[1]Haa, Miim.
[2]Ain, Siin, Qaaf.
[3]Sebagaimana yang
terkandung dalam surah ini dan surah-surah yang lain – diwahyukan
kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu
daripadamu, oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[4]Dia lah yang mempunyai dan
menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Dia lah
Yang Tertinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
[5]Alam langit nyaris-nyaris
pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan
Allah terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga
menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan memuji
Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi.
Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[6]Dan (sebaliknya)
orang-orang yang menjadikan sesuatu yang lain dari Allah sebagai
pelindung (yang disembah dan diharapkan pertolongannya), Allah sentiasa
mengawasi tingkah laku mereka (serta akan membalasnya); dan engkau
(wahai Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang
menguasai soal (bawaan dan amalan) mereka.
[7]Dan sebagaimana Kami
tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam
bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada
(penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya,
serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari
kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu)
sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.
[8]Dan jika Allah
menghendaki, tentulah Ia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam
ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang
demikian bahkan Ia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam
rahmatNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan); dan orang-orang
yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan
perlindungan dan pertolongan.
[9]Tidaklah patut mereka
menjadikan sesuatu yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung
(yang disembah dan dipuja) kerana Allah jualah Pelindung yang
sebenar-benarnya, dan Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang
mati. Dan (ingatlah), Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[10]Dan (katakanlah wahai
Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara ugama yang kamu
berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim
yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku
berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala
keadaan)”.
[11]Dia lah yang
menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan
dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang
ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang
demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun
yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan
Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[12]Dia lah jua yang
menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Ia memewahkan
rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah
ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu);
sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[13]Allah telah menerangkan
kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya
– apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami
(Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami
perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu:
“Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau
berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk
menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih
serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama
tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa
yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).
[14]Dan umat tiap-tiap
Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama
Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi
mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya
(perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama
sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan
dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang
tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada
mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab
ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang
menggelisahkan terhadap Kitab itu.
[15]Oleh kerana yang
demikian itu, maka serulah (mereka – wahai Muhammad – kepada berugama
dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana
yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa
nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab
yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di
antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal
kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran
antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan
menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat
kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)”.
[16]Dan orang-orang yang
berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran ugama Allah sesudah
disambut dan diterima ugamaNya itu – bantahan (dan tuduhan palsu) mereka
itu sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula ditimpa
kemurkaan (dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang
seberat-beratnya.
[17]Allah yang menurunkan
Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang
menjadi neraca keadilan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh
jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).
[18]Orang-orang yang tidak
beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya
disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman
merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa
ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah
mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh
terpesong.
[19]Allah Maha Lembut
tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada
hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat,
lagi Maha Kuasa.
[20]Sesiapa yang
menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan
memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan
sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia
semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang
Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di
akhirat kelak.
[21]Patutkah mereka
mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama
mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan
kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari
Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu),
tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat
demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
[22](Pada hari kiamat)
engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan
buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab
seksa itu tetap menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta
beramal soleh (bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka
beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang
demikian itu ialah limpah kurnia yang besar.
[23](Limpah kurnia yang
besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang
beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak
meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku
sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku)
disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya
aku tidak disakiti)”. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang
baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala)
kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa
membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur
kepadaNya).
[24](Orang-orang kafir
tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad) bahkan mereka mengatakan: “Ia
telah mereka-reka perkara dusta terhadap Allah” (Sebenarnya tidak patut
mereka berkata demikian) kerana Allah berkuasa – jika Ia menghendaki –
menutup hatimu (dan ingatanmu daripada menyatakan apa yang engkau telah
nyatakan itu, tetapi Allah tidak menghendaki yang demikian, bahkan Ia
memberi kuasa menyampaikan perintahNya, maka semua kenyataan yang engkau
sampaikan adalah benar belaka). Dan sememangnya Allah tetap
menghapuskan perkara yang salah serta Ia menetapkan yang benar dengan
kalimah-kalimah wahyuNya dan keputusanNya. Sesungguhnya Ia Maha
Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
[25]Dan Dia lah Tuhan yang
menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan
kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa
yang kamu semua kerjakan.
[26]Dan Ia memperkenankan
doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Ia
menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka
pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi
mereka azab seksa yang seberat-beratnya.
[27]Dan kalaulah Allah
memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui
batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi
Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana
yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan
segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
[28]Dan Dia lah yang
menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Ia pula menyebarkan
rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan
ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.
[29]Dan di antara
tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala
yang Ia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia
Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki
(melakukannya).
[30]Dan apa jua yang
menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah
disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah
dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari
dosa-dosa kamu.
[31]Dan kamu tidak akan
dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala
bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau
di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari
Allah. – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.
[32]Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.
[33]Jika Ia kehendaki, Ia
menghentikan tiupan angin, maka tinggalah kapal-kapal itu terapung-apung
di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda
(yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa
bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
[34]Atau (jika Ia
kehendaki) Ia binasakan kapal-kapal itu disebabkan dosa-dosa yang
dilakukan oleh orang-orangnya, (lalu setengahnya dibiarkan mati lemas)
dan (setengahnya diselamatkan dengan jalan) Ia memaafkan sebahagian
besar dari dosa-dosa mereka.
[35](Berlakunya yang
demikian supaya nyata kekuasaan Kami) dan supaya orang-orang yang
membantah ayat-ayat keterangan Kami mengetahui, bahawa mereka tidak akan
dapat jalan melepaskan diri (dari azab seksa).
[36]Oleh itu, apa jua yang
diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia
ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala
hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang
beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
[37]Dan juga (lebih baik
dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta
perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan
perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;
[38]Dan juga (lebih baik
dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah
Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka
dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;
[39]Dan juga (lebih baik
dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan
secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak
melampaui batas).
[40]Dan (jika kamu hendak
membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan
dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan
berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah
(dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.
[41]Dan sesungguhnya orang
yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang
demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.
[42]Sesungguhnya jalan
(untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan
kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada
sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab
seksa yang tidak berperi sakitnya.
[43]Dalam pada itu
(ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang
terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara
yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
[44]Dan sesiapa yang
disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun
yang dapat menolongnya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim
semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: “Adakah
sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?”
[45]Dan engkau juga akan
melihat mereka didedahkan kepada neraka dalam keadaan tunduk membisu
dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke neraka
itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang yang
beriman pula berkata: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan
sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan
pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih
perbuatan derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang
zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal”.
[46]Dan tiadalah bagi
mereka sebarang penolong – yang lain dari Allah – yang dapat memberikan
pertolongan kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah
(disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan
(untuk mendapat hidayah petunjuk).
[47]Sahut dan sambutlah
seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari
Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu
tempat berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang
alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).
[48]Oleh itu, jika mereka
berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai
pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa
yang diperintahkan kepadamu). Dan (ingatlah) sesungguhnya apabila Kami
memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia bergembira
dengannya; dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan
disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, maka (mereka segera membantah
serta melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya, kerana)
sesungguhnya manusia itu sangat tidak mengenang nikmat-nikmat Tuhannya.
[49]Bagi Allah jualah hak
milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang
dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang
dikehendakiNya.
[50]Atau Ia mengurniakan
mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga
menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha
Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[51]Dan tidaklah layak bagi
seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan
jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding
(dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan
(malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin
Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi
keadaanNya, lagi Maha Bijaksana.
[52]Dan demikianlah Kami
wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan
hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan
kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah
iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami
beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara
hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah
memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,
[53]Iaitu jalan Allah yang
memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.
Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.
No comments:
Post a Comment