[1]
Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.
[2]
Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu,
tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan
tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang
dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka
sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
[3]
Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung
dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia
menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.
[4]
Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa
yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan
memimpinnya kepada azab neraka.
[5]
Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang
kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah
kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah
menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian
dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan
kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang
demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami);
dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu)
apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya;
kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu
dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu)
ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan
ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia
tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan
(ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian
apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan
tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta
ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
[6]
(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya
Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan
sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan
Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[7]
Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada
sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan
(menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.
[8]
Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang
berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan,
dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan
mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran;
[9]
Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh
sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari jalan ugama Allah; ia
akan beroleh kehinaan di dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang
membakar pada hari kiamat kelak;
[10]
(Dengan dikatakan kepadanya): “Azab yang demikian ini ialah disebabkan
perbuatan tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali
berlaku zalim kepada hamba-hambaNya”.
[11]
Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan
pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah
hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan,
berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu)
rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.
[12]
Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang
tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan
kepadanya; itulah kesesatan yang jauh terpesong.
[13]
Ia menyeru dan menyembah makhluk yang – dengan perbuatan demikian –
mudaratnya lebih dekat dari manfaat yang diharapkannya; demi
sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan seburuk-buruk sahabat karib
ialah makhluk yang diseru dan disembahnya itu.
[14]
Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal
soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
sesungguhnya Allah melakukan apa yang ditentukanNya.
[15]
Sesiapa yang menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan menolong Nabi
Muhammad dalam dunia ini dan di akhirat kelak, maka hendaklah ia
menghulurkan tali (serta mengikatnya) di bumbong rumahnya, kemudian
hendaklah ia menjerut lehernya (supaya ia mati tercekek); dalam pada itu
hendaklah ia memikirkan lebih dahulu, adakah tipu dayanya itu dapat
menghapuskan sebab-sebab yang menimbulkan kemarahannya?
[16]
Dan demikianlah pula Kami menurunkan Al-Quran itu sebagai ayat-ayat
keterangan yang jelas nyata; dan sesungguhnya Allah memberi hidayah
petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan dan
undang-undangNya).
[17]
Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan
orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi,
serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya
di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa
Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[18]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi
tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan
bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan
binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula
(di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya
dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka
ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya
Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.
[19]
Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang
Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka
pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas
yang menggelegak,
[20]
Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka.
[21]
Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka.
[22]
Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka
menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan:
“Rasalah kamu azab seksa yang membakar!”
[23]
Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal
soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka
dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian
mereka di situ dari sutera.
[24]
Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.
[25]
Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi
manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid
Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh
umat manusia (yang beriman) – sama ada yang tinggal menetap di situ atau
yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ
sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan
merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.
[26]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim
tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya):
“Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah
rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang
berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).
[27]
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya
mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan
menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai
jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
[28]
“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah
kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari
yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan
binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian
makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah
makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
[29]
“Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka
menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah
(Kaabah) yang tua sejarahnya itu”.
[30]
Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum
Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan
dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan
kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang
disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang
dusta, –
[31]
(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta
tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang
mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia
jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin
ke tempat yang jauh (yang membinasakan).
[32]
Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar
ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya
perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
[33]
Kamu beroleh berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu
hingga ke suatu masa yang tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian
waktu menyembelihnya ketika sampai di tanah haram Baitullah yang tua
sejarahnya itu.
[34]
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau
lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan
pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih
itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah
kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat –
[35]
Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah
hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan
yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta
orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan
kepadanya.
[36]
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu)
sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang
tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa
menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia
tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan
berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan
yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan
menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
[37]
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan
sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas
yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan
binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana
mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan
balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya
baik amalnya.
[38]
Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah
tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.
[39]
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh
golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan
sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai
kemenangan).
[40]
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak
berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata
kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah
tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang
lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja
(kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga
masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah
banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang
menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha
Kuasa; –
[41]
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan
memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi
zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari
melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah
jualah kesudahan segala urusan.
[42]
Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka
(yang demikian tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum
Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah
juga mendustakan Rasul masing-masing;
[43]
Dan (demikian juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut;
[44]
Dan juga penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku
memberi tempoh kepada orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan
mereka dengan azab seksa. Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana
buruknya kesan kemurkaanKu.
[45]
Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab
kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan
bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam
(telah kosong, ditinggalkan).
[46]
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya –
dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang
yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga
yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka
mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya
bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati
yang ada di dalam dada.
[47]
Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan
azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan
(katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab
di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.
[48]
Dan bukan sedikit negeri-negeri yang Aku beri tempoh, sedang penduduknya
berlaku zalim; kemudian Aku menimpakannya dengan azab seksa; dan
(ingatlah) kepada Akulah tempat kembali.
[49]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia, aku tidak lain
hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang menjelaskan
keterangan-keterangan kepada kamu”.
[50]
Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
[51]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.
[52]
Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi
melainkan apabila ia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada ugama
Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai
usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera
menghapuskan apa yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah
menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.
[53]
(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu
sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur
ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan
sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan
yang jauh dari kebenaran.
[54]
Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa
ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman
kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan
sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan
yang lurus.
[55]
Dan orang-orang kafir tetap di dalam keraguan terhadap Al-Quran hingga
datang kepada mereka saat kiamat secara mengejut, atau datang kepada
mereka azab hari yang tidak ada kebaikan untuk mereka.
[56]
Kuasa pemerintahan pada hari kiamat itu tertentu bagi Allah. Ia akan
menghukum di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal
soleh ditempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat dan
kesenangan;
[57]
Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh azab seksa yang menghina.
[58]
Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka
terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka
limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah
sebaik-baik pemberi limpah kurnia.
[59]
Sudah tentu Allah akan memasukkan mereka (yang tersebut itu) ke tempat
yang mereka sukai (Syurga), dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Penyabar.
[60]
Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa
yang membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya,
kemudian ia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya.
(Dalam pada itu ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha
Pengampun.
[61]
(Pertolongan yang dijanjikan Allah tetap berlaku) kerana Allah berkuasa
menukar gantikan sesuatu keadaan sebagaimana kuasaNya memasukkan malam
pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti); dan
(ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[62]
Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana
bahawasanya Allah, Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan
bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah itulah yang nyata
palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi
keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
[63]
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menurunkan hujan dari langit,
lalu menjadilah bumi ini hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya
Allah Maha Halus serta lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha
Mendalam pengetahuanNya (akan hal-ehwal sekalian makhlukNya).
[64]
Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Dan
sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[65]
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di
bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar
di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh
menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah
belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.
[66]
Dan Dia lah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia mematikan kamu, kemudian
Ia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak
bersyukur.
[67]
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka
ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain
membantahmu dalam urusan syariaatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat
manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada
di atas jalan yang lurus.
[68]
Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: “Allah Amat” mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[69]
“Allah akan menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya”.
[70]
Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala
yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada
tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah
mudah bagi Allah.
[71]
Dan mereka menyembah yang lain dari Allah iaitu benda-benda yang Allah
tidak menurunkan sebarang keterangan membenarkannya, dan yang mereka
tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya dan (ingatlah) tiadalah
bagi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syirik) itu sesiapapun
yang dapat memberikan pertolongan (di dunia dan di akhirat).
[72]
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata,
engkau akan dapat melihat pada muka orang-orang yang kafir itu tanda
marah dan benci, hampir-hampir mereka hendak menerkam dan menyerang
orang-orang yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Katakanlah
(wahai Muhammad): “Jika demikian, mahukah, aku khabarkan kepada kamu:
yang lebih buruk lagi daripada apa yang telah menyebabkan kemarahan kamu
itu? Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang
yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali! ”
[73]
Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka
dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang
kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan
dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai
untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka,
mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah
belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang
diminta (daripada menunaikannya).
[74]
Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut
penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkanNya);
sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
[75]
Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[76]
Ia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di
belakang mereka; dan kepada Allah jualah kembalinya segala urusan.
[77]
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan
sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan
mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu
berjaya (di dunia dan di akhirat).
[78]
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya
Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia
tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam
perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang
Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah
(Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan
supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan
kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu,
dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu
kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian
sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi
pertolongan.
No comments:
Post a Comment