[1]
Alif, Laam, Miim, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa
yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar;
tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.
[2]
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada
bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di
atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah
makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu
masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala
urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya
kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).
[3]
Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya
gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan
dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua.
Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang
(mahu) berfikir.
[4]
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan
keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman
serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun;
semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah
setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya)
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah
bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.
[5]
Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh
menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang mengatakan): “Adalah
apabila kami telah menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula
dalam bentuk kejadian yang baharu?” Mereka itulah orang-orang yang kufur
ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu dengan
belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah juga ahli neraka,
mereka kekal di dalamnya.
[6]
Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan perkara buruk (azab
yang dijanjikan) sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya
telah berlaku sebelum mereka peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa
orang-orang yang kafir seperti mereka. dan (ingatlah) sesungguhnya
Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat)
terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras
balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar).
[7]
Dan berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa tidak diturunkan kepada
(Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya?” Sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang
ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin
ke jalan yang benar.
[8]
Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan
mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang
lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar
yang tertentu.
[9]
Dia lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia
lah jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi
segala-galanya).
[10]
Sama sahaja kepadaNya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan
kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi
pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang.
[11]
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari
hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari
sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah
apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada
pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan
kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri),
maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang
ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan
melindungi mereka selain daripadaNya.
[12]
Dia lah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari
panahan petir), dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang
menjadikan awan tebal yang berat (dengan air).
[13]
Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana
takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia
mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan
mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai
perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat
keras azab seksanya.
[14]
Kuasa menerima ibadat yang benar adalah tertentu bagi Allah; dan
benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat
menyahut atau memberikan sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti
orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai
ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya.
Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan
dalam kesesatan.
[15]
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi
tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan
(demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
[16]
Bertanyalah (wahai Muhammad): “Siapakah Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan langit dan bumi?” Jawablah: “Allah”. Bertanyalah lagi:
“Kalau demikian, patutkah kamu menjadikan benda-benda yang lain dari
Allah sebagai Pelindung dan Penolong, yang tidak dapat mendatangkan
sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu
bahaya?” Bertanyalah lagi: “Adakah sama, orang yang buta dengan orang
yang celik? Atau adakah sama, gelap-gelita dengan terang? Atau adakah
makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta
sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi
kesamaran kepada mereka?” Katakanlah: “Allah jualah yang menciptakan
tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa”.
[17]
Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah
lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk
faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung.
Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang
perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu.
Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar
dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut
terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia
tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal
perbandingan.
[18]
Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah balasan
yang sebaik-baiknya; dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut
seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi
disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri
dengannya. mereka itu disediakan baginya hitungan hisab yang
seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah neraka jahanam; dan
amatlah buruknya tempat tinggal itu.
[19]
Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan
kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama
dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu
memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
[20]
Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; –
[21]
Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh
Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan
mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab
dan hitungan amal (pada hari kiamat); –
[22]
Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka
semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang
Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka;
dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu
semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari
akhirat; –
[23]
Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama
orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan
isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat
pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; –
[24]
(Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu
berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan
amal kamu di dunia dahulu.
[25]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah
sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh
oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan
bencana di muka bumi, – mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula
beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.
[26]
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga
yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan
kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah
kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari
akhirat.
[27]
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada
(Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? “Katakanlah (wahai Muhammad):
“Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya,
sesiapa yang rujuk kepadaNya, –
[28]
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati
manusia.
[29]
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
[30]
Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang
telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain, supaya engkau membacakan
kepada mereka Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur
kepada (Allah) Ar-Rahman Katakanlah: “Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan
kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya)”.
[31]
Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang
terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi
dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya
orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan
kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat.
(Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah),
bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang
beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Ia
memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka
semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab
kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta
benda mereka); atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat
yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka
gempar kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan
azabnya); Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
[32]
Dan sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus
sebelummu (wahai Muhammad), lalu aku biarkan orang-orang yang tidak
percayakan Rasul-rasul itu ke suatu masa yang tertentu, kemudian Aku
menimpakan mereka dengan azab; maka tidaklah terperi seksanya azabKu
itu.
[33]
Setelah diketahui demikian maka tidaklah patut disamakan Allah Tuhan
yang berkuasa mengawas, tiap-tiap diri dan mengetahui akan apa yang
telah diusahakan oleh diri-diri itu, (dengan makhluk yang tidak bersifat
demikian). Dalam pada itu, mereka yang kafir telah menjadikan beberapa
makhluk sebagai sekutu bagi Allah. Katakanlah (wahai Muhammad):
“Namakanlah kamu akan mereka (yang kamu sembah itu). Atau adakah kamu
hendak memberi tahu kepada Allah akan apa yang tidak diketahuiNya di
bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan kata-kata yang lahir (sedang
pada hakikatnya tidak demikian)?” Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan
oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya
mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka
daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang
disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada
sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
[34]
Mereka beroleh azab dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab hari
akhirat lebih menyeksakan lagi; dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun
yang dapat melindungi mereka dari azab Allah itu.
[35]
Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah
air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya
kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan
usaha orang-orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang
kafir pula ialah neraka.
[36]
Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa
yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan di antara beberapa
kumpulan dari orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya.
Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah
Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain:
kepadaNyalah aku menyeru (manusia semuanya untuk menyembahNya), dan
kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya untuk menerima
balasan)”.
[37]
Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa
Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut
kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan
(tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun
yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari
perkara-perkara yang tidak diingini).
[38]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan
Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan
tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu
mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu
ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh “Suratan
Azali”.
[39]
Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan
apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala
suratan”.
[40]
Sama ada Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari azab
yang Kami janjikan untuk mereka (yang ingkar) atau kami wafatkanmu
sebelum melihatnya maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu
hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang kami turunkan kepadamu; dan
urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.
[41]
Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan
bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan
menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan
kemuliaannya? Dan (ingatlah) Allah menghukum menurut apa yang
dikehendakiNya; tiada sesiapapun yang dapat menghalang hukumNya, dan dia
lah juga yang amat cepat hitungan hisabNya.
[42]
Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan
rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah
engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis
rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri;
dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang
baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak.
[43]
Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “Engkau bukanlah seorang Rasul
dari Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Cukuplah Allah menjadi saksi
antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu
pengetahuan mengenai Kitab Allah”.
No comments:
Post a Comment