[1]Demi Gunung Tursina;
[2]Dan demi Kitab yang tertulis dengan rapi –
[3]Pada lembaran surat yang terbuka;
[4]Dan demi “Al-Baitul Makmur”;
[5]Dan demi bumbung yang tinggi;
[6]Dan demi laut yang penuh tepu (dengan kepanasan); –
[7]Sesungguhnya azab Tuhanmu tetap berlaku; –
[8]Tidak ada sesiapapun yang dapat menolaknya; –
[9]Pada hari langit (dan segala isinya) bergegar dengan sekuat-kuatnya.
[10]Dan gunung-ganang bergerak dari tempatnya dengan cara yang luar biasa.
[11](Apabila berlaku yang demikian), maka kecelakaan dan kebinasaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan kebenaran;
[12]Iaitu orang-orang yang leka bermain-main dalam kesesatan.
[13]Pada hari mereka ditolak ke alam neraka Jahannam dengan penolakan yang sekasar-kasarnya,
[14](Dan dikatakan kepada mereka): “Inilah api neraka yang dahulu kamu mendustakannya.
[15]“Maka adakah ini sihir
juga (sebagaimana yang kamu katakan terhadap keterangan Rasul Kami
dahulu?), atau kamu tidak nampak (kenyataannya sebagaimana kamu tidak
nampak di dunia dahulu akan kebenaran Rasul Kami)?
[16]“Rasalah bakarannya;
kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak bersabar,
sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak
dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan”.
[17]Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya).
[18]Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan mereka, dan mereka dipelihara Tuhan dari azab neraka.
[19](Dan dikatakan kepada
mereka): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta
baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
[20]Mereka duduk berbaring
di atas pelamin-pelamin yang berderet; dan Kami jadikan kawan teman
mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.
[21]Dan orang-orang yang
beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman,
Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di
dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari
pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal
yang dikerjakannya.
[22]Dan (penduduk Syurga
itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan
daging dari berbagai jenis yang mereka ingini.
[23]Mereka di dalam Syurga
itu (kerana melahirkan kemesraan antara satu dengan yang lain):
berebut-rebut mengambil piala yang berisi arak yang tidak menyebabkan
timbul (dari peminumnya) perkara yang sia-sia dan tidak pula menyebabkan
(peminumnya menanggung) dosa.
[24]Dan mereka dilayani
oleh anak-anak muda lelaki yang sentiasa beredar di sekitar mereka,
(yang cantik parasnya) seolah-olah anak-anak muda itu mutiara yang
tersimpan dengan sebaik-baiknya.
[25]Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya.
[26]Mereka berkata:
“Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami –
selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah),
[27]“Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka.
[28]“Sesungguhnya kami
dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana
sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi
Yang Maha Mengasihani”.
[29]Maka hendaklah engkau
(wahai Muhammad) tetap tekun memberi peringatan (dengan ajaran-ajaran
Al-Quran yang diturunkan kepadamu, dan janganlah dihiraukan golongan
yang ingkar), kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu (yang dilimpahkanNya
kepadamu itu) bukanlah seorang pawang dan bukan pula seorang gila.
[30](Mereka menuduh Nabi
Muhammad dengan yang bukan-bukan), bahkan mereka mengatakan: “(Muhammad)
itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat kebinasaannya”.
[31]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu tuduh itu), maka
sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang menunggu bersama-sama kamu
(akan apa yang dijanjikan oleh Allah Taala)”.
[32]Adakah mereka disuruh
oleh akal fikiran mereka melemparkan tuduhan-tuduhan yang sedemikian
itu, atau sememangnya mereka suatu kaum yang melampaui batas (dalam
keingkaran dan kedegilannya)?
[33](Bukan sahaja mereka
ingkar dan degil) bahkan mereka berkata: “Dia (Muhammad) telah
mereka-reka Al-Quran itu”. (Tuduhan mereka yang demikian tidak berasas)
bahkan mereka sengaja tidak mahu beriman!
[34](Kalau tidak) maka
hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan
indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar
dakwaannya.
[35](Mengapa mereka tidak
beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya,
atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?
[36]Adakah mereka yang
mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah
orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah
mengakuinya).
[37]Adakah pada tangan
mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau
menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa
mentadbirkan segala-galanya?
[38]Adakah mereka mempunyai
tangga (untuk naik ke langit), yang dengannya mereka dapat mendengar
(apa yang diperintahkan dan ditetapkan oleh Allah? Jika ada) maka
biarlah orang mereka yang mendengar itu membawa sesuatu bukti yang
menyatakan kebenarannya.
[39]Adilkah (kamu sediakan) bagi Allah – anak-anak perempuan (yang kamu benci), dan untuk kamu – anak-anak lelaki (yang kamu sukai)?
[40]Pernahkah engkau (wahai
Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam
yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu
(sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?
[41]Adakah pada sisi mereka
(Lauh Mahfuz yang mengandungi) perkara-perkara yang ghaib, lalu mereka
menyalin (daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu)?
[42](Mereka tidak cukup
dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang buruk sahaja) bahkan mereka
hendak melakukan rancangan jahat (terhadapmu wahai Muhammad; tetapi
mereka tidak akan berjaya) kerana orang-orang yang kafir itulah yang
akan ditimpa balasan rancangan jahatnya.
[43](Apabila datangnya
balasan rancangan jahat itu maka) adakah bagi mereka Tuhan (yang dapat
menyelamatkan mereka) selain dari Allah? Maha Suci Allah dari apa yang
mereka sekutukan itu.
[44]Dan kiranya mereka
melihat sepotong besar dari langit gugur (untuk menimpa mereka), mereka
akan berkata: “(Itu adalah) awan yang bertompok – berlapis-lapis!”
[45](Kalau keingkaran dan
kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai
Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang
padanya mereka akan binasa –
[46](Iaitu) hari segala
rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat mendatangkan sebarang
faedah kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan pertolongan.
[47]Sesungguhnya
orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang
tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
[48]Dan (dengan yang
demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi
tempoh kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam
pemuliharaan serta pengawasan Kami; dan bertasbihlah dengan memuji
Tuhanmu semasa engkau bangun.
[49]Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh).
No comments:
Post a Comment