[1]
Ini ialah satu “surah” yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan
hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang
nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).
[2]
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat
tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu
dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam
menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan
hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan
kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
[3]
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan
perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang
berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan
oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang
demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
[4]
Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang
terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang
saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu
menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah
orang-orang yang fasik; –
[5]
Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang
tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[6]
Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada
saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri,
maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu
hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa
sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; –
[7]
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.
[8]
Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu
hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya
(yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; –
[9]
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah
akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.
[10]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya
kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima
taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami
kesusahan yang sukar diatasi).
[11]
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah
segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang
dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang
di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang
dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam
menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia
dan di akhirat).
[12]
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman –
lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang)
mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.
[13]
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan
tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi,
maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
[14]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya
kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa
yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; –
[15]
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan
lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu
tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula
menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah
perkara yang besar dosanya.
[16]
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah
layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari
mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta
besar yang mengejutkan”.
[17]
Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi
perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu
orang-orang yang beriman.
[18]
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk
dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa
yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah)
Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang
demikian).
[20]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya
kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah
belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).
[21]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah
Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka
sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya)
melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah
tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya
tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya
selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah
Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui
[22]
Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari
kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum
kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada
jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan
kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan
dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
[23]
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang
terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang
kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di
akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar;
[24]
Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi
terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.
[25]
Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab
seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui
bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya.
[26]
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki
yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang
jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk
lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk
perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari
(tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka
(yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan
yang mulia.
[27]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana
rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin
serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik
bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan
itu).
[28]
Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin)
maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan
jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur
balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[29]
Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin)
mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu
padanya; dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan
apa yang kamu sembunyikan.
[30]
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman
supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram),
dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi
mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang
mereka kerjakan.
[31]
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka,
atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba
mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak
berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti
lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki
untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka;
dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang
beriman, supaya kamu berjaya.
[32]
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan
kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan
perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada
mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan
limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
[33]
Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah
mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada
mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan
perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan
dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu
melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada
sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat
demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah
dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba
perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga
kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan
sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah – sesudah paksaan
yang dilakukan kepada mereka – Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[34]
Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat
keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh
tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu
sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu)
bertaqwa.
[35]
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk
Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi
sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula
(jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu
dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu)
pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan
bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada
matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan
cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api;
(sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang
berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur
hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan
untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[36]
(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama
sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya
dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya;
di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi
dan petang.
[37]
(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak
dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta
mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka
takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
[38]
(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan
sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka
lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada
sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.
[39]
Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak
sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga,
(lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu,
tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan
orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang
disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu
Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah)
Allah Amat segera hitungan hisabNya.
[40]
Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang
yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh
ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah
keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis – apabila orang itu mengeluarkan
tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah)
sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya
mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang
cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).
[41]
Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha
Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit
dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa?
Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara
mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha
Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.
[42]
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk).
[43]
Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak
perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian
Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat
hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu
dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia
menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan
menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang
terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar
dan menghilangkan pandangan.
[44]
Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang
demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi
orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.
[45]
Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka
sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di
antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan
empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari
yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[46]
Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan
(hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.
[47]
Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus
ialah) mereka yang berkata: “Kami beriman kepada Allah dan kepada
RasulNya serta kami taat”; kemudian sepuak dari mereka berpaling
(membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan
(kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang
sebenarnya beriman.
[48]
Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab
Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di
antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling
ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).
[49]
Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka
segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya).
[50]
(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka
mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap
kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan
RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak
sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang
yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).
[51]
Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman
ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya
menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka
berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang
beroleh kejayaan.
[52]
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar
perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah,
maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.
[53]
Dan mereka (yang munafik) bersumpah dengan nama Allah, dengan
sebebar-benar sumpahnya: bahawa jika engkau (wahai Muhammad) perintahkan
mereka (keluar berjihad), tentulah mereka akan keluar. Katakanlah: ”
Janganlah kamu bersumpah, (taat kamu itu) taat yang terkenal (dustanya).
Sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu
lakukan”.
[54]
Katakanlah lagi (kepada mereka): ” Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah
kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah
bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang
ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang
ditugaskan kepada kamu. Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu
beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah
bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan
yang terang nyata”.
[55]
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari
kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka
khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana
Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah
yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka
(ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan
menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan
(dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak
mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang
kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
[56]
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat.
[57]
Janganlah engkau menyangka orang-orang kafir itu akan dapat melemahkan
kekuasaan Allah (daripada menimpakan azab kepada mereka) di dunia,
sedang tempat kembali mereka ialah neraka; dan sesungguhnya neraka itu
adalah seburuk-buruk tempat kembali.
[58]
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan
orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada
kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum
sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan
tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu
(yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah
bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka)
orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing
sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah
Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan
hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.
[59]
Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah
mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup
umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan
kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[60]
Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak
mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka
menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan
perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya
(dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi
mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[61]
Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang
tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing
tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia
berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk
orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau
di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu
yang lelaki, atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah
bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu
(sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di
rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai
kuncinya, atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi
kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke
mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang
seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi
baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan
hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.
[62]
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang
beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut
bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan
perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu
sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang
meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman
kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk
pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa
yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah
untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[63]
Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu
seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi)
secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang
mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka
ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.
[64]
Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di
langit dan di bumi. Sesungguhnya Ia mengetahui keadaan yang kamu berada
padanya (wahai umat manusia); dan pada hari umat manusia itu kembali
kepadaNya, maka Ia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka
kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap
sesuatu.
No comments:
Post a Comment