[1]
Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu
(wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya
dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka –
ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
[2]
Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di
bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap
Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak).
[3]
Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan
menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu
menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke
dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.
[4]
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa
kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka
Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[5]
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu)
dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah
engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman;
dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang
demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah
bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.
[6]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Kenanglah
nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan
orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang
buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan
hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu
mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu”.
[7]
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika
kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
[8]
Dan Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi
seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak
merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha
Terpuji.
[9]
(Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar
berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh,
dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ?
Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka
telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa
keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka
ke mulut mereka sambil berkata: “Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa
yang – mengikut dakwaan kamu – kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya
kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang
kamu ajak kami kepadanya”.
[10]
Rasul-rasul mereka bertanya: “Patutkah berlakunya sebarang keraguan
tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru
kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa
kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu.
Mereka menjawab: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu
bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah
disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti
yang jelas nyata”.
[11]
Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: “Kami ini tidak lain hanyalah
manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada
sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kami tiadalah
berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan
izin Allah. Dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya
orang-orang yang beriman berserah diri.
[12]
“Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah
menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan
demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu
menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah
hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah”.
[13]
Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul
mereka: “Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami
atau kamu menjadi seugama dengan kami”. Lalu Tuhan wahyukan, kepada
Rasul-rasulNya: “Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang
yang zalim.
[14]
“Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah
binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi
orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan
takut akan janji-janji azabKu”.
[15]
Dan (Rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan (kepada
Allah, untuk mendapat kemenangan); dan terkecewalah tiap-tiap orang
yang sombong takbur, lagi bersikap degil (dalam keingkarannya).
[16]
Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka).
[17]
Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima
oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut
dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab
seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.
[18]
Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar
terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari
ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa
yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan
kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran.
[19]
Tidakkah engkau telah nampak dan mengetahui bahawa Allah telah
menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan
berhikmat? Jika Ia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab
kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu.
[20]
Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.
[21]
Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab
pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi
pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada
mereka (yang menjadi pemimpinnya): “Sesungguhnya kami telah menjadi
pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari
azab Allah? ” Mereka menjawab: “Kalaulah Allah menunjukkan jalan
selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu.
(Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan
mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk
melepaskan diri (dari azab itu)”.
[22]
Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya
Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah
menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah
bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku
telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka
janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku
tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan
daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah
Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang
yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab
yang tidak terperi sakitnya.
[23]
Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di
dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka
dapati (dari malaikat) di dalam Syurga-syurga itu.
[24]
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan
satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang
pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan
cabang pucuknya menjulang ke langit.
[25]
Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan
Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya
mereka beringat (mendapat pelajaran).
[26]
Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang
pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka
bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.
[27]
Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah
yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah
menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri);
dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
[28]
Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir
yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang
telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?
[29]
(Iaitu) neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka Jahannam.
[30]
Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia
dari jalanNya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bersenang-senanglah kamu
(bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke
neraka”.
[31]
Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah mereka mendirikan
sembahyang dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka,
sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka;
sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada
sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan).
[32]
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari
langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi
makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu
menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga
yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).
[33]
Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk
kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi
faedah hidup kamu.
[34]
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang
kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu
menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka
menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai
nikmat Tuhannya.
[35]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai
Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah
daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.
[36]
Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di
antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang
menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang
menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).
[37]
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari
zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak
tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai
Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan
sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati
sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang
beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari
berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
[38]
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami
sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit
dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah!
[39]
“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa
aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan
Memperkenan doa permohonan.
[40]
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan
demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah
doa permohonanku.
[41]
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta
bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan
pembalasan”
[42]
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa
yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya
melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak
kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang
berlaku).
[43]
(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang
Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip,
dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).
[44]
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu
jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi
azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu
dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan)
berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami
menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan
supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu”. Dan
(rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): “Tidakkah
kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu
telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu
tidak akan mengalami sebarang perubahan?
[45]
“Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang
berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada
kamu dengan bukti-buKti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan
mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah
nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran
dan melalui sabda Rasul)”.
[46]
Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk
menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat
mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan
gunung-ganang sekalipun.
[47]
Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada
Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas
(orang-orang yang menderhaka kepadaNya).
[48]
(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga
langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha
Esa, lagi Maha Kuasa.
[49]
Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu.
[50]
Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka.
[51]
(Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan
membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan; sesungguhnya
Allah amat cepat hitungan hisabNya.
[52]
(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan
diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan
hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah
Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran,
beringat dan insaf.
No comments:
Post a Comment