[1]Bukankah telah
berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia
(masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang
disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?
[2]Sesungguhnya Kami telah aturkan cara
mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati
benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan
kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan
mendengar dan melihat.
[3]Kerana keadaan itu tidak mencukupi,
maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan
Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah
kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia
berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
[4](Dalam pada itu), sesungguhnya Kami
telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka):
beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.
[5]Sesungguhnya orang-orang yang
berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis
minuman yang bercampur dengan “Kafur”, –
[6]Iaitu sebuah matair (di Syurga),
yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka
boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran
yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.
[7](Mereka dikurniakan kesenangan itu
kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan
Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab
seksanya merebak di sana sini.
[8]Mereka juga memberi makan
benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin
dan anak yatim serta orang tawanan,
[9](Sambil berkata dengan lidah atau
dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah
semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau
ucapan terima kasih,
[10]“Kami sebenarnya takutkan Tuhan
kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang
bersalah: masam berkerut-kerut”.
[11]Dengan sebab (mereka menjaga diri
dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari
yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang
berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).
[12]Dan kerana kesabaran mereka
(mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas
oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
[13]Mereka berehat di dalam Syurga
dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak
nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga
merasai suasana yang terlampau sejuk;
[14]Sedang naungan pohon-pohon Syurga
itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk
mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.
[15]Dan (selain itu) diedarkan kepada
mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan piala-piala
minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) –
[16](Keadaannya laksana) kaca, (sedang
ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar
yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.
[17]Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari “Zanjabil”,
[18]Iaitu sebuah matair dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya sebagai “Salsabil”.
[19]Dan mereka dilayani oleh anak-anak
muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa
beredar di sekitar mereka; apabila engkau melihat anak-anak muda itu,
nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.
[20]Dan apabila engkau melihat di sana
(dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan
kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).
[21]Mereka di dalam Syurga memakai
pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang
bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak;
dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang
lain) yang bersih suci.
[22](Serta dikatakan kepada mereka):
“Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan,
dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh
Allah)”.
[23]Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad), dengan beransur-ansur.
[24]Oleh itu hendaklah engkau bersabar
menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada golongan yang
menentangmu), dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa
di antara mereka, atau orang yang kufur ingkar.
[25]Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang;
[26]Dan (dengan apa keadaan pun maka)
pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan
mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya
(dengan mengerjakansembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang
dari waktu malam.
[27]Sesungguhnya orang-orang (yang
menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia)
yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan
bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada
orang-orang yang tidak bertaqwa).
[28]Kamilah yang menciptakan mereka
serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka; (Kami berkuasa
membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan (mereka
dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka, dengan penggantian yang
sebaik-baiknya.
[29]Sesungguhnya (segala keterangan
yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan
(kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada
keredaan Allah (dengan iman dan taat).
[30]Dan tiadalah kamu berkemahuan
(melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki
Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana
(mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
[31]Ia memasukkan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya
(dengan ditempatkannya di dalam Syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia
menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
No comments:
Post a Comment