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita,
berkatalah ia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan
sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah
Tuhan kamu?” Dan ia meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan
Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun)
sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku!
Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris
mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah
engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan
janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang
zalim”.
[151]
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan
bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah
sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani”.
[152]
Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan
ditimpa kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia.
Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara
yang tidak benar.
[153]
Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat
sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[154]
Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil Lauh-lauh
Taurat itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi
orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada
melanggar perintahNya).
[155]
Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di
bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan.
Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata:
“Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka
bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan
kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di
antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu.
Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan
Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah
Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada
kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.
[156]
“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di
akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah
berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki,
dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya
bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta
orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.
[157]
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang
Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam
Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan
perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan
perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda
yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan
ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang
ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan
memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang
diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[158]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku
adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang
menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada
Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan
Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu
beroleh hidayah petunjuk”.
[159]
Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk
(kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya
mereka menjalankan keadilan.
[160]
Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku,
sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa,
ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukulah batu itu dengan
tongkatmu.” Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap
golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami
naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka “Mann” dan
“Salwa”. (Lalu Kami berfirman): “Makanlah dari baik-baik yang kami telah
kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan
kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri.
[161]
Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka: “Tinggalah dalam bandar
ini dan makanlah dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai, dan
berdoalah dengan berkata: ` (Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami)
‘, dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri,
supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami akan menambah (balasan)
bagi orang-orang yang berbuat kebaikan”.
[162]
Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu
dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka. Oleh itu, Kami
turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang
mereka lakukan.
[163]
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk)
bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada
hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan
(yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;
sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada
mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana
mereka sentiasa berlaku fasik.
[164]
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu
menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan
mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat)
itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah
kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”.
[165]
Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah
diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang
daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim
dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik
(derhaka).
[166]
Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah)
kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada
mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.
[167]
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa
sesungguhnya Ia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus
menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka
dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan
kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksaNya, dan
sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[168]
Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang
bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh
dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan
nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya
mereka kembali (bertaubat).
[169]
Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat
yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di
dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” Padahal jika
datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan
mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada
mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap
Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang
terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri
akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu
mahu mengerti?
[170]
Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan
sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala
orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).
[171]
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke
atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi
mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka,
(sambil Kami berfirman kepada mereka): “Terimalah dengan
bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu
dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu
menjadi orang-orang yang bertaqwa”
[172]
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat
anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia
jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya
dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab:
“Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya
kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah
lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
[173]
Atau supaya kamu tidak mengatakan:” Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang
melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang
kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami)
hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat
itu?”
[174]
Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu
(supaya nyata segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada
kebenaran).
[175]
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang
yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami.
kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia
diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari
orang-orang yang sesat.
[176]
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab
mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada
dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti
anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya
termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan
lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya
mereka berfikir.
[177]
Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,
dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.
[178]
Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya)
maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh
Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.
[179]
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan
manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya
(ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi)
tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti
binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah
orang-orang yang lalai.
[180]
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan
berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah
orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan
nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka
telah kerjakan.
[181]
Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang
memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan
keadilan.
[182]
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik
menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara
yang mereka tidak mengetahuinya.
[183]
Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.
[184]
Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang
siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap
penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan ia hanyalah
seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.
[185]
Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit
dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa
harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang
mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu
beriman?
[186]
Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak
ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah
membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.
[187]
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah
masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya
hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat
menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari
kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di
langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara
mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia
mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari
kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui”.
[188]
Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan
tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan
kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan
mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan
(tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah
(Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan
membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.
[189]
Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang
satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami
isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang
lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan
kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu
waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah
suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):” Sesungguhnya
jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik,
tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur”.
[190]
Kemudian ketika Allah mengurniakan kepada keduanya nikmat yang baik
(sebagaimana yang mereka pohonkan), mereka berdua menjadikan sekutu bagi
Allah dalam urusan wujudnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada
mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.
[191]
Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat
menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?
[192]
Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.
[193]
Dan jika kamu (hai kaum musyrik) menyeru benda-benda itu untuk
memperoleh petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat menurut
(menyampaikan hajat) kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu
menyerunya atau mendiamkan diri.
[194]
Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah
makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya
benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu
orang-orang yang benar.
[195]
Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka
dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang
mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya, atau adakah mereka mempunyai
mata yang mereka dapat melihat dengannya, atau adakah mereka mempunyai
telinga yang mereka dapat mendengar dengannya? Katakanlah (wahai
Muhammad): “Panggilah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah,
kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula
kamu bertangguh lagi.
[196]
“Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab
(Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang
yang berbuat kebaikan”
[197]
Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.
[198]
Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat
petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau
nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.
[199]
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara
yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil
(yang degil dengan kejahilannya).
[200]
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah
perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
[201]
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh
sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah)
maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
[202]
Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan
itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti
(melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu).
[203]
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu
ayat Al-Quran (sebagaimana yang mereka kehendaki), berkatalah mereka
(secara mengejek): “Mengapa engkau tidak bersusah payah membuat sendiri
akan ayat itu?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang
diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan –
yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat
bagi orang-orang yang beriman”.
[204]
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta
diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu
beroleh rahmat.
[205]
Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah
diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan
tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah
engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
[206]
Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap
angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih
bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.
No comments:
Post a Comment