[1]Segala
puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi, dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat;
dan Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam
pengetahuanNya.
[2]Ia mengetahui apa yang
masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya, dan apa yang turun dari
langit serta apa yang naik kepadanya; dan Dia lah jua yang Maha
Mengasihani, lagi Maha Pengampun.
[3]Dan orang-orang yang kafir
berkata:” Hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami”. Katakanlah
(wahai Muhammad): “Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui
segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang
kepada kamu”. Tiada tersembunyi dari pengetahuanNya barang seberat debu
yang ada di langit atau di bumi, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu
atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang
terang nyata.
[4](Kedatangan hari kiamat
itu) supaya Tuhan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh;
mereka itu akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
[5]Dan (sebaliknya)
orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan
Kami sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), –
mereka itu akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.
[6]Dan orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa
keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai
hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta yang memimpin ke
jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.
[7]Dan orang-orang yang kafir
pula berkata (sesama sendiri secara mengejek-ejek): “Mahukah, kami
tunjukkan kepada kamu seorang lelaki yang memberitakan kepada kamu: `
(Bahawa apabila kamu dihancurkan sehancur-hanurnya sesudah mati),
sesungguhnya kamu akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian yang
baru? ‘
[8]“Adakah ia berdusta
terhadap Allah, atau ia kena penyakit gila?” (Tidak ada satupun) bahkan
orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat tetap beroleh (di
sana) azab seksa yang seburuk-buruknya dan (di sini) tetap berada dalam
kesesatan yang jauh terpesong.
[9](Setelah mereka
mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat
apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari
langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki
nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka
ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit (yang akan membinasakan
mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi
keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya
(dengan taat dan berbakti).
[10]Dan demi sesungguhnya,
Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil
Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih
bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah
bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya;
[11](Serta Kami wahyukan
kepadanya): “Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah
jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud
dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan
segala yang kamu kerjakan”.
[12]Dan Kami kurniakan
kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi
perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang
perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan
baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin
untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin
itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya
(pukulan) dari azab api neraka.
[13]Golongan jin itu
membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan
yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar
seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya.
(Setelah itu Kami perintahkan): “Beramalah kamu wahai keluarga Daud
untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu
yang bersyukur.
[14]Setelah Kami tetapkan
berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada
mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah
memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan
jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib
nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja
berat) yang menghina.
[15]Demi sesungguhnya,
adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan
kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua
kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan
dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka):
“Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya;
(negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan
kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.
[16]Maka mereka berpaling
ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan
Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua
kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan
pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
[17]Demikianlah Kami
membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak
menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat
kufur.
[18]Dan – di antara tempat
tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri
Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), – Kami
adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang
yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya
(sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta
dikatakan kepada mereka): ” Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada
bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang
aman”.
[19](Maka kamakmuran dan
kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: “Wahai
Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar
dengan yang lain)”, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri;
lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang
ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya
kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar
pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap
sabar, lagi sentiasa bersyukur.
[20]Dan sesungguhnya Iblis
telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya,
kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya
kepada hasutannya).
[21]Dan sememangnya
tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan
untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah
yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang
ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta
mengawasi tiap-tiap sesuatu.
[22]Katakanlah (wahai
Muhammad kepada kaum musyrik): “Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu
dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa
seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang
bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan)
langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari
mereka”.
[23]Dan tidak berfaedah
syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah,
(maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu
dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan
Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu)
bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: “Apakah
yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?” Sebahagian di antara mereka
menjawab: “Tuhan telah menitahkan kebenaran”; dan Dia lah jua Yang Maha
Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya.
[24]Bertanyalah (wahai
Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki
kepada kamu dari langit dan bumi?” Terangkanlah jawabnya: “Ialah Allah;
dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli
tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu
dari dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau
tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata “.
[25](Oleh itu) katakanlah
(wahyu Muhammad): “Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan
yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa
yang kamu kerjakan”.
[26]Katakanlah lagi:” Tuhan
kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat), kemudian Ia akan
menyelesaikan perselisihan yang ada di antara kita dengan penyelesaian
yang benar; dan Dia lah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang Maha
Mengetahui segala-galanya”.
[27]Katakanlah lagi:
“Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat ketuhanan yang ada pada
makhluk-makhluk yang kamu hubungkan dengan Allah sebagai
sekutu-sekutuNya. Tidak ada pada sesuatu makhluk pun sifat-sifat itu,
bahkan yang mempunyai sifat-sifat ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana”.
[28]Dan tiadalah Kami
mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya,
sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman),
dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
[29]Dan mereka (yang ingkar) bertanya: “Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”
[30]Jawablah (wahai
Muhammad): “Untuk kamu disediakan satu hari yang kamu tidak dapat
melambatkannya sesaat pun, dan tidak pula kamu dapat menyegerakannya”.
[31]Dan orang-orang yang
kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini
dan tidak juga kepada Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya”. Dan
(sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu
dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing
tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas
berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya):
“Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah
kami sudah menjadi orang yang beriman”.
[32]Orang-orang yang
sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah
yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia
datang kepada kamu? (Bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang
menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa”.
[33]Dan berkata pula
orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu:
“Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan
kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku
kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya
masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa
mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher
orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa
yang mereka telah kerjakan.
[34]Dan Kami tidak mengutus
kepada sesebuah negeri: seseorang Rasul pemberi amaran melainkan
orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata:
“Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan
membawanya”.
[35]Dan mereka berkata lagi: “Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa”.
[36]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang
dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui
(hakikat itu).
[37]Dan bukanlah harta
benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di
sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda
disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan
dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.
[38]Dan orang-orang yang
berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil
menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan
berada di dalam azab seksa.
[39]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan
baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan
menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”.
[40]Dan (ingatkanlah) masa
Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia
bertanya kepada malaikat: “Adakah orang-orang ini, (kamu setujui)
menyembah kamu dahulu?”
[41]Malaikat menjawab:
“Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah
(yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka.
(Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan
mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan;
kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu
Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)”.
[42]Maka pada hari ini,
masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat
kepada kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya
daripadanya; dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim (yang
berlaku syirik) itu: “Rasalah azab neraka yang kamu dahulu
mendustakannya”.
[43]Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata,
berkatalah mereka (sesama sendiri): “Orang ini (Muhammad) tidak lain
hanyalah seorang lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah
apa yang telah disembah oleh datuk nenek kamu”; dan mereka berkata lagi:
(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka”;
dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika
datangnya kepada mereka: “ini tidak lain hanyalah sihir yang terang
nyata”.
[44]Dan (tidak ada sebarang
alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada
mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga
tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang
Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu).
[45]Dan (ketahuilah bahawa)
umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan
(Rasul-rasulnya), sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak: mencapai
satu persepuluh (dari kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri
kepada umat-umat yang terdahulu itu; setelah umat-umat itu mendustakan
Rasul-rasulKu (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian
perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).
[46]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu
perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha
mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua
(dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir
sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)”.
Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang
penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul
pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di
akhirat).
[47]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah
maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu; balasan yang menjadi upahku
yang sebenar hanyalah dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta
Menyaksikan tiap-tiap sesuatu”.
[48]Katakanlah lagi:
“Sesungguhnya TuhanKu, menurunkan wahyu (kepada Nabi-nabi pilihanNya)
dengan perkara yang benar; Ia sentiasa Mengetahui akan segala perkara
yang ghaib”.
[49]Katakanlah lagi: “Telah
datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara
yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak
mengulanginya di akhirat”.
[50]Katakanlah lagi:
“Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku
sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian
disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; sesungguhnya
Ia Maha Mendengar, lagi Maha Dekat”.
[51]Dan (sungguh ngeri)
jika engkau melihat (keadaan orang-orang yang bersalah itu) ketika
mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat
jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada
(untuk dibawa ke tempat azab).
[52]Dan (pada ketika itu)
mereka berkata: “Kami sekarang beriman kepada kebenaran yang di bawa
oleh Nabi Muhammad (s.a.w)”; (apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka
dapat mencapai iman dari tempat yang jauh?
[53]Pada hal mereka telah
mengingkarinya sebelum itu, dan mereka pula selalu melemparkan
tuduhan-tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh?
(sudah tentu salah).
[54]Dan disekatlah di
antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini, sebagaimana yang telah
dilakukan kepada orang-orang yang sama keadaannya dengan mereka pada
masa yang lalu; sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak
yang meragukan.
No comments:
Post a Comment