84. Al-Insyiqaq

[1]Apabila langit terbelah,

[2]Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh;

[3]Dan apabila bumi diratakan,

[4]Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong,

[5]Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; – (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya).

[6]Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).

[7]Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, –

[8]Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,

[9]Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.

[10]Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,

[11]Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,

[12]Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.

[13]Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!

[14]Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !

[15](Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!

[16]Maka Aku bersumpah, demi mega;

[17]Dan malam serta segala yang dihimpunkannya;

[18]Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama:

[19]Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan – menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)

[20]Maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman?

[21]Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?

[22](Tidak ada satu alasan pun) bahkan orang-orang yang kafir, semata-mata mendustakannya;

[23]Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati.

[24]Maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya;

[25]Tetapi orang-orang yang beriman dan beramal soleh mereka beroleh pahala balasan yang tidak putus-putus.

No comments:

Post a Comment