[1]Maha
berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad),
untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.
[2]Tuhan yang menguasai
pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak
mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah yang
menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk
itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.
[3]Dan mereka (yang kafir)
mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, yang
tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu diciptakan (oleh
penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi); dan benda-benda itu
pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah
untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan,
atau pun membangkitkan hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati.
[4]Dan orang-orang yang kafir
itu berkata: “(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang
direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang
lain”. Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah
mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.
[5]Dan mereka berkata lagi:
“Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang
diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis
itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)”.
[6]Katakanlah (Wahai
Muhammad): “Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala
rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[7]Dan mereka pula berkata:
“Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti
manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya
malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya
(sebagai saksi yang membenarkannya).
[8]“Atau diberikan
perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun
untuk ia makan hasilnya”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula
(kepada orang-orang yang beriman): “Sebenarnya kamu hanyalah menurut
seorang yang tidak siuman”.
[9]Lihatlah (Wahai Muhammad)
bagaimana mereka membuat untukmu berbagai misal perbandingan (yang
bukan-bukan), dengan sebab itu sesatlah mereka, sehingga mereka tidak
mendapat jalan petunjuk.
[10]Maha Berkat Tuhan yang
jika Ia kehendaki tentulah Ia akan mengadakan untukmu (di dunia ini)
sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka katakan itu, iaitu
syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta
mengadakan untukmu istana-istana (yang tersergam indah).
[11](Mereka bukan sahaja
mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat; dan Kami
telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang
menjulang-julang.
[12]Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh.
[13]Dan apabila mereka
dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan
mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan
(yang melepaskan dari azab itu).
[14](Lalu dikatakan kepada
mereka): “Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis
kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana
azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya)”.
[15]Bertanyalah (kepada
mereka): “Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau
Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?”
Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat
kembali.
[16]Mereka beroleh di dalam
Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya.
Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi
yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).
[17]Dan (ingatkanlah) hari
Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka
sembah yang lain dari Allah, lalu Ia bertanya (kepada makhluk-makhluk
yang telah dipuja dan disembah itu): “Kamukah yang menyesatkan
hamba-hambaKu itu atau mereka yang sesat jalan?”
[18]Mereka menjawab: “Maha
Suci Engkau (wahai Tuhan kami)! Sudah tentu tidak patut bagi kami
mengambil sesiapa pun yang lain daripadaMu sebagai pelindung yang
disembah (dan tidak patut juga kami menyeru orang menyembah kami);
tetapi engkau (wahai Tuhan kami) telah melimpahkan kemewahan kepada
mereka dan kepada datuk neneknya sehingga mereka lalai dan cuaikan
ajaran ugamaMu, dan menjadilah mereka kaum yang binasa”.
[19]Maka (dikatakan pula
kepada golongan itu): “Sesungguhnya mereka (yang kamu puja dan sembah)
itu telah mendustakan dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan
kamu). Oleh itu, kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau
beroleh sebarang pertolongan”. Dan sesiapa yang berlaku zalim di antara
kamu (wahai umat manusia, dengan kekufuran atau maksiat), Kami akan
merasakannya azab seksa yang besar.
[20]Dan Kami tidak mengutus
Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu
makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian
dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya
ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan
(ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan
makhluk-makhlukNya).
[21]Dan berkatalah pula
orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: “Mengapa tidak
diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?”
Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri
mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang
sebesar-besarnya.
[22](Ingatkanlah) hari
mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira
bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan
berkata: “Semoga kita jauh – dijauhkan (dari sebarang keadaan yang
buruk)”.
[23]Dan Kami tujukan
perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang
mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang
berterbangan.
[24]Ahli-ahli Syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat rehatnya.
[25]Dan (sebutkanlah
perihal) hari segala langit pecah-belah (disertakan) dengan kumpulan
awan (yang berisi malaikat), dan (pada hari yang tersebut) diturunkan
malaikat itu dengan cara berpasuk-pasukan.
[26]Kuasa pemerintahan yang
sebenar-benarnya pada hari itu adalah tertentu bagi Allah Yang Maha
melimpah rahmatNya, dan adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya
kepada orang-orang kafir.
[27]Dan (ingatkanlah)
perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya
(marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku
(di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?
[28]“Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!
[29]“Sesungguhnya dia telah
menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia
disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan
manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”.
[30]Dan berkatalah Rasul:
“Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu
perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.
[31]Dan demikianlah Kami
jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang
bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke
jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap
mereka).
[32]Dan orang-orang yang
kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad
semuanya sekali (dengan sekaligus)?” Al-Quran diturunkan dengan cara
(beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai
Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur
satu persatu.
[33]Dan mereka tidak
membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu)
melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang
sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).
[34]Orang-orang yang akan
diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan tertiarap) atas
mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat
jalannya.
[35]Dan sesungguhnya Kami
telah berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa, dan Kami lantik saudaranya
Nabi Harun, sebagai menteri bersamanya.
[36]Lalu Kami perintahkan:
“Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan
Kami”; maka (kesudahannya) Kami binasakan kaum itu sehancur-hancurnya.
[37]Dan (demikian juga)
kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami
tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi
contoh) bagi umat manusia; dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim;
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[38]Dan (demikian juga Kami
telah binasakan) Aad dan Thamud serta Ashaabur-Rassyi dan banyak lagi
dalam zaman-zaman di antara masa yang tersebut itu.
[39]Dan masing-masing,
telah Kami berikan kepadanya contoh tauladan yang mendatangkan iktibar,
dan masing-masing telah Kami hancurkan sehancur-hancurnya.
[40]Dan demi sesungguhnya,
mereka (yang menentangmu wahai Muhammad) telah melalui bandar yang telah
dihujani (dengan) azab yang buruk, maka (mengapa mereka masih
berdegil), tidakkah mereka selalu dapat menyaksikannya? (Mereka tidak
fikirkan yang demikian itu satu balasan kufur) bahkan mereka adalah
orang-orang yang tidak ingatkan adanya kebangkitan hidup semula (untuk
menerima balasan).
[41]Dan apabila mereka
melihatmu (wahai Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan
(sambil mereka berkata): “Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai
RasulNya?
[42]“Sebenarnya ia
hampir-hampir dapat menyesatkan kami dari tuhan-tuhan kami, jika
tidaklah kerana kami tetap teguh menyembahnya”. Dan mereka akan
mengetahui kelak ketika mereka melihat azab seksa: siapakah yang
sebenar-benarnya sesat jalannya.
[43]Nampakkah (wahai
Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan
yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang
menjaganya jangan sesat?
[44]Atau adakah engkau
menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang
engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang
ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.
[45]Tidakkah engkau melihat
kekuasaan Tuhanmu? – bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu
terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia
menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami
jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang
itu;
[46]Kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur.
[47]Dan Dia lah Tuhan yang
menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk
berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.
[48]Dan Dia lah Tuhan yang
menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya,
dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci,
[49]Untuk Kami hidupkan
dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada
sebahagian dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang
banyak dan manusia yang ramai.
[50]Dan demi sesungguhnya!
Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara
manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta
bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan
berlaku kufur.
[51]Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran.
[52]Oleh itu, janganlah
engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan
berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan
perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.
[53]Dan Dia lah Tuhan yang
telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan
dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan antara
kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran
keduanya.
[54]Dan Dia lah Tuhan yang
menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka
dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa
(menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).
[55]Dan mereka (yang
musyrik) menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak memberi
manfaat kepada mereka (yang menyembahnya) dan tidak pula mendatangkan
mudarat kepada mereka (yang tidak menyembahnya); dan orang yang kafir
selalu menjadi pembantu (bagi golongannya yang kafir) untuk menderhaka
kepada tuhannya.
[56]Dan tidaklah Kami
mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira
(kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar).
[57]Katakanlah: “Aku tidak
meminta kepada kamu sebarang balasan bagi apa yang aku sampaikan kepada
kamu, selain daripada berimannya seseorang yang mahu mendapatkan jalan
sampainya kepada keredaan Allah”.
[58]Dan berserahlah engkau
kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah
dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan
dosa-dosa hambaNya;
[59]Tuhan yang menciptakan
langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam
masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang
Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya.
[60]Dan apabila dikatakan
kepada mereka (yang musyrik itu): “Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan
Yang Maha Pemurah)!” Mereka bertanya: “Dan siapakah Ar-Rahman itu?
Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?” Dan
perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar.
[61]Maha Berkat Tuhan yang
telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan
menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.
[62]Dan Dia lah yang
menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu
beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan
nikmat-nikmatNya itu).
[63]Dan hamba-hamba (Allah)
Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan
sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab,
hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang
selamat dari perkara yang tidak diingini;
[64]Dan mereka (yang
diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan
mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,
[65]Dan juga mereka yang
berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka
Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan
[66]Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk”;
[67]Dan juga mereka (yang
diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah
melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan
mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan
bakhil) itu.
[68]Dan juga mereka yang
tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh
jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak
(yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa
melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
[69]Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, –
[70]Kecuali orang yang
bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang
itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan
kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[71]Dan sesiapa yang
bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia
bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;
[72]Dan mereka (yang
diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri
tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila
mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan
cara membersihkan diri daripadanya.
[73]Dan juga mereka (yang
diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan
dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk
mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.
[74]Dan juga mereka (yang
diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai
Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat
keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan
jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
[75]Mereka itu semuanya
akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan
kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan
selamat di dalamnya,
[76]Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.
[77]Katakanlah (wahai
Muhammad kepada golongan yang ingkar): “Tuhanku tidak akan menghargai
kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah
mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang
pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun
menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu
balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu”.
No comments:
Post a Comment