[1]
Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.
[2]
Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan
disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka
(Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): “Berilah amaran kepada umat
manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang
mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada
persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal
soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan
menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir
(yang merasa hairan) itu: “Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang
terang nyata.”
[3]
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi
dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala
urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan
sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang
memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah
kamu kepada perintahNya; patutkah kamu – setelah mengetahui kenyataan
yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?
[4]
KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar.
Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian
Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas
orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang
yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang
menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka
ingkar dan berlaku kufur.
[5]
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan
bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu
itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing)
supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak
menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang
sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu
persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang
dijadikanNya).
[6]
Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada
segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda
(yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang
mahu bertaqwa.
[7]
Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami
(pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati)
dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram
dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan
dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, –
[8]
Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di
akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka
telah lakukan.
[9]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka
akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka
masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman
mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat.
[10]
Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala
kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah:
Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan
kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam!
[11]
Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka
minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat
kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh
itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan
orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba
dalam kesesatannya.
[12]
Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa
Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk
ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya,
ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada
Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana
ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan
orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.
[13]
Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu
daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada
mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka
masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan
kesalahan.
[14]
Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di
bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat
apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.
[15]
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata,
berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk
menerima balasan): “Bawalah Quran yang lain daripada ini atau
tukarkanlah dia “. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak
menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa
yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, – jika aku
menderhaka kepada Tuhanku, – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.
[16]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak
membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat
membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak memberitahu kamu akan
Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah
tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula
mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini;
maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?”
[17]
Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang
berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya.
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.
[18]
Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat
mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat
kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang kami sembah itu)
ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah
(wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa
yang Ia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah
mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya
dari apa yang mereka sekutukan.”
[19]
Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan
ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu
dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan kalau tidaklah kerana telah
terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman
hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka
(dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.
[20]
Dan mereka yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada
(Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? “Maka jawablah (wahai Muhammad):
“Sesungguhnya perkara yang ghaib itu tertentu bagi Allah; oleh itu
tunggulah (hukuman Allah), sesungguhnya aku juga di antara orang-orang
yang menunggu.
[21]
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka
ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan
mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan
mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah lebih cepat
melakukan rancangan menentangnya!” Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan
Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.
[22]
Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi
kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu
berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa
penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun
bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang
kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru,
serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu
mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka
kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi
sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini,
kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.
[23]
Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta
merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan
yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu
hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya
dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian
kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa
yang kamu telah lakukan.
[24]
Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang
Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya)
tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan
binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya)
dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan
keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan
penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman
serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami
menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu
Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.
Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi
kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).
[25]
(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru
manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa
memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat
itu).
[26]
Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan
segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula
(berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan.
Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
[27]
Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat),
balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding
dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung
dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup
dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang
gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[28]
Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat),
kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Tunggulah di tempat
kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”; sesudah
itu kami putuskan perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah
makhluk-makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri):
“Bukanlah kami – yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja
dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!
[29]
“(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah
sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak
menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.
[30]
Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa
yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka
yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan
itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.
[31]
Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi
rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai
pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang
hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari
makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian
alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik)
tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang
menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui
yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?
[32]
Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu
yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar,
maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu,
bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?
[33]
(Sebagaimana benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah
benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang
fasik kerana bahawasanya mereka tidak beriman.
[34]
Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara
makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula
menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula
(pada hari kiamat)? “Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan
sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima
balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah
yang lain)?”
[35]
Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk: yang
kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk
kepada kebenaran? “Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah
petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat
memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut,
ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia
diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu ? Bagaimana
kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak
dapat diterima oleh akal)?”
[36]
Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja,
(padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak
menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.
[37]
Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain
dari Allah; tetapi Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan
Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu
persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada
sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari
Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
[38]
(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan
mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran
menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian,
datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan
panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari
Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.
[39]
Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka
tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum datang kepada
mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga
orang-orang sebelum mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang
diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang
yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan
mereka).
[40]
Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Quran, dan ada di
antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu
lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.
[41]
Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai Muhammad), maka
katakanlah: “Bagiku amalku, dan bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak
bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan, dan aku juga tidak
bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan”.
[42]
Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar
ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikitpun sebagai orang pekak);
maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang
pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak
mahu memahami perkara yang didengarnya.
[43]
Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang
engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya sebagai orang
buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan
kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang
tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).
[44]
Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.
[45]
Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak),
dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia
melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan
berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang
telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang
tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).
[46]
Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian dari
balasan azab yang Kami janjikan kepada mereka, atau jika Kami wafatkan
engkau sebelum itu, maka kepada Kamilah tempat kembali mereka; kemudian
Allah yang memberi keterangan mengenai apa yang mereka lakukan.
[47]
Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan
kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang
mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan
adil dan mereka tetap tidak dianiaya.
[48]
Dan mereka (yang kafir) bertanya: “Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”
[49]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan
tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang
dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka
apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan
tidak dapat mereka menyegerakannya”.
[50]
Katakanlah: “Sudahkah kamu nampak jalan keluar jika datang kepada kamu
azab Tuhan itu, pada waktu malam atau pada waktu siang? “Azab manakah
yang orang-orang berdosa itu minta disegerakan (sedang sebarang azab
wajib ditakuti)?
[51]
Patutkah (kamu mengingkari azab itu), kemudian apabila ia menimpa kamu,
kamu mengakui benarnya? (Sedang pengakuan pada masa itu tidak diterima
bahkan dikatakan kepada kamu): “Sekarangkah baharu kamu mengakui
benarnya, padahal sebelum ini kamu telah menunjukkan keingkaran dengan
meminta disegerakan kedatangannya?”
[52]
Kemudian dikatakan lagi kepada orang-orang yang berlaku zalim itu:
“Rasakanlah azab yang kekal. Tidaklah kamu dibalas melainkan dengan apa
yang kamu usahakan (di dunia)”.
[53]
Dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu
(wahai Muhammad): “Adakah kedatangan azab yang dijanjikan itu benar?
“Jawablah: “Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! Dan kamu
tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya”.
[54]
Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada
dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada
di bumi, tentulah ia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab
yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa
manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara
mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan
itu.
[55]
Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah
kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar,
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[56]
Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.
[57]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang
menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar
bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga
menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi
orang-orang yang beriman.
[58]
Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata
dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi
kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan
yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan
dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.
[59]
Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah
kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat
kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan
sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah
izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan
secara dusta terhadap Allah?”.
[60]
Dan apakah sangkaan orang-orang yang mengada-adakan kata-kata dusta
terhadap Allah, (tidakkah mereka akan diazabkan) hari kiamat kelak?
Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan kurnia kepada manusia (meliputi
rezeki pemberianNya dan hukum-hukum Syarak yang diturunkanNya), tetapi
kebanyakan mereka tidak bersyukur.
[61]
Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan,
dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari
Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan
sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu,
ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari
pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang
ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan
tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab
yang terang nyata.
[62]
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari
sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
[63]
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
[64]
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di
akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang
demikian itulah kejayaan yang besar.
[65]
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan
kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan
tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha
Mengetahui.
[66]
Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan
yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain
Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan),
mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah
orang-orang yang sentiasa berdusta.
[67]
Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan
menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya
perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan
kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan
yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).
[68]
Mereka berkata: “Allah mempunyai anak” Maha Suci Allah (dari apa yang
mereka katakan itu)! Dia lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit
dan yang ada di bumi adalah kepunyaanNya; tidaklah ada sebarang
keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu.
Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak
mengetahuinya?
[69]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang
mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.
[70]
(Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada
Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab
yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.
[71]
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika
ia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam
kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan
ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka
(buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku
berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu
kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah
hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi
(tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan
janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.
[72]
“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka
tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan
daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu);
balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun
kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari
orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.
[73]
Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia
bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan
kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta
Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan
banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah
bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami)
setelah diberi amaran.
[74]
Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum
masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan
membawa keterangan-keterangan yang nyata; dalam pada itu kaum mereka
tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah
mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati
orang-orang yang melampaui batas.
[75]
Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun,
kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka
(Firaun dan kaumnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan
mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.
[76]
Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami,
berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.
[77]
(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata
demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah
bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan
berjaya”.
[78]
Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk
memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek
kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan
di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman
kepada kamu berdua”.
[79]
Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir”.
[80]
Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:”
Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri
benda-benda yang kamu jadikan sihir itu)!”
[81]
Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang
kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan
kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku);
sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang
melakukan kerosakan.
[82]
“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan
kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh
orang-orang yang melakukan dosa”.
[83]
Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan
kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun
dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun
bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya ia dari orang-orang yang
melampaui batas.
[84]
Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau
sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri
kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri
bulat-bulat kepada Allah)”.
[85]
Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan
kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi
kaum yang zalim ganas.
[86]
” Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”.
[87]
Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi
Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk
menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat
sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah
berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan
diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”.
[88]
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua
kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam
kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan
kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab
kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan
meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan
itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang
tidak terperi sakitnya.
[89]
Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh
itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan
janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui
(peraturan janjiKu)”.
[90]
Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh
Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan
pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia
(pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan
yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang
berserah diri (menurut perintah)”.
[91]
(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal
sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun
menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.
[92]
“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan
badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi
tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil
itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada
(memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.
[93]
Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik
(sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan
benda-benda yang baik. Maka mereka tidak berselisihan (mengenai Nabi
Muhammad melainkan) setelah datang kepada mereka pengetahuan (dari
bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara
mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.
[94]
Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu
tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada
orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu
(kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang
kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi
dari golongan yang ragu-ragu.
[95]
Dan jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang mendustakan
ayat-ayat Allah, kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang-orang
yang rugi.
[96]
Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman:
[97]
Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda
(yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya),
sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
[98]
(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah
negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu
mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang
telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab
sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa
mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu
masa (yang Kami tentukan).
[99]
Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat
manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian
manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang
kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki)
maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi
orang-orang yang beriman?
[100]
Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan
dengan izin Allah (melalui undang-undang dan peraturanNya); dan Allah
menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami
(perintah-perintahNya).
[101]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di
langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala
tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul
(yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak
akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan
kepadanya.
[102]
Maka orang-orang yang tersebut tidak menunggu melainkan (azab Allah)
sebagaimana kejadian-kejadian yang berlaku kepada orang-orang yang
ingkar yang terdahulu daripada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):
“Tunggulah, sesungguhnya aku juga bersama-sama kamu dari orang-orang
yang menunggu”.
[103]
Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman.
Demikianlah juga, sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang
yang beriman yang menurutmu).
[104]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sekiranya kamu
menaruh syak tentang kebenaran ugamaku, maka (ketahuilah) aku tidak
menyembah makhluk-makhluk yang kamu menyembahnya yang lain dari Allah,
tetapi aku hanya menyembah Allah yang akan mematikan kamu (untuk
menerima balasan); dan aku diperintahkan supaya menjadi dari golongan
yang beriman.
[105]
“Serta (diwajibkan kepadaku): ‘ Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke
arah mengerjakan perintah-perintah) ugama dengan betul dan ikhlas, dan
janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik ‘.”
[106]
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain
dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga
tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau
mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari
orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan
syirik itu).
[107]
Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka
tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan
jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada
sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah
melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari
hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
[108]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang
kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang
mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah
petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat
(mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya
sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman
atau keingkaran) kamu”.
[109]
Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam
perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu
dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah
dijanjikan), kerana Dia lah sebaik-baik Hakim.
No comments:
Post a Comment