[1]
Taa’ Haa.
[2]
Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
[3]
Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah. Allah
[4]
(Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
[5]
Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
[6]
Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi
serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah
basah di perut bumi.
[7]
Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang
demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala
rahsia dan segala yang tersembunyi.
[8]
Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
[9]
Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?
[10]
Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya:
“Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa
kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu:
penunjuk jalan.
[11]
Maka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: “Wahai Musa! ” –
[12]
“Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci.
[13]
“Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.
[14]
“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu,
sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
[15]
“Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang – yang Aku sengaja
sembunyikan masa datangnya – supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang
ia usahakan.
[16]
“Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang
tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan
itu engkau akan binasa.
[17]
“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?”
[18]
Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa,
berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada
kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”.
[19]
Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!”
[20]
Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.
[21]
Allah berfirman: “Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.
[22]
“Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih
bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.
[23]
“(Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan
kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.
[24]
“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas”.
[25]
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;
[26]
“Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;
[27]
“Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,
[28]
“Supaya mereka faham perkataanku;
[29]
“Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.
[30]
“Iaitu Harun saudaraku;
[31]
“Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,
[32]
“Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,
[33]
“Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,
[34]
“Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;
[35]
“Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami”.
[36]
Allah berfirman: “Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!
[37]
“Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.
[38]
“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
[39]
“Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke
laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya
dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari
kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau
dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
[40]
“Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada
orang-orang yang memungutmu:” Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang
yang boleh memeliharanya?” Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu
kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita
kerana bercerai denganmu; dan semasa engkau membunuh seorang lelaki,
lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu; dan Kami
telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan;
kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan
penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana
pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!
[41]
“Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu.
[42]
“Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu
dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta
mengingati Daku.
[43]
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.
[44]
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.
[45]
Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa
ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan melampau batas”.
[46]
Allah berfirman: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.
[47]
“Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: “Bahawa
sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum
Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka.
Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat)
dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang
menurut petunjuk ugama Allah.
[48]
“Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia
dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah
dan berpaling daripadanya”.
[49]
(Setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?”
[50]
Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada
tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya,
kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”.
[51]
Firaun bertanya lagi: “Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah lalu?”
[52]
Nabi Musa menjawab: “Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku,
tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga
tidak pernah lupa”.
[53]
(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,
dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan
Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan
dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan
keadaannya.
[54]
Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak
kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan
kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.
[55]
Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan
kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.
[56]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala
tanda-tanda yang membukti kekuasaan Kami; dalam pada itu ia
mendustakannya dan enggan beriman.
[57]
Firaun berkata: “Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?
[58]
“Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang
seperti itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan
antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di
suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak”.
[59]
Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari
perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”.
[60]
Maka Firaun pun berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli
sihir untuk menjalankan tipu-dayanya, kemudian ia datang ke tempat
perlawanan.
[61]
Nabi Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu
mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan
membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang
berdusta, tetap hampa dan kecewa”.
[62]
Maka merekapun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara
sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.
[63]
Mereka berkata: “Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan
hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan
hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.
[64]
“Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah
beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya
beruntunglah orang yang menang pada hari ini”.
[65]
Mereka berkata: “Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?”
[66]
Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali
mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah
benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.
[67]
Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.
[68]
Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)!
Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan
kemenangan.
[69]
“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan
segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa
yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir
itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada”.
[70]
(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda
sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu
segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan
yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.
[71]
Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi
izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir
kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan
kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada
batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui
kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih
kekal”.
[72]
Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada
apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang
nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah
menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau
hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum
dalam kehidupan dunia ini sahaja.
[73]
“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya
kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami
melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan
pahalaNya.
[74]
“Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang
ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia
tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.
[75]
“Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah
mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh
tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:
[76]
“(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa
sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan
orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat”.
[77]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah
engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu
malam, kemudian pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan
jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh
bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut
tenggelam”.
[78]
Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia
dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka
semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.
[79]
Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.
[80]
Wahai Bani lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh
kamu, dan Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi
Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina itu, dan kami turunkan kepada kamu
“Mann” dan “Salwa”,
[81]
Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami
kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya,
kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa
yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.
[82]
Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang
bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh
menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.
[83]
Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai Musa?.
[84]
Nabi Musa menjawab: “Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari
sini; dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda
akan daku”.
[85]
(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa:
“Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian
sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”
[86]
Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan
dukacita; ia berkata: “Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah
menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa
panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Atau kamu
sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu
kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?”
[87]
Mereka menjawab: “Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan
kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa
barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami
mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka
demikianlah juga “Samiri” mencampakkan apa yang dibawanya.
[88]
“Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang
itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka
berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah
lupa!”
[89]
Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa
patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa
mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?
[90]
Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum
itu: “Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung
itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah
rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku”.
[91]
Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan
patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa
kembali kepada kami”.
[92]
(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: “Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,
[93]
“Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”
[94]
Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut
janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku
takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: ` Engkau telah
memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak
berhati-hati mengambil berat pesananku! ‘ ”
[95]
(Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: “Apa pula halmu, wahai Samiri?”
[96]
Ia menjawab:” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh
mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu,
kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa
nafsuku”.
[97]
Nabi Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau
adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan
bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ‘,
dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang
engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang)
lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya,
sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan
menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.
[98]
“Sesungguhnya Tuhan kamu hanya Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu”.
[99]
Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari
kisah-kisah umat manusia yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah
memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi)
peringatan.
[100]
Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka
sesungguhnya ia pada hari kiamat menanggung beban (dosa) yang berat.
[101]
Mereka kekal di dalam (azab) dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat,
[102]
(Iaitu) hari ditiup Sangkakala, dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu matanya.
[103]
Mereka berbisik-bisik sesama sendiri: “Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja”.
[104]
(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka
katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara
mereka berkata pula: “Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang
amat singkat”.
[105]
Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal
gunung-ganang; maka jawablah: “Tuhanku akan menghancurkannya menjadi
debu ditiup angin.
[106]
“Lalu Ia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin”.
[107]
Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.
[108]
Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan
tidak dapat melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara
kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak
mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
[109]
Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun)
kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah
rahmatNya, dan kepada orang yang diredai perkataannya.
[110]
Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan
apa yang di belakang mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak
mengetahuinya secara meliputi.
[111]
Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap
Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan
sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa
kezaliman.
[112]
Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh,
sedang ia beriman, maka tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya
atau dikurangkan sedikitpun dari pahalanya.
[113]
Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam
bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran
supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat
daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.
[114]
Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar
(pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril
kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah
ilmuku”.
[115]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang
lalu, tetapi ia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman
yang teguh.
[116]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:
“Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia
enggan sujud.
[117]
Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu
dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar
dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan
menderita.
[118]
“Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau
tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.
[119]
“Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari”.
[120]
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan
berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang
menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang
lenyap?”
[121]
Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada
mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan
daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya,
lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).
[122]
Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.
[123]
Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama,
dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain;
kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang
mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak
akan menderita azab sengsara.
[124]
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka
sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan
himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
[125]
Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”
[126]
Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat
keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya,
dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.
[127]
Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak
beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab
akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.
[128]
Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak
Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka,
sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal
kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk
mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.
[129]
Dan jika tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai
Muhammad), dan satu tempoh yang ditentukan nescaya balasan jenayah
mereka sudah semestinya berlaku.
[130]
Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka
katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit
dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu
malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan
mendapat sebaik-baik balasan).
[131]
Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan
kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka
yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia
ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di
akhirat lebih baik dan lebih kekal.
[132]
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan
hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki
kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah)
kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
[133]
Dan mereka yang kafir berkata: “Mengapa ia tidak membawa kepada kami
satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?”
Bukankah telah datang kepada mereka berbagai-bagai keterangan dan
khasnya Al-Quran yang menjadi kenyataan yang menerangkan apa yang
terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?
[134]
Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelum
datangnya Rasul Kami membawa Al-Quran ini, tentulah mereka akan berkata
pada hari kiamat: “Wahai Tuhan Kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan
kepada kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu
yang dibawanya, sebelum kami menjadi hina (dengan azab di dunia), dan
mendapat malu (dengan azab di akhirat)?”
[135]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang
menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak
siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa
yang mendapat petunjuk”.
No comments:
Post a Comment