40. Al Hasib




Assalamu'alaikum. Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di bawah ini ditulis maksud ayat-ayat al-Quran yang ada menyebut kalimah al-Hasib . Al-Hasib terambil daripada huruf ha' sin dan ba' dan daripada segi bahasa bermakna menghitung (mengira), mencukupkan, melindungi / menolong. Juga bermaksud penyakit yang menyebabkan kulit berwarna putih/ sopak. Juga bermakna bantal kecil. Kedua-dua makna ini tidak berkaitan dengan sifat-sifat Allah SWT.

Hasib yang merujuk kepada manusia:

Allah berfirman:


اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا


(Lalu Kami perintahkan kepadanya): Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). (al-Israk [17] : 14)

Bermaksud; Ambillah buku ini, buku yang mencatat segala amalan kamu semasa berada di dunia, lihatlah! dan kamu sendiri akan dapat menhitung. Ketika itu manusia disuruh untuk membaca sendiri atau meneliti sendiri sebab Allah berfirman: "Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)". Ketika ini manusia akan tahu ke mana dia akan tuju, syurga atau neraka?.

Pada peringkat pertama Allah berfirman :

(Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (Al-'Aadiyaat [100] : 9)

Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Manusia akan dikeluarkan dan akan dicari amalan hatta sekecil-kecil amalan (bak polis selongkar bukti, mesti digeledah untuk mendapatkan bukti tersebut, jika barang besar tak perlu digeledah lagi).

Peringkat kedua Allah berfirman:

Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu. (Al-'Aadiyaat [100] : 10 - 11)

Segala amalan dicari dan dikumpulkan sehingga tidak ada lagi amalan yang tertinggal, semuanya tercatat. Amalan digredkan dan dikumpulkan mengikut kategori. Kita boleh bayangkan bagaimana barang2 yang digredkan sebagai gred A, B dan seterusnya. Setelah itu barulah diserahkan kitab amalan untuk dibaca dan dihitung, Jadi mudahlah manusia menghitungnya, sebab Allah berfirman;

"cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan".

Sebagai Nama Allah:

Pertama:

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak daripada keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (dari pada memakannya) dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka dan cukuplah Allah sebagai Penghitung (akan segala yang kamu lakukan). (An-Nisaa [4] : 6).

Allah mengingatkan bahawa DIA Hasib. Jadi kepada sesiapa yang terlibat dengan penjagaan harta anak-anak yatim, kena betul-betul buat kira-kira (akaun) sejak mula menjaga dan semasa menyerahkan semula harta yang dijaganya. Jangan cuba-cuba hendak menginayai /zalim (menipu), Allah ingatkan AKU ini akan hitung semula; jika kamu berlaku adil Aku akan mencukupkan. Jika tidak AKU akan memberi balasan setimpal.

Kedua:

(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka). (Al-Ahzab [33] : 39)

Jika tadi ditujukan kepada amanah terhadap anak-anak yatim, ayat di atas ini pula ditujukan kepada penyampai risalah Allah, penyeru kepada kebaikan. Mereka tidak takut selain Allah kerana mereka sedar Allah sahajalah yang mencukupkan, menghitung. Jadi mereka akan sampaikan segala kebenaran biarpun tertindas. Ayat ini juga boleh ditujukan kepada pemegang amanah yang lainnya; Apabila takut kepada Allah mereka tidak berani memanipulasi hitungan, jika 10 mereka tidak akan jadikan 6 sedangkan Allah Maha Menghitung. Orang-orang yang tidak menghitung dengan tepat ini mereka tidak menyedari bahawa Allah Maha Mencukupkan dan Maha Menghitung akan beri lebih jika mereka amanah.

Jika mereka tidak amanah balasan azab yang setimpal menanti mereka. Mohon dilindungkan kita daripada berbuat demikian.

Ketiga:

Allah berfirman: "Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pelindung (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". (Ali Imran [3] : 173)

Kisah dalam peperangan ini; orang-orang yang beriman tidak gentar biarpun mereka tahu orang-orang kafir musuh mereka bilangannya ramai. Mereka tidak gerun kerana mereka ada Allah yang akan menolong, mencukupkan dan melindungi mereka. Dalam kehidupan jika kita yakin Allah Maha Menghitung, Maha Mencukupkan, Maha Menolong, Maha memberi Rezeki dan Maha segala-galanya kita tidak perlu khuatir, kerana jika kita jahil Allah akan pandaikan kita, jika kita sakit Allah akan sembuhkan, sebab Allah ada segala-galanya. Kita perlukan hasanah fid dunia dan hasanah fil akhirat, jadi kita kena yakin Allah al-Hasib tidak akan membiarkan kita kecewa.

Jika kita telusuri kisah ibu Nabi Musa as yang Allah ilhamkan supaya hanyutkan putera kesayanganNya, dia menyerah kepada al-Hasib dan dia hampir-hampir ingin mendedahkan rahsia, namun kekuatan rohaninya meyakinkan bahawa Allahlah pelindung, akhirnya Nabi Musa as hidup di istana. Ibunya pula menyusukannya dan diberi upah pula. Kisah ini boleh dibaca dalam surah al-Qasas mulai ayat 7 hingga ayat 28.

Mudah2an memberi manfaat.

No comments:

Post a Comment