[1]Demi
angin yang menerbang dan menaburkan (debu, biji-bijian benih, dan
lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang
sesungguh-sungguhnya, –
[2]Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki), –
[3]Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya, –
[4]Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya;
[5](Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar;
[6]Dan bahawa sesungguhnya balasan amal, tetap berlaku.
[7]Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya,
[8]Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai ugama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, s.a.w).
[9]Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran).
[10]Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja,
[11](Iaitu) orang-orang yang tenggelam alam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan).
[12]Mereka bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari pembalasan itu?”
[13](Jawabnya: hari itu ialah) hari mereka diseksa (dengan dibakar) atas api neraka, –
[14](Sambil dikatakan
kepada mereka): “Rasalah azab seksa yang disediakan untuk kamu; inilah
dia yang dahulu kamu minta disegerakan kedatangannya”.
[15]Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman
Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.
[16](Keadaan mereka di
sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh
Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang
yang berbuat kebaikan.
[17]Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.
[18]Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).
[19]Dan pada harta-harta
mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang
miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada
meminta).
[20]Dan pada bumi ada
tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi
orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,
[21]Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?
[22]Dan di langit pula
terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah
(ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.
[23]Maka demi Tuhan langit
dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut
diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu
dapat berkata-kata.
[24]Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?
[25]Ketika mereka masuk
mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera
kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata
dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.
[26]Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).
[27]Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.
[28](Setelah dilihatnya
mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari
keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: “Janganlah
engkau takut (wahai Ibrahim)”. Lalu mereka memberikan berita gembira
kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.
[29](Mendengarkan berita
yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit
(kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: “Aku sudah tua, lagi
mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?”
[30]Mereka berkata:
“Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja);
Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui”.
[31]Nabi Ibrahim bertanya: “(Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?”
[32]Mereka menjawab: “Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka);
[33]“Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),
[34]“Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)”.
[35](Setelah sampai utusan
Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang
yang beriman yang tinggal di situ.
[36](Sesudah dipereksa)
maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja
yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi
Lut).
[37]Dan Kami tinggalkan di
negeri itu (timbunan batu-batu yang telah menghujani dan membinasakan
mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang
yang sedia takut kepada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[38]Dan juga pada (kisah)
Nabi Musa (terdapat dalil-dalil yang memberi keinsafan), – ketika kami
mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.
[39]Maka Firaun berpaling
ingkar dengan berdasarkan kekuasaannya sambil berkata: “(Musa itu)
adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila!”
[40]Lalu Kami (adakan
jalan) mengambil Firaun bersama-sama tenteranya, kemudian Kami humbankan
mereka ke dalam laut, sedang ia berkeadaan tercela.
[41]Dan juga pada (kisah)
kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar), – ketika kami
hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang
kebaikan; –
[42]Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan menjadikannya (hancur) seperti debu.
[43]Dan juga pada (kisah)
kaum Thamud (terdapat perkara-perkara yang menjadi pelajaran) – ketika
dikatakan kepada mereka: “Bersenang-senanglah kamu hingga ke suatu waktu
(yang termaklum)!”
[44]Maka mereka membesarkan
diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan
tidak dapat melarikan diri), sedang mereka melihatnya.
[45]Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.
[46]Dan kaum Nuh (Kami juga telah binasakan) sebelum itu; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik – derhaka.
[47]Dan langit itu Kami
dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan
sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.
[48]Dan bumi pula Kami hamparkan (untuk kemudahan kamu mendiaminya); maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.
[49]Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).
[50](Katakanlah wahai
Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah
(dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada
kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.
[51]“Dan janganlah kamu
adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam kepercayaan kamu),
sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran
yang nyata”.
[52]Demikianlah (keadaan
tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaummu wahai
Muhammad) – tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum
yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: “Dia adalah
seorang ahli sihir, atau seorang gila”.
[53]Adakah mereka semua
telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk melemparkan
tuduhan itu ? (Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian), bahkan
mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).
[54]Oleh itu, berpalinglah
(wahai Muhammad) daripada mereka (yang menentangmu itu dan janganlah
dihiraukan), kerana engkau tidak akan disalahkan (setelah engkau memberi
amaran kepada mereka).
[55]Dan tetap tekunlah
engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu
mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
[56]Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
[57]Aku tidak sekali-kali
menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak
menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.
[58]Sesungguhnya Allah Dia
lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah
sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha
Kuat Kukuh kekuasaanNya.
[59](Setelah ternyata
hakikat yang demikian), maka sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim
(yang menentang ajaran Nabi Muhammad) itu ada bahagiannya (dari azab
seksa) seperti bahagian rakan-rakan mereka (kaum kafir yang telah lalu).
Oleh itu, janganlah mereka meminta kepadaKu menyegerakan kedatangannya.
[60]Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang kafir pada hari yang telah dijanjikan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment