Allah SWT berfirman:
"Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya berkata: 'Ya Tuhanku,
berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau
Maha Pendengar doa. Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria,
sedang ia tengah berdiri melakukan solat di mihrab (katanya):
'Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang
puteramu) Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah,
menjadi ikutan, menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang nabi termasuk
keturunan orang-orang soleh." (QS. Ali 'Imran: 38-39)
"Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan
Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih anak-anak, dan rasa belas
kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dari dosa). Dan ia
adalah seorang yang bertakwa, dan banyak berbakti kepada kedua orang
tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong dan derhaka. Kesejahteraan
atas dirinya pada hari ia dilahirkan, dan pada hari itu ia meninggal dan
pada hari ia dibangkitkan kembali." (QS. Maryam: 12-15)
"Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan
(memperoleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum
pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia." (QS. Maryam: 7)
Inilah Yahya seorang Nabi yang Allah SWT bersaksi bahawa sebelumnya tak
seorang pun yang serupa dengannya. Yaitu seorang Nabi yang Allah SWT
berkata tentangnya:
"Dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami." (QS. Maryam: 13)
Sebagaimana Khidir diberi ilmu dari sisi Allah SWT, maka Yahya diberi
rasa cinta dari sisi Allah SWT. Al-Hanan ialah ilmu yang luas yang
terkandung di dalamnya sesuatu kecintaan yang dalam terhadap makhluk dan
alam. Hanan ialah salah satu dari tingkat cinta yang bersumber dari
ilmu. Yahya adalah seorang Nabi yang menjadi cermin dari ibadah, zuhud,
dan cinta. Nabi Yahya mengungkapkan cinta kepada semua makhluk. Ia
dicintai oleh manusia, burung-burung, binatang buas, bahkan gurun dan
gunung. Darah Nabi Yahya tertumpah ketika beliau berusaha mempertahankan
kebenaran yang disampaikannya di istana raja yang lalim. Peristiwa
tragis itu berkaitan dengan seorang penari pelacur. Para ulama banyak
menyebutkan keutamaan Yahya. Yahya hidup sezaman dengan Nabi Isa dan
termasuk kerabat dekatnya dari sisi ibu (anak bibinya).
Ada hadis yang meriwayatkan bahawa Yahya dan Isa pernah bertemu pada
suatu hari. Lalu Isa berkata kepada Yahya, mintakanlah ampun bagiku
wahai Yahya. Sesungguhnya engkau lebih baik daripada aku. Yahya berkata:
"Mintakanlah ampun bagiku wahai Isa kerana engkau lebih baik daripada
aku." Isa berkata: "Tidak, engkaulah yang lebih baik daripada aku.
Engkau mengucapkan salam kepadaku sedangkan Allah SWT mengucapkan salam
kepadamu." Kisah tersebut menunjukkan keutamaan Yahya ketika Allah S"WT
menyampaikan salam kepadanya pada hari ia dilahirkan, pada hari ia mati,
dan pada hari ia dibangkitkan kembali dalam keadaan hidup. Diriwayatkan
bahawa Rasulullah saw pernah pergi dan menemui para sahabatnya. Pada
suatu hari, beliau mendapati mereka sedang menyebut-nyebut keutamaan
para nabi. Ada yang mengatakan, Musa kalimullah (seorang nabi yang
diajak bicara oleh Allah SWT). Ada yang mengatakan, Isa ruhullah (tiupan
roh Allah SWT). Dan ada juga yang mengatakan, Ibrahim khalilullah
(seorang kekasih Allah SWT).
Demikianlah para sahabat berbicara tentang para nabi lalu Rasulullah saw
menemui mereka. Ketika Rasul saw mendapati mereka tidak menyebut nama
Yahya, beliau berkata: "Di manakah putera seorang syahid yang
mendapatkan banyak penderitaan, yang memakan pohon kerana takut dosa, di
manakah Yahya bin Zakaria."
Sementara itu, datanglah musim semi di Palestina dan bumi tampak semakin
menghijau dan langit semakin terang. Bulan dengan cahayanya menembus
puncak-puncak pohon dan kebun. Bunga-bunga mawar dan jeruk semakin
berkembang dan baunya tersebar ke udara. Dan burung- burung yang sedang
berterbangan tampak bernyanyi dan melantunkan lagu-lagu kegembiraan di
tengah-tengah suasana yang ceria dan penuh keindahan.
Kemudian lahirlah Yahya. Kelahiran Yahya dipenuhi banyak mukjizat.
Beliau lahir pada saat ayahnya Zakaria berusia lanjut sehingga tampak
seakan-akan ia putus asa kerana tidak akan mempunyai keturunan. Beliau
lahir melalui doa yang suci yang bersumber dari hati Nabi Zakaria yang
suci dan tulus. Nabi Yahya lahir di tengah-tengah masa yang dipenuhi
dengan puncak kesucian sebagaimana juga dihiasi dengan puncak kelaliman.
Maryam adalah simbol puncak kesucian di zamannya. Mihrabnya penuh
dengan bau yang harum yang memancarkan kalimat- kalimat solat yang terus
menerus dan zikir yang bersumber dari hati yang suci. Masjid tampak
dipenuhi dengan gelombang orang-orang yang solat dan orang-orang mukmin
yang berzikir. Namun nun jauh di sana kelaliman tetap membunyikan
genderangnya.
Yahya dilahirkan dan masa kecilnya tidak seperti lazimnya masa yang
dilalui oleh anak-anak. Umumnya anak-anak saat itu bermain hal-hal yang
tidak berguna, sedangkan Yahya tampak serius sejak beliau kecil.
Anak-anak kecil saat itu merasa senang dan terhibur ketika mereka
menyeksa binatang, sementara Yahya justru memberi makan bintang-
binatang dan burung dari makanannya sebagai bentuk belas kasihan
darinya, bahkan terkadang Yahya sendiri makan dari daun-daun pohon atau
buahnya. Ketika beliau menginjak usia dewasa, maka cahaya wajahnya
semakin bersinar dan hatinya penuh dengan hikmah dan cinta kepada Allah
SWT serta kedamaian. Yahya adalah seseorang yang menyukai membaca sejak
usia dini. Beliau rajin membaca dan menggali ilmu. Ketika beliau masih
kecil, Allah SWT memanggilnya: "Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu
dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia
masih anak-anak."
Yahya mendapatkan perintah—saat beliau masih kecil—untuk mengambil Kitab
dengan kekuatan. Yakni, hendaklah ia belajar kitab dengan penuh
ketelitian, Yaitu kitab syariat. Allah SWT memberinya kemampuan untuk
mengetahui syariat dan memutuskan perkara manusia saat beliau masih
kecil. Yahya adalah orang yang paling alim di zamannya dan paling banyak
menerima hikmah. Beliau mempelajari syariat secara sempurna. Oleh
kerana itu, Allah SWT memberinya kekuasaan saat beliau masih kecil.
Beliau mampu menyelesaikan persoalan di antara manusia dan menjelaskan
mereka rahsia-rahsia agama, bahkan beliau mengenalkan mereka jalan
kebenaran dan mengingatkan mereka dari jalan kesalahan atau kebatilan.
Kemudian Yahya semakin dewasa dan ilmunya makin bertambah serta kasih
sayangnya pun makin meningkat, baik kepada kedua orang tuanya mahupun
kepada binatang. Kasih sayang Nabi Yahya meliputi segala sesuatu.
Beliau mengajak manusia untuk bertaubat dari dosa mereka; beliau
memandikan mereka di sungai Jordania agar mereka menyucikan diri mereka
dengan taubat; beliau mengajak mereka untuk menyembah Allah SWT. Di sana
tidak terdapat seseorang yang tidak suka kepada Yahya atau menginginkan
keburukan baginya. Yahya adalah seseorang yang sangat dicintai oleh
masyarakatnya kerana ia memang seorang yang penyayang, seorang yang
bertakwa, seorang yang alim, dan seorang yang berbudi mulia. Beliau
keluar dan pergi ke gunung dan kebun bahkan gurun dan tinggal di
dalamnya selama berbulan-bulan untuk menyembah Allah SWT dan menangis di
hadapan-Nya serta solat. Beliau merasakan kedamaian di daratan, bahkan
beliau tidak memperhatikan makanannya. Beliau makan dari daun-daun pohon
dan minum dari air sungai. Bahkan beliau makan belalang dan juga
rumput. Beliau tidur di gua mana pun yang ditemuinya di gunung dan
lubang mana pun yang didapatinya di bumi.
Terkadang beliau masuk di suatu gua gunung lalu beliau menemukan
binatang buas di dalamnya seperti serigala atau singa namun kerana
kesibukannya dan konsentrasinya saat berzikir kepada Allah SWT dan solat
sehingga beliau tidak lagi memperhatikan serigala atau singa. Serigala
dan singa itu melihat Nabi Yahya lalu mereka mengetahui bahawa ini
adalah seorang Nabi Allah SWT yang sangat berbelas kasih kepada
binatang, maka binatang-binatang buas itu menundukkan kepalanya dan
meninggalkan tempat itu dengan tenang sehingga Nabi Yahya tidak
mendengar suara mereka.
Pada kesempatan yang lain, Nabi Yahya memberi makan binatang- binatang
buas dengan penuh kasih sayang. Bahkan beliau tidak makan di malam
harinya kerana makanannya diberikan kepada binatang-binatang itu. Beliau
merasa puas saat menjadikan solat dan zikir sebagai makanan dari
hatinya sebelum beliau memberi makanan pada tubuhnya. Beliau makan dari
daun-daun pohon. Beliau bermalam atau bergadang dalam keadaan air
matanya berlinangan saat berzikir kepada Allah SWT dan tenggelam dalam
lautan cinta dan bersyukur kepada-Nya. Ketika Nabi Yahya berdiri di
depan manusia untuk mengajak mereka menyembah Allah SWT, maka beliau
mampu membuat mereka menangis kerana cinta dan khusyuk. Beliau mampu
mempengaruhi hati mereka dengan kebenaran yang dibawanya dan beliau
menampakkan bahawa beliau memang dekat dengan Allah SWT.
Pada suatu hari, Nabi Yahya keluar menemui manusia. Masjid tampak ramai
dipenuhi orang-orang. Nabi Yahya berdiri dan beliau mulai berbicara:
"Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan aku untuk menyampaikan
kalimat-kalimat yang telah aku kerjakan dan aku telah memerintahkan
kalian untuk juga mengerjakannya. Hendaklah kalian menyembah Allah SWT
dan tidak menyekutukan-Nya. Barang siapa yang menyekutukan Allah SWT dan
menyembah selain-Nya, maka ia seperti seorang budak yang dibeli oleh
majikannya lalu ia bekerja dan memberikan tenaganya kepada tuan selain
tuannya. Siapakah di antara kalian yang ingin memiliki budak seperti
itu. Dan aku memerintahkan kalian untuk melaksanakan solat. Sesungguhnya
Allah SWT melihat hamba-Nya saat ia solat. Oleh kerana itu, jika kalian
solat, maka hendaklah kalian berusaha untuk khusyuk. Aku pun
memerintahkan kalian untuk berpuasa, maka siapa yang melakukan demikian,
maka ia seperti seseorang lelaki yang mempunyai bingkisan dari misik
yang baunya harum. Setiap lelaki ini berjalan, maka akan terpancarlah
bau harum misik darinya. Aku pun memerintahkan kalian agar banyak
melakukan zikir kepada Allah SWT, maka orang seperti itu seperti seorang
lelaki yang dicari-cari oleh musuhnya lalu ia segera berlindung dalam
benteng yang kuat. Dan benteng yang paling kuat adalah zikrullah dan
tiada keselamatan tanpa benteng itu."
Nabi Yahya mengakhiri nasihatnya lalu ia turun dari mimbar dan kembali
ke gurun. Di gurun itu hanya terdapat pasir yang berterbangan dan tiada
suara lain selain suara angin dan nafas pohon serta suara kaki-kaki
binatang buas dan gerakan batu-batu gunung. Di sanalah Yahya berdiri di
tengah-tengah kesunyian ini. Beliau melaksanakan solat dan menangis.
Kemudian terjadilah pergelutan hebat antara Nabi Yahya dan pemerintah
yang berkuasa. Salah seorang penguasa di zaman itu adalah seorang yang
lalim dan sempit akalnya. Kerosakan tersebar di istananya. Ia mendengar
berita tentang Yahya. Ia heran kerana banyaknya manusia yang memberikan
penghargaan dan penghormatan yang luar biasa kepada Yahya sedangkan ia
sebagai seorang raja tidak mendapatkan penghormatan yang demikian besar.
Raja tersebut ingin memperkosa isteri saudaranya di mana ia mempunyai
anak perempuan yang memiliki kecantikan yang terkenal. Dalam cerita
disebutkan bahawa anak perempuan itu mampu melakukan tarian yang
mengagumkan sambil memakai tujuh helai baju. Setiap ia menari, maka
terlepaslah setiap baju yang dipakainya dan pada tarian yang terakhir,
ia tampak dalam keadaan telanjang.
Raja bertanya kepada Yahya, apakah ia boleh menikahi isteri saudaranya.
Yahya menjawab, itu tidak diperbolehkan. Raja tetap berbicara kepada
Yahya dan mendesak kepadanya agar membolehkannya menikah dengan wanita
yang disukainya itu, dan hendaklah Yahya mencari solusi atau fatwa yang
sangat memuaskannya. Namun Yahya menolak keras untuk memenuhi permintaan
raja itu. Kemudian Yahya pun meninggalkannya. Akhirnya, raja tampak
marah kepada Yahya dan memerintahkan agar Yahya dipenjara. Kemudian raja
itu pun memperkosa isteri saudaranya. Anak perempuan wanita itu yang
suka menari telah melihat Yahya saat ia berbicara dengan raja. Anak
perempuan itu sangat tertarik akan ketampanan Yahya dan keagungan
keperibadiannya.
Ringkasnya, wanita yang ahli menari itu pun merasa jatuh cinta kepada
Yahya. Ia pergi menemui Yahya di penjaranya dan ia melihat Yahya dalam
keadaan duduk solat dan menangis. Wanita itu terus mengawasi Yahya saat
beliau solat sampai selesai. Lalu ia meletakkan dirinya di bawah kaki
Yahya dan memintanya agar mencintainya sebagaimana ia mencintai Yahya.
Yahya menjawab bahawa di dalam hatinya tidak ada cinta lain selain cinta
kepada Allah SWT. Wanita itu pun bangkit dari tempatnya dalam keadaan
putus asa. Ia meninggalkan Yahya dalam keadaan hatinya dipenuhi
kebencian padanya. Ia kembali ke istana raja.
Waktu Isyak telah berakhir. Raja mulai meminum minuman kesukaannya,
yaitu khamr. Wanita itu memberikan minum kepada raja. Makin banyaknya
raja minum, sampai-sampai raja merasa bahawa kepalanya seperti belon
besar dan ia sebentar lagi akan terbang. Di sanalah wanita penari itu
segera memakai pakaian tarian dan kembali kepada raja. Raja melihatnya
dan ia merasa kepalanya bertambah besar dan wanita itu mulai menari.
Lalu dipukullah rebana dan berbagai alat muzik sehingga wanita itu
tampak menari dan menikmati tariannya. Pada tarian ke tujuh ia berhenti
lalu membuka wajahnya sambil berkata kepada raja: "Wahai tuanku, aku
ingin bertanya sedikit kepadamu." Raja yang sedang mabuk itu berkata:
"Segala sesuatu yang engkau inginkan akan kuberikan kepadamu sekarang
juga." Wanita itu berkata: "Aku menginginkan kepala Yahya bin Zakaria."
Mendengar perkataan itu, raja segera sadar dari mabuknya lalu ia
merasakan ketakutan. Ia berkata kepadanya: "Mintalah kepadaku yang lain
saja." Wanita itu berkata: "Aku menginginkan darah Yahya bin Zakaria."
Wanita ini adalah simbol keburukan. Raja berkata sambil minum minuman
keras yang keempat kalinya setelah empat puluh kali: "Bunuhlah Yahya!"
Akhirnya, pemimpin pasukan raja mengeluarkan perintah kepada anak
buahnya untuk menghabisi Yahya. Kemudian Yahya menemui ajalnya secara
tragis dan meneguk madu syahadah.
Injil Mata pada pasal yang keempat belas menyebutkan suatu riwayat sebagai berikut:
"Hirdus telah menangkap Yuhana lalu ia memasukkan ke dalam penjara
kerana Hirduya isteri dari saudaranya. Sebab Yuhana berkata kepadanya,
engkau tidak boleh mengambilnya sebagai isterimu. Ia ingin membunuh
Yuhana tetapi ia khuatir terhadap reaksi masyarakat kerana mereka
menganggapnya sebagai seorang Nabi. Ketika diadakan acara kelahiran
Hirdus salah seorang perempuan anak dari Hirduya menari di tengah-tengah
para hadirin sehingga Hirdus merasa kagum, kerananya kemudian ia
bersumpah bahawa apa pun yang diminta penari itu akan diturutinya.
Wanita itu berkata: "Berikanlah kepadaku kepala Yuhana." Sebetulnya raja
itu keberatan tetapi ia sudah terlanjur bersumpah dan disaksikan
orang-orang di sekitarnya, maka ia pun memerintahkan agar permintaan
wanita itu dituruti. Kemudian kepala Yuhana dikirim dari penjara, dan
diberikan kepada gadis itu, lalu gadis itu membawanya kepada ibunya."
No comments:
Post a Comment