[1](Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
[2]Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
[3]Dia lah yang telah menciptakan manusia; –
[4]Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.
[5]Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;
[6]Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya.
[7]Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,
[8]Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;
[9]Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.
[10]Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain:
[11]Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang;
[12]Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum;
[13]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?
[14]Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,
[15]Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;
[16]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[17](Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.
[18]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[19]Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;
[20]Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;
[21]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[22]Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;
[23]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[24]Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;
[25]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[26]Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:
[27]Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:
[28]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[29]Sekalian makhluk yang
ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya.
Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan
makhluk-makhlukNya)!
[30]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)?
[31]Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!
[32]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[33]Wahai sekalian jin dan
manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit
dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka
cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan
dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!
[34]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[35]Kamu (wahai golongan
yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan
api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar);
dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari
azab seksa itu);
[36]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[37]Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;
[38]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[39]Pada masa itu tiada
sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya
(kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);
[40]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[41]Orang-orang yang
berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas
kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);
[42]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[43](Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya “.
[44]Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!
[45]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[46]Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga, –
[47]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[48](Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; –
[49]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[50]Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir; –
[51]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan.
[52]Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).
[53]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[54]Mereka
(bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan)
berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah
dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua
Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.
[55]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[56]Di dalam Syurga-syurga
itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka
semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia
dan jin;
[57]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[58]Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.
[59]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[60]Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?
[61]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[62]Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua);
[63]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[64]Kedua-duanya menghijau subur tanamannya;
[65]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[66]Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya:
[67]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[68]Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,
[69]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[70]Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;
[71]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[72]Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing;
[73]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[74](Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;
[75]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[76]Penduduk Syurga itu
(bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal
dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang
sangat indah.
[77]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[78]Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
No comments:
Post a Comment