[1]
Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah
perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang
ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang
haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya
itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu
dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia
kehendaki.
[2]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat
sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan
yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke
Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu,
dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang
bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan
perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di
Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah
kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum
kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu –
mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk
membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan
pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada
Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa
yang melanggar perintahNya).
[3]
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak
disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk
semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari
Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati
jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati
dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis
nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga)
kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian
itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus
asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat
perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan
gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar
kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan
Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam
itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana
kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak
cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana
sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[4]
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang
dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi
kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap
oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu)
mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta
melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan
Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk
kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya
berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari
memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan
hisabNya”
[5]
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat
serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan
Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah
halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan
(dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga
kehormatannya – di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga
perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang
yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka
maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan
berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi
perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat
Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang
baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
[6]
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan
sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu
basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan
sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu
meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah
dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau
dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang
air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk
berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu
yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan
tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu
kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan)
kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu
bersyukur.
[7]
Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta
ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu
berkata: “Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan
RasulNya)” Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[8]
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum
itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir
kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[9]
Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
[10]
Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran), merekalah ahli neraka.
[11]
Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah
dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu)
hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan
tangan mereka daripada (menyerang) kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu
kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah
orang-orang yang beriman berserah diri.
[12]
Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani
Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya),
dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk
memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka):
“Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi
sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat,
dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu
mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan
sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan
kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan
ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur
ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah
ia dari jalan yang betul”
[13]
Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami
laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu
menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada
di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan
maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian
dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai
Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan,
kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu,
maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah
dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang
berusaha supaya baik amalannya.
[14]
Dan di antara orang-orang yang berkata:” Bahawa kami ini orang-orang
Nasrani”, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka
juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan
mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian
di antara mereka, sampai ke hari kiamat; dan Allah akan memberitahu
mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.
[15]
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami
(Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari
(keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari
Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak
perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu
cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran)
yang jelas nyata keterangannya.
[16]
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta
kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya)
Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman)
yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan
menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
[17]
Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah
ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): “(Dakwaan itu
tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah
sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta
ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?” Dan (ingatlah)
bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada
di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan
(ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[18]
Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: “Kami adalah anak-anak Allah dan
yang amat disayangiNya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kalau betul
demikian), maka mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu?
(Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan) bahkan kamu
semuanya adalah manusia biasa di antara manusia-manusia lain yang
diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
aturan serta hukum SyariatNya), demikian juga Ia menyeksa sesiapa yang
dikehendakiNya. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan
langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dan kepada
Allah jualah tempat kembali”
[19]
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami
(Muhammad, s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam)
ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu
tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): “Tidak datang kepada
kami seorang (Rasul) pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran
(yang mengingatkan kami)”. Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu
seorang (rasul) pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran. Dan
(ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[20]
Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada
kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada
kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan
Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun
dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak
pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa
itu)”.
[21]
(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci
(Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya);
dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka
kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.
[22]
Mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang
gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga
mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka
sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”.
[23]
Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi
perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah
kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila
kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan
kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak
menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman”
[24]
Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak
akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di
dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah
mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.
[25]
Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku
tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku
(Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu”.
[26]
Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka
memasukinya – selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan
bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai);
maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”.
[27]
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang
anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu
ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk
mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di
antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil).
Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab:
“Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
[28]
“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk
membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu
untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang
mentadbirkan sekalian alam;
[29]
“Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa
(membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari
ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim”.
[30]
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh
saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan
orang-orang yang rugi.
[31]
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya)
mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana
cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku!
Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung
gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu
menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.
[32]
Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan
atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia
dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana)
melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh
manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang
manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia
semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul
kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya
kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang
yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.
[33]
Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta
melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh
(kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang
(kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki
mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri
(kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian
itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak
mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
[34]
Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya,
(mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[35]
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah
yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan
meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk
menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
[36]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari)
mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi
bersamanya, untuk mereka menjadikannya penebus diri mereka dari azab
seksa hari kiamat, nescaya tebusan itu tidak akan diterima dari mereka;
dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[37]
Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal
mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka
azab seksa yang tetap kekal.
[38]
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka
(hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa
yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari
Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[39]
Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu
dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya;
kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[40]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit
dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan
hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu.
[41]
Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan
orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari
orang-orang yang berkata dengan mulutnya: “Kami tetap beriman”, padahal
hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka
orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka
sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi)
yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda
perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang
sebenar. Mereka berkata: “Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini
maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka
jagalah diri baik-baik”. Dan sesiapa yang dikehendaki Allah
kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu
apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang
Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di
dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.
[42]
Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan
segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang
kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah
diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau
berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu
sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka
dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil.
[43]
Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum
kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum
Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan
(sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.
[44]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi
petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang
menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi,
dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan
hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan
hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah
menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu
janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu
(dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu);
dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga
yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan
dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah
orang-orang kafir.
[45]
Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa
jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung
dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi
dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi
sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa
baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[46]
Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka
(Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan
sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang
mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil
mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat,
serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang
(hendak) bertaqwa.
[47]
Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum
dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah
orang-orang yang fasik.
[48]
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan
membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang
telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.
Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut
kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah
datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara
kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib
diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia
menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi
Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan
kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman
dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya,
maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
[49]
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa
nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari
sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika
mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah,
hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari
dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu
adalah orang-orang yang fasik.
[50]
Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum
jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada
sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.
[51]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang
Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka
menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara
kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah
dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan
petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
[52]
Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit
dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi
dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa
bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)”. Mudah-mudahan
Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau
mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang
munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang
telah mereka sembunyikan dalam hatinya.
[53]
Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman
berkata: “Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama
Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya, bahawa mereka benar-benar
menyertai dan menolong kamu?” Telah gugurlah amal-amal mereka, lalu
menjadilah mereka: orang-orang yang rugi.
[54]
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah
dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum
yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula
bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku
tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan
bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada
celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah
yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha
Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.
[55]
Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta
orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan
zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
[56]
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang
beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya
golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.
[57]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang
yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan – dari
orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang
kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada
Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
[58]
Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka
menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang
demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.
[59]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan
menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman
kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang
diturunkan sebelum itu, dan kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah
orang orang yang fasik”.
[60]
Katakanlah: “Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk
balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang
yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan
di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut. Mereka
inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan
yang betul”.
[61]
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi atau munafik itu) datang kepada
kamu, mereka berkata: “Kami telah beriman”. Padahal sesungguhnya mereka
itu masuk menemui kamu dengan kekufurannya, dan sesungguhnya mereka
keluar (dari sisi kamu) dengan kekufurannya juga; dan (hendaklah mereka
ingat), Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.
[62]
Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan
dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya
amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.
[63]
Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendita-pendita mereka
melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan
dari memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka
telah kerjakan.
[64]
Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil –
kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat
dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan
Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia
belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki; dan demi
sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan
menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami
tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari
kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah
memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka
bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan
kerosakan.
[65]
Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan
hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan
masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
[66]
Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan
perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan
kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan
(yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka
(bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari
mereka, buruk keji amal perbuatannya.
[67]
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari
Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan
semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan
Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya
Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.
[68]
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu ugama
sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang
membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan
kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran)” Dan demi sesungguhnya, apa
yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan
menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu
janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.
[69]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan
orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani – sesiapa sahaja di antara
mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi
Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh,
maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[70]
Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani
Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul.
(Tetapi) tiap-tiap kali datang – seorang Rasul kepada mereka dengan
membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan
sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.
[71]
Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana,
lalu mereka membutakan mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah
menerima taubat mereka, setelah itu kebanyakan dari mereka membutakan
mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal Allah Maha Melihat akan apa
yang mereka lakukan.
[72]
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya
Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:”
Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya
sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka
sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya
ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang
berlaku zalim”.
[73]
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya
Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak
berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang
kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.
[74]
Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon
keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang
kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha
pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[75]
Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah
terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan
yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu
juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu)
keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka),
kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka
dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).
[76]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain
dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak
juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi
Maha Mengetahui”.
[77]
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu
secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu
kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia,
dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”
[78]
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam
Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni
Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu
menceroboh.
[79]
Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan
mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya
amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.
[80]
Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik)
teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka
sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan
Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab
(neraka).
[81]
Sekirany mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang
diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang
(musyrik) sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah
orang-orang fasik.
[82]
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras
sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang
Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati
orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang
beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah
orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka
pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak
berlaku sombong.
[83]
Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah
(Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata
disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran
(Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman
(kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah
kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui
kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
[84]
“Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada
kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan
sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam
Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh”
[85]
Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman
yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan)
Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap
kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang
yang berusaha berbuat kebaikan.
[86]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.
[87]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang
baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah
kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu);
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui
batas.
[88]
Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu
yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja
kamu beriman.
[89]
Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak
disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya
dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.
Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari
jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga
kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang
hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang
tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah
denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah –
peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu
ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.
[90]
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan
pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah,
adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu
hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
[91]
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan
dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu
memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan
sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan
perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
[92]
Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan
awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh
itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu),
maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah
menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.
[93]
Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang
soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa
dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap
bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat
kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalannya.
[94]
Wahai orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji
kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang
mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman
lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa yang takut
kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat orang. Oleh
itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya
azab yang tidak terperi sakitnya.
[95]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh
binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di
antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya
(menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan
yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di
antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih
dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran
kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak
bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia
merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah
lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan
menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas
dengan azab seksa.
[96]
Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati
dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan
juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu
memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu,
bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.
[97]
Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan
manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga
bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalong-kalong
binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa
sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di
bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu.
[98]
Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada
orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihani (bagi orang yang mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya).
[99]
Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada
menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa
mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
[100]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik,
walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah
kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu
berjaya.
[101]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi)
perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan
kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran,
tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari
(kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di
dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.
[102]
Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada
Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka
menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan,
mereka tidak menerimanya).
[103]
Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa’ibah,
tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir
itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan
mereka tidak menggunakan akal fikirannya
[104]
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang
telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang
menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami
dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut
juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak
pula mendapat hidayah petunjuk?
[105]
Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan
sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan
mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat
hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan
laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian
Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.
[106]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu
hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu
disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang lain
(yang bukan seugama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi
lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu
tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah
selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama
Allah (dengan berkata: “Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah kami
untuk mendapat sesuatu harta benda, walaupun orang itu dari kaum
kerabat, dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui)
sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika
kami menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan
orang-orang yang berdosa”.
[107]
Kemudian jika didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah) ada
melakukan dosa (kerana berdusta atau mengkhianati dalam perkara yang
mereka menjadi saksi itu), maka hendaklah dua orang yang lain
menggantikan tempat mereka dari waris-waris si mati lebih dekat, yang
lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan yang sebenarnya), kemudian
mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata): “Demi
sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada persaksian
kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami tidak melampaui
batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah kami dengan itu
termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.
[108]
(Hukum-hukum dan peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah jalan
yang lebih dekat untuk mereka memberi keterangan persaksian menurut
cara yang sebenarnya, atau untuk mereka merasa takut akan ditolak sumpah
mereka (kepada waris-waris si mati) sesudah mereka bersumpah (yang akan
mendedahkan kecurangan mereka). Oleh itu bertaqwalah kepada Allah, dan
dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak
memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
[109]
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya
lalu bertanya: “Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh
umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?”
Rasul-rasul itu menjawab: “Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah
tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana
sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara
yang ghaib”
[110]
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah
nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan
Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia
(semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan
(ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat
pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika
engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian
engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku;
dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak
dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang
yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani
Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan
membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di
antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata”
[111]
Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin
(sahabat-sahabat karib nabi Isa): “Berimanlah kamu kepadaku dan kepada
RasulKu!” Mereka menjawab: “Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa
sesungguhnya kami orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)”
[112]
Dan (ingatlah) ketika orang orang Hawariyyiin berkata: “Wahai Isa Ibni
Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu
hidangan dari langit?” Nabi Isa menjawab: “Bertaqwalah kamu kepada Allah
jika benar kamu orang-orang yang beriman”.
[113]
Mereka berkata: “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk
mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya
kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata
benar kepada kami, dan supaya menjadilah kami orang-orang yang
menyaksikannya sendiri”
[114]
Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya
Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari
langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari
ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu
tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan
kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah
sebaik-baik Pemberi rezeki”.
[115]
Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu
berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar
sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya
dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun dari
sekalian makhluk”.
[116]
Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah
yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan
selain dari Allah? ‘ ” Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai
Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak
(mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah
mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku
tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau
jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
[117]
“Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau
perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah,
Tuhanku dan Tuhan kamu ‘ dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka
(dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku
berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan
tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan
Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.
[118]
“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya)
kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau
mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana”
[119]
Allah berfirman: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang
benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari
kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda
akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat
besar”.
[120]
Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada
padanya; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
No comments:
Post a Comment